10 December 2013

Banjir: Johor, Kelantan makin pulih, T’ganu tidak berubah

6 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:  Keadaan banjir di Johor dan Kelantan bertambah baik pagi ini, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan, namun keadaan di Terengganu tidak berubah.

               
Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU kekal 14,609 orang daripada 3,195 keluarga dengan Kemaman mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 13,336 daripada 2,852 keluarga, diikuti Dungun sebanyak 1,251 orang (235 keluarga) dan Marang 28 orang (lapan keluarga).

               
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebanyak 41 pusat pemindahan iaitu 37 di Kemaman, tiga di Dungun dan satu di Marang masih beroperasi sehingga 9 pagi ini.
               
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu berada di bawah paras berjaga-jaga.
               
Jabatan Kerja Raya pula melaporkan jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Batu 5 dekat Politeknik dan Bukit Bauk Dungun dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 12,579 pagi ini berbanding 31,093 orang malam tadi.
               
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 pagi ini masih terdapat 2,480 keluarga yang ditempatkan di 111 pusat pemindahan dari 96 petempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.
               
"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 6,454 orang di 21 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
               
Di Pekan, masih terdapat 3,408 mangsa di 36 pusat pemindahan, Temerloh 1,233 orang, Maran (724), Jerantut (433), Bera (267), Rompin (33) dan Lipis (27).
               
Hanya satu jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Km 14 Jalan Temerloh-Triang.
               
Di JOHOR, sebanyak tujuh pusat pemindahan banjir masih dibuka di Segamat pagi ini namun jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 273 orang daripada 64 keluarga berbanding 303 orang daripada 72 keluarga malam tadi.
               
Pusat pemindahan itu ialah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, SK Kampung Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya.

 - Bernama

No comments: