31 Oktober 2013

Gula: Kantin sekolah naik harga makanan, minuman


26 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Selangorku,31 Okt 2013
SHAH ALAM: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima aduan beberapa kantin sekolah sekitar Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.


Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata pihaknya menerima aduan itu selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik subsidi gula sebanyak 34 sen sekilogram.



Katanya, selain kantin sekolah, peniaga gerai turut menaikkan harga makanan dan minuman dengan bayaran dikenakan hampir sama dengan kopitiam.


“Kita ada terima banyak aduan berkenaan peniaga gerai dan kantin sekolah yang bertindak menaikkan harga makanan dan minuman di kedai premis mereka.



“Tiga anggaran minimum sehari aduan kenaikan harga yang diterima kami. Bagaimanapun, pengadu tidak memberikan maklumat terperinci dan menyebabkan kami tidak dapat membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.



Yahya berkata, terdapat empat sekolah yang menaikkan harga makanan dan minuman mengikut aduan yang diterima daripada ibu bapa pelajar.



Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinngi membuat pemantauan dan tindakan terhadap kantin sekolah di seluruh negara supaya tidak menaikkan harga makanan dengan sewenangnya.



“Harga makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana pihak pengusaha kantin terikat dengan perjanjian kontrak harga makanan, jadi pihak kerajaan perlu memantau masalah ini.



“Kita juga mahu kerajaan pusat membuka lebih banyak peluang dalam industri gula supaya tidak hanya memberikan peluang kepada syarikat duopoli bagi mewujudkan peluang persaingan harga pasaran gula," katanya.



Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat aduan kepada Biro Kepenggunaan PKR jika terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.



Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah, Hamzah Omar berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha kantin tidak menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen kerana sudah termaktub dalam perjanjian kontrak bahawa mereka tidak boleh menaikkan harga sesuka hati.

Tiada ulasan: