10 November 2013

Korban Taufan Haiyan meningkat 1,200 orang

6 Muharram 1435H. [MOD] -
100 korban taufan HaiyanKeadaan di sebahagian bandar Tacloban dengan banyak kediaman musnah kerana taufan Haiyan. - Foto AFP
MANILA 9 Nov. - Sekurang-kurangnya 1,200 orang dipercayai terbunuh dalam Taufan Haiyan yang melanda kepulauan Samar di tenggara Manila, semalam, dengan beratus-ratus kediaman lagi musnah.

Setiausaha Agung Palang Merah Filipina, Gwendolyn Pang bagaimanapun berkata, jumlah itu hanyalah anggaran daripada banyak kawasan yang musnah, dengan pihak berkuasa menganggarkan sekurang-kurangnya 100 orang maut dan jumlah korban akan terus meningkat.

Biro kaji cuaca tempatan melaporkan, taufan tahap lima itu menjadi lemah selepas melanda enam kawasan di negara ini dan dijangka melanda Vietnam esok.

Kerajaan Filipina masih belum dapat berhubung dengan pihak berkuasa di bandar Tacloban yang merupakan kawasan paling teruk terjejas ekoran terputus talian telefon serta elektrik.

Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Kapten John Andrews sebelum ini berkata, dianggarkan 100 penduduk terkorban akibat taufan itu.

"Mayat-mayat bergelimpangan di atas jalan dan keadaan sangat teruk," katanya sambil merujuk kepada maklumat yang diterima pada awal pagi ini.

Haiyan turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan banjir menyebabkan jalan-jalan utama tidak dapat dilalui.

Selain itu, perkhidmatan pengangkutan feri terjejas, manakala beberapa lapangan terbang di tengah negara ini ditutup sementara selepas dinaiki air dan mengalami kerosakan bumbung.

Hampir sejuta penduduk yang terjejas akibat taufan itu mendapat perlindungan di pusat pemindahan sementara di 37 wilayah di seluruh negara. - REUTERS

No comments: