10 November 2013

Yayasan Restu terbit Al-Quran terjemahan Mandarin pertama di Malaysia


6 Muharram 1435H. [MOD] -

Yayasan Restu bakal menerbitkan buat pertama kalinya Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin tahun depan sebagai langkah meneruskan dakwah melalui seni mushaf.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata buat permulaan sebanyak 20,000 naskhah Al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin akan disiapkan dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

"Bagi tujuan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Yayasan Restu dan Macma di mana kedua-dua pihak akan berkongsi kemahiran bagi menerbitkan Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin ini," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis MoU itu di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Presiden Macma Datuk Dr Mustapha Ma.
Beliau berkata bagi peringkat seterusnya, Yayasan Restu menyasarkan untuk menerbitkan 100,000 Al-Quran yang sama dalam usaha melahirkan terjemahan yang terbaik dan bersesuaian dengan kehendak syarak.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata sebanyak RM1 juta diperlukan untuk menerbitkan Al-Quran itu termasuk dari aspek kajian, penyelidikan dan penerbitan kerana ia menggunakan teknik tulisan tangan.
Beliau berkata Al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin itu juga akan menggunakan seni tampak halus Cina dalam reka grafik Al-Quran berkenaan.
"Bagi tujuan kajian dan penyelidikan sahaja mengambil masa kira-kira enam bulan dan hampir setahun bagi kita selesaikan proses penerbitan Al-Quran ini yang dijangka akan siap sepenuhnya, tahun depan," katanya.
Abdul Latiff berkata pihaknya juga bercadang mengeluarkan Al-Quran versi 'soft copy' (salinan skrin) dan digital bersesuaian dengan kecanggihan teknologi pada masa kini.
"Kita juga menggalakkan orang ramai yang berminat untuk sama-sama berkongsi bagi menerbitkan Al-Quran ini, tidak kiralah dari kalangan profesional, korporat mahupun individu," katanya.
Yayasan Restu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal dalam penghasilan manuskrip Al-Quran bertulisan tangan, telah menerbitkan lebih 20 edisi Al-Quran termasuk Al-Quran Mushaf Malaysia pada 2000 serta mengeluarkan terjemahan kitab suci itu dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Khmer, Rusia dan Kazakh. - Bernama

No comments: