SECARA formalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 sudah tiada selepas tahun 1990, ketika itu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ia digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan kemudian, Najib menukarnya sekali lagi setelah BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU ke-12, menjadi Model Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010. Malah d izaman Najib juga, MEB disertai dengan Program Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Programe (ETP).
Intipati kepada ketiga-tiga dasar ini tetap sama sungguhpun namanya berbeza.
Saya pernah bertanyakan perkara ini dengan rakan-rakan dari kaum Cina. Adakah beliau merasa tidak selesa dengan DEB atau DPN atau MED. Jawabnya secara umum, tidak. Mereka sama sekali tidak merasa risau atau bimbang atau terganggu dengan agenda DEB, DPN atau MEB kerana beliau mengakui bahawa dasar tersebut punya sebab yang boleh diterima.
Realiti bahawa majoriti penduduk Malaysia, lebih dari enam puluh peratus adalah kaum Bumiputera (lebih lima puluh peratus adalah Melayu) dan kaum majoriti inilah yang paling diancam kemiskinan. Justeru katanya, kaum Cina atau India juga, tidak pun merasa cemburu atau merasa terancam, malah mereka boleh memahami dan menerimanya.
Namun, jelasnya lagi bukan niat atau objektif dasar-dasar ini yang dipertikaikan, tetapi bagaimana dasar ini dilaksana. Inilah juga yang disepakati oleh ramai rakan-rakan Melayu yang lain.
Rekod lampau
Ratusan billion ringgit telah dibelanjakan sejak Rancangan Malaysia kedua(1970-an) untuk melaksanakan semua dasar-dasar kerajaan ini. Namun, bukan sahaja objektifnya gagal dicapai malah jika ‘Melayu masih ingat’, ada direkodkan berlakunya pelbagai skandal penyelewengan dalam kerajaan, sejak dari zaman penswastaan Tun Mahathir ( kes MAS membabitkan Tan Sri Tajudin Ramli dan krisis ekonomi 1997), zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (Laporan Ketua Audit Negara seperti kerugian yang ditanggung kerajaan akibat kelemahan mengurus dalam projek keretapi berkembar Ipoh-Rawang) hinggalah ke zaman Najib (kes pembelian kapal selam, peralatan tentera dan kes NFC).
Jika ‘Melayu masih ingat’ pada tahun 2011, Global Financial Integrity melaporkan, sekitar RM888 bilion ringgit wang haram mengalir keluar negara dari tahun 2000 hingga 2008. Ini belum termasuk laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai lagi ketirisan akibat kecuaian pihak kerajaan, baik di peringkat kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam pelbagai projek yang lain. Ini pun jika ‘Melayu masih ingat’.
Siri pendedahan dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun masih gagal membuahkan tindakan drastik oleh kerajaan dalam menangani rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kerajaan. Juga, tidak ada banyak tindakan konkrit yang diambil oleh pihak berkuasa, sebaliknya masih banyak kes dan pendakwaan yang berkaitan rasuah masih tertangguh.
Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus meningkat dalam bajet setiap tahun, tetapi indeks persepsi rasuah oleh CPI Transparency International (TI), telah meletakan Malaysia ditangga ke 60 pada 2011 yang mendapat peruntukan sebanyak RM 203 juta berbanding RM 29 juta pada tahun 1996 ditangga ke 26. Semuanya senario ini bermula dengan dasar perlaksanaanya.
Apa jaminannya?
Ini memberi indikasi bahawa apa jua dasar dengan apa pun namanya, apa jua slogan yang indah-indah untuk apa jua tujuannya, tidak dapat menjamin tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam aspek pengurusan dan perlaksanaannya. Transformasi dalam agenda sahaja tidak memadai sebaliknya Malaysia memerlukan reformasi sistem.
Dan kelmarin, PM Najib telah mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakan menerusi pelbagai agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan Wakaf Malaysia dan banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta ringgit.
Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera ini dilaksana dalam suasana budaya rasuah, sikap cuai dan kronisme yang masih berleluasa, khususnya bagi mereka yang berkepentingan.
Ingin kita tegaskan lagi, apa pun dasar dan matlamatnya, rakyat tidak menolaknya secara membuta tuli. Persoalannya mudah, apakah ada jaminan dari PM bahawa kesemua dana yang akan disalurkan ini akan selamat sampai ke kelompok sasaran tanpa berulangnya lagi hal ketirisan dan rasuah? Dan, adakah jaminan bahawa mereka yang disasarkan untuk mendapat latihan tambahan itu benar-benar dari golongan yang memerlukan?
Jika melihat dari reputasi kerajaan BN selama ini, pastinya kita merasa bimbang dan ragu. Lihat saja institusi seperti UiTM, dahulunya ditubuhkan fokus untuk membantu Bumiputera luar bandar yang miskin, tetapi kini praktiknya seakan telah berubah.
Maka, jalan paling berkesan untuk ‘memperkasa’ ekonomi Bumiputera adalah dengan ‘memperkasa’ aspek ketelusan (transparency), undang-undang dan integriti demi memastikan budaya rasuah dan ketirisan dapat diperangi habis-habisan.
Masalah ketirisan dan rasuah bukan sekadar mengurus persepsi dengan slogan atau kata-kata indah tetapi ia perlu dilaksana dan dikuatkuasa dengan segera. Tidak sukar, hanya memerlukan keberanian dan kesungguhan.
Apa guna pasang pelita, Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain kata, Kalau tidak dengan sungguhnya.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan