10 November 2013

Marah ditegur masuk masjid kaki kotor, Lelaki mengamuk pecah 11 kereta, rosakkan motosikal

6 Muharram 1435H. [MOD] -
Marah ditegur masuk masjid kaki kotor
Seorang mangsa melihat cermin keretanya yang dipecahkan oleh dalam kejadian amuk di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, semalam
Kuala Terengganu: Sebelas kereta dan sebuah motosikal menjadi ‘mangsa’ amuk seorang lelaki yang dipercayai berdendam selepas ditegur seorang jemaah kerana masuk ke dalam Masjid Kampung Nibong, di sini dengan kaki yang kotor.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam, suspek memecahkan cermin 11 kereta yang diletakkan di luar masjid, termasuk tiga di sebuah bengkel berhampiran. Dia kemudian menahan sebuah motosikal dinaiki dua remaja yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum turut merosakkan kenderaan terbabit. 

Bukan kejadian pertama 

Kejadian hanya disedari penduduk kampung selepas alat penggera sebuah kereta berbunyi sebelum mereka menghubungi polis. Suspek yang dipercayai kurang siuman dan positif dadah jenis morfin dikatakan sudah beberapa kali membuat onar di kampung berkenaan sebelum ini, termasuk pernah mencederakan penduduk.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira dua jam untuk menenangkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu sebelum dia ditahan sebaik tiba di rumahnya, kira-kira jam 8 pagi.

Seorang penduduk berkata, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum melihat kehadiran polis dan kemudian mendapati keretanya yang diletakkan di bengkel berhampiran masjid sejak Isnin lalu turut dirosakkan.

“Suspek memang dikenali sebagai bermasalah, sering mengamuk hingga pernah mencederakan penduduk. Dalam kejadian terbaru ini, dia dipercayai bertindak demikian kerana berang ditegur ketika waktu Asar semalam (kelmarin) apabila masuk ke dalam masjid dengan kaki yang kotor. 
“Selepas bertengkar dengan jemaah yang menegurnya, dia cuba menyerang jemaah itu dengan sebilah pisau, tetapi pisau itu berjaya dirampas. Mungkin tak puas hati, suspek datang semula ke masjid sebelum merosakkan kenderaan terbabit,” katanya yang enggan dikenali dan menganggarkan kerugian ditanggungnya kira-kira RM500.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.BH/-

No comments: