KUALA LUMPUR: Pelancaran program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, 14 September lalu oleh Perdana Menteri hanya sekadar menukar nama kepada program yang sama jika kerajaan tidak bersikap terbuka , telus dan membanteras amalan kronisme.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan medianya berkata, mentransformasikan program pelbagai skim hanya bermakna jika ia diuruskan dengan amanah dan tidak diganggu oleh keputusan politik yang akan menjejaskan ekuiti bumiputera .
“Para usahawan bumiputera perlu dibina dengan skim yang berbeza. Semua agensi yang sedia ada nampaknya tidak melahirkan usahawan bumiputera yang diharapkan.
“Prosedur perniagaan perlu dipermudahkan dan anugerah projek-projek kerajaan hendaklah dilakukan secara meritokrasi yang telus . Kaum bumiputera yang benar-benar menunjukkan daya perniagaan yang baik hendaklah diberi peluang meningkatkan perniagaan,” ujarnya.
Teras juga berpendapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak harus menjadi pesaing kepada para usahawan bumiputera manakala peniaga sederhana dan kecil perlu diberi kemudahan dan lokasi perniagaan yang strategik.
“Penyeliaan perniagaan bumiputera yang mendapat pinjaman dari pelbagai agensi perlu dilaksanakan agar tidak berlaku salahguna modal perniagaan,” tambah Azmi.
Beliau menambah, ramai usahawan bumiputera yang terbantut dan gagal dalam perniagaan diakibat amalan kronisme dalam menganugerah projek.
“Mereka yang masih mengamalkan perniagaan atas angin tanpa menunjukkan daya kemahiran perniagaan yang layak masih berterusan diberi projek ,” ujarnya.
Ketika berucap di majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam, 14 September lalu, Dato’ Seri Mohd Najib Razak mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera iaitu mempertingkatkan daya modal insan Bumiputera; memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan