25 November 2013

Hubungan Mesir-Turki semakin tegang

21 Muharram 1435H. [MOD] -

KAHERAH 24 Nov. - Mesir mengusir Duta Turki ke negara ini semalam, manakala Ankara mengurangkan hubungan diplomatik dengan Kaherah, sekali gus memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara selepas penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada Julai lalu.

Hubungan tegang antara kedua-dua negara itu bertambah buruk selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik rampasan kuasa yang menggulingkan Mursi dan situasi tidak stabil di Mesir pada Khamis lalu.


"Saya tidak akan menghormati mana-mana pihak yang mentadbir menerusi rampasan kuasa," katanya.
Mesir mengusir Huseyin Avni Botsali sambil menyifatkan beliau sebagai 'individu yang tidak diingini', selain mengehadkan hubungan dengan Turki dan membuat keputusan untuk tidak menghantar duta ke Ankara.

Kementerian Luar Mesir menuduh Turki 'menyokong mana-mana pihak yang cuba mewujudkan ketidakstabilan di negara ini' yang jelas merujuk kepada pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa Ankara 'cuba mempengaruhi komuniti antarabangsa untuk menentang kepentingan penduduk Mesir'.

Sebagai balasan, Turki mengisytiharkan Duta Mesir ke Ankara, Abderahman Salah El-Din sebagai 'individu yang tidak diingini' dan memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung pengusiran Huseyin.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengkritik tindakan Mesir yang membocorkan keputusan pengusiran Huseiyin kepada media sebelum perbicangan dua hala diadakan sebagai 'sikap buruk yang tidak bersesuaian dalam konteks hubungan diplomatik'. - AFP

Tiada ulasan: