16 September 2013

Gunung Sinabung meletus

10 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Cetus panik, paksa penduduk Sumatera Utara pindah

Karo: Sebuah gunung berapi di daerah Karo, Sumatera Utara, meletus awal semalam, yang mencetuskan panik dan menyebabkan beratus-ratus penduduk dekat situ berpindah ke kawasan lebih jauh. 


“Penduduk yang lari ditempatkan di beberapa bangunan dan kediaman sekitar pejabat daerah Karo. Kami masih mengumpul data mereka,” kata jurucakap Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan (BNBP), Sutopo Purwo Nugroho.


Letusan diikuti asap hitam tebal mula keluar dari kawah Gunung Sinabung pada 3 pagi semalam, lapor pos pemerhati dekat gunung itu.

Letusan batu kecil

Debu gunung berapi dan letusan batu kecil mula menimpa beberapa perkampungan di Sukameriah, Kutarayat dan Kutagugung.

Seramai 2,700 penduduk kampung sudah dipindahkan dan ada yang keluar dengan kerelaan sendiri. Laporan lain menyatakan 3,700 orang sudah dipindahkan. 
Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan (PVMBG) menaikkan tahap berjaga-jaga gunung itu daripada Level II kepada ‘Waspada’ iaitu Tahap 3, manakala ‘Siaga’ adalah tahap 4 iaitu amaran serius.

Pihak berkuasa juga menghentikan semua aktiviti penduduk tiga kilometer dari kawasan berkenaan.

Belum ada kes kerosakan atau kecederaan dilaporkan, kata Sutopo. Tetapi, proses bantuan dan pemindahan berjalan perlahan kerana BNPB tidak ada pejabat di Karo.

“Satu pasukan gerak kilat dari pejabat BNPB di Sumatera Utara sedang dalam perjalanan ke sana untuk menyelaras tindakan dengan pemimpin daerah Karo,” katanya.

400 tahun tiada aktiviti

Selepas letusan pada 1600, gunung Sinabung tidak menunjukkan sebarang aktiviti selama lebih 400 tahun sebelum aktif semula pada 2010.

Ketika itu, 12,000 penduduk terbabit dalam operasi memindahkan mereka ke kawasan lebih selamat. 

- AGENSI

Tiada ulasan: