10 November 2013

Agen CIA di Jabatan Peguam Negara: Mengapa PM senyap?


6 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,10 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dakwaan terbaru mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Jabatan Peguam Negara menggaji dua agen agensi perisikan Amerika Syarikat – CIA adalah sesuatu yang mengejutkan dan memerlukan penjelasan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan medianya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika terdapat pendedahan berhubung rangkaian pengintipan oleh Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara lain di negara ini, tindakan Najib yang sehingga kini berdiam diri berhubung pendedahan terbaru ini adalah sangat memalukan.

“Tembok senyap yang mengelilingi Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri menunjukkan simptom kepada masalah lebih besar dihidapi kerajaan Datuk Seri Najib Razak apabila tuntutan kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti) terus tidak didengar,” ujarnya.

Anwar menambah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail perlu menjelaskan kepada rakyat berhubung dakwaan tersebut dan juga beberapa tuduhan berhubung tindak-tanduknya yang berunsur konspirasi dan membelakangi undang-undang.

“Beberapa laporan polis telah dibuat oleh bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mat Zain berhubung dakwaan berat mengaitkan Peguam Negara. Kegagalan beliau menafikan dakwaan tersebut secara tidak langsung membenarkan dakwaan yang dibuat dan beliau sepatutnya digantung tugas serta merta,” tegas Anwar.

Perdana Menteri, jelas Anwar tidak sewajarnya mengetepikan tuntutan rakyat untuk mendapatkan penjelasan manakala Peguam Negara tidak sepatutnya dibenarkan terus menjalankan tugas tatkala pelbagai dakwaan berhubung tindakan keji dan kegiatan jenayah dilakukan oleh beliau.

No comments: