16 September 2013

Pemilihan: Ketentuan jawatan hak perwakilan

10 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS melihat ketentuan jawatan adalah hak perwakilan untuk memilih kerana Perlembagaan parti jelas memberi hak kepada perwakilan. 

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berhubung dengan cadangan Dewan Ulamak supaya jawatan tertinggi parti daripada ulama.


Ini, katanya sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulamak itu.


Berikut kenyataan penuh beliau.



PAS  ingin menegaskan komitmen kita untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.


Segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan. PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak.  


PAS melihat resolusi dari Dewan Ulamak hasil Multaqa Ulamak sebagai sesuatu yang menepati demokrasi dalam PAS, kerana Dewan Ulamak sebagai sayap penting parti sewajarnya membuat rumusan bagi pihak dewan yang diwakili. 


PAS Pusat pasti akan meneliti dan mengkaji setiap resolusi yang dicapai di Multaqa tersebut, memandangkan ia adalah satu rumusan dari suatu himpunan Dewan yang utama di dalam PAS. Kita yakin resolusi tersebut mempunyai asas untuk dinilai dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa kerja PAS Pusat.


Cadangan bagi Majlis Syura dan PAS Pusat untuk menyemak hubungan dan Tahaluf Siyasi dengan rakan PR bukan bermakna memutuskan hubungan dengan PR. Ia adalah dua isu berbeza. 


Semakan agar perjalanan tahaluf selaras dengan tuntutan syarak sebagaimana resolusi yang dikemukakan ialah sesuatu yang sihat dan bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan polemik. 


Oleh kerana dasar PAS ialah Islam, maka gesaan untuk semakan, kajian dan penelitian dewan Ulamak adalah sangat dialu-alukan. 


Sehubungan itu, PAS Pusat berharap Dewan Ulamak dapat mengemukakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka itu.


Oleh itu, resolusi yang dicapai di Multaqa Ulamak yang menggesa Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat menyemak kembali Tahaluf Siyasi bersama dengan Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang pelik.


Ia ibarat peringatan agar kita sentiasa berada di atas peraturan yang betul di sepanjang lebuhraya.  Pelbagai peringatan had laju dikeluarkan, bukanlah kerana kita memandu laju, tetapi peringatan agar jangan memandu melebihi had laju. Namun, kalau ada orang yang marah kepada peringatan tersebut, tentulah ia sesuatu yang pelik.


Berhubung dengan cadangan Dewan Ulamak supaya jawatan tertinggi parti daripada ulamak, sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulamak itu.


PAS melihat ketentuan jawatan adalah hak perwakilan untuk memilih. Perlembagaan parti jelas memberi hak kepada perwakilan.


Harakahdaily

No comments: