31 October 2013

Sg Limau: PAS letak minimum majoriti 500 undi

26 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,31 Okt 2013

JERAI: PAS menjangkakan mampu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau yang dijadual 4 November ini dengan meletakkan minumum majoriti sebanyak 500 undi.


Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran itu mengambil rujukan keputusan yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan ketika kali pertama bertanding di Dun itu lima penggal lalu.



Ketika itu katanya, Allahyarham menang sekitar majoriti tersebut dan calon PAS kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samad juga diletakkan kayu aras yang sama.



"Kita jangka majoriti lantai tidak akan kurang daripada 500 undi seperti kali pertama Allahyarham Ustaz Azizan bertanding dulu," katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditanya keyakinan semasa PAS terhadap PRK kali ini pada sidang media di Markas Induk PAS di Sungai Limau hari ini.



Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan pengudi di sini yang akan membuat pilihan tepat pada 4 November ini.



Bagaimanapun beliau tidak mahu terlalu yakin kerana tempoh berkempen masih berbaki beberapa hari dan banyak perkara lagi yang harus dilakukan.



Beliau turut ditanya keadaan di mana jentera BN di dakwa telah berjaya masuk ke beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat PAS selama ini.



"Kita tidak terlalu gusar, kita yakin dengan pengundi.



"Kita amal demokrasi, politik damai, dan kita tidak halang pihak lawan nak masuk kempen ke mana sahaja mereka mahu," katanya.



Dun Angkat



Ditanya berhubung cadangan agar Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjadikan Sungai Limau sebagai Dun angkat jika menang, Mahfuz berkata rakyat boleh menilai perkara itu.



"Kalau Datuk Mukhriz ikhlas, tak perlu tunggu menang pilihan raya, sepatutnya dia dah ambil Dun Sungai Limau ini sebagai Dun angkat sewaktu Allahyarham Ustaz Azizan sakit lagi.



"Jadi kenapa baru sekarang, bila ada pilihan raya kecil, baru perkara ini ditimbulkan," soalnya.



Siapa bertanding



Dalam pada itu, Mahfuz turut persoal siapakah sebenarnya calon BN yang bertanding ekoran wujud beberapa kain rentang yang boleh mengelirukan.



Beliau merujuk kepada kain rentang serta poster yang meletakkan gambar Mukhriz dengan tulisan "N20 PRK Sungai Limau" iaitu seolah-olah Menteri Besar itu yang bertanding.



"Biasa kita letak gambar pemimpin lain sebelah calon ke, atau letak undilah BN ke. Ni macam dia yang kadi calon. Ini boleh mengelirukan.



"Saya minta SPR jelaskan adakah perkara ini dibenarkan," katanya.

No comments: