09 September 2013

Kenapa Pertikai Takdir Allah

3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Ahmad Baei Jaafar


Sehari dua ini ramai yang memberi komen dalam fb kononnya kenaikan harga barang ketentuan Allah. Saya hairan kenapa timbul isu dengan kenaikan harga barang, apakah ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Tetapi yang saya perhatikan dalam hal minyak ini, bukan harga minyak yang naik tetapi sabsidi minyak yang dikurangkan. Maka dengan itu kita kena bayar lebih untuk beli minyak itu.

Nak kata barang lain naik, saya tidak pasti sangat sebab jarang ke pasar. Tetapi isu naik harga dan turun harga barang bukan baru hari ini. Harga ikan naik dan turun setiap hari, begitu juga dengan harga sayuran. tetapi kenapa waktu ini timbulkan isu kenaikan harga barang ketentuan Allah.


Sebenarnya, kalau umat Islam masing-masing kuat tauhidnya, masing-masing berpegang kepada qada dan kadar Allah, mereka tidak mudah melatah. Bukankah kita faham bahawa kita dan makluk seluruh alam ini ciptaan Allah. Dia yang menentukan hidup kita dan apa yang kita lakukan. Kita boleh menulis, boleh bernafas, boleh makan adalah dengan kehendak Allah dan itupun telah ditentukan Allah.

Percaya tak, ada orang yang sedang berjalan tiba-tiba terhenti lalu jatuh, kena angin ahmar. Itu menunjukkan Allah tak izinkan dia berjalan padahal sebelum itu sihat. Dan sudah pasti itu adalah takdir Allah. Sebaliknya, apbila segala yang ditentukan itu berlaku, barulah perkara itu dikatakan qada (maksudnya terlaksana ketentuan Allah itu).

Barangkali kalau apa yang dipaparkan itu dikaitkan dengan kenaikan harga barang dan turun kemudiannya, tentu bolehlah kita katakan "ketentuan Allah". Bagaimana boleh jadi begitu? Apabila barang banyak, harga akan turun dan apabila barang kurang atau permintaan ramai dan kehendak tidak mencukup maka harga barang dinaikkan. Memang harga barang itu ditentukan oleh pasaran dan permintaan tetapi siapa yang mengurangkan hasil dan menambahkan hasil, tidakkah itu kehendak Allah?

Sebagai orang Islam, kita harus sedar bahawa takdir Allah sudah ditentukan sejak kita belum lahir lagi termasuk apa yang kita hendak lakukan. Cuma sebagai makhluk Allah kita tidak tahu apa yang telah Allah takdirkan kepada kita. Maka berbekalkan akal dan hati budi, ilmu dan petunjuk Rasul dan ulama kita bertindak. Kita bukan bergerak ikut angin bertiup tetapi mengikut ilmu dan akal. Di situ kadang-kadang kita berjaya dan kadang-kadang kita gagal. Setelah itu terjadi baru kita sedar bahawa sudah ditakdirkan begitu.

Sungguhpun begitu, setelah kita sedar daripada kegagalan itu, kita bangun semula daripada kegagalan, kerana kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita selepas itu. Mungkin dengan sebab itu kita berjaya, maka sedarlah kita bahawa telah ditakdirkan Allah begitu.

Begitulah kefahaman yang sepatutnya kita hayati dalam hidup ini selepas ini. Kita tidak boleh serah kepada takdir kerana kita belum tahu apa yang Allah takdirkan kepada kita selepas ini. Berdasarkan ilmu ini jika kaitkan dengan isu harga naik, ya memang itu takdir Allah, tetapi apa yang Allah takdirkan untuk kita dengan harga barang itu. Kitapun tidak tahu. Boleh jadi dengan harga naik itu, kita menjadi usahawan berjaya. Boleh jadi dengan harga barang itu kita boleh mencipta barang baru. Inilah peluang yang selalu kita lupa dalam hidup ini. Percayalah kalau umat Islam belum mahu sedar dalam hal seperti ini, kita akan terus mundur.

Ayuh bangun segera wahai orang Islam. Kita ada Allah, Allah maha kaya. Dia boleh mengayakan kita kalau kita tidak banyak mempertikaikan takdir Allah. Wallahu aklam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semua pergerakan makhluk adalah ketentuan Allah yang tak dinafikan bagi orang yang beriman. Hukumnya seperti langit di atas kepala, semua yang berakal tak menafikan, tetapi pergerakan dan perubahan aridhi itu disebabkan tangan-tangan makhluk yang ditakdirkan oleh Allah Taala.
Bagi mereka yang menjawab secara ini memang tak jadi penyelesaian masalah dan tidak perlu buat perlu buat perbincangan, sebab lazim faedah.

Tanpa Nama berkata...

ye betul, boleh jadi dengan harga naik ni, kita akan jadi pengundi yg lebih bijak akan datang.