26 Zurlhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada hari Isnin, 4 November 2013 ini sempena skuad TRW berjaya ke peringkat akhir.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika dihubungi memberitahu, ia telah diputuskan pada mesyuarat mingguan exco yang berlangsung hari ini di Kuala Lumpur.
Katanya, kerajaan negeri mengambil tindakan itu untuk memberikan kemudahan kepada rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat bolasepak untuk pergi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Shah Alam.
“Kita bersyukur kerana skuad kita TRW sekali lagi ke peringkat akhir dan kali ini untuk menentang Pahang.
“Apa yang kita harapkan semoga penonton khususnya menjaga perilaku sebaik mungkin sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak itu nanti dan jagalah keselamatan masing-masing sama ada sewaktu perjalanan pergi dan balik ke tempat masing-masing,” ujarnya.
Beliau memberitahu, cuti peristiwa tahun ini agak berlainan sebagaimana biasa kerana ia turut memberi kemudahan kepada penjawat awam untuk merancang aktiviti bersama keluarga sempena cuti yang agak panjang.
“Bukan sahaja sempena cuti Peristiwa untuk kemenangan bola sepak ke peringkat akhir sahaja, tetapi cuti mingguan Jumaat dan Sabtu, Ahad cuti ganti Depavali dan ditambah pula hari Isnin cuti peristiwa,” ujarnya ketika dihubungi.
Sambungnya lagi, kepada peminat-peminat TRW, diharapkan dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan rakyat Kelantan ini.
“Yang penting, jagalah adab-adab kesukanan dan jangan tinggalkan solat. Insya-Allah, Gomo Kelate Gomo,” ujarnya.
Sementara itu, anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Mahmood, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa perihatin terhadap rakyat Kelantan khususnya pada peminat bola sepak Kelantan.
“Sebagaimana nasihat Menteri Besar kita, saya juga ingin mengingatkan, berhati-hatilah di jalan raya, jangan tergesa-gesa ketika memandu, ingatlah nyawa lebih penting,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan