10 December 2013

Lebih 100,000 sertai himpunan antikerajaan, p’raya Thai 2 Feb

6 Safar 1435H. [MOD] -
BANGKOK:  Lebih 100,000 orang menyertai perhimpunan antikerajaan di sekeliling Parlimen di sini semalam meskipun berlangsung lebih sejam sebelum ia bersidang dan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat. 

                       
Turut diumum Raja Bhumibol Adulyadej telah berkenan membubarkan Parlimen dan pilihan raya akan diadakan pada 2 Feb.

                       
Terdahulu,  beberapa kumpulan bergerak ke arah Parlimen dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan apabila ternampak anggota keselamatan, penunjuk perasaan akan membunyikan wisel sekuat hati serta mengibarkan bendera Thailand.
                       
Secara keseluruhan, keadaan adalah aman dan tiada gas pemedih mata dilepaskan manakala penunjuk perasaan tidak melakukan percubaan untuk menduduki Parlimen.
                       
Menurut jurucakap kerajaan Teerat Ratanasevi, 2 Feb merupakan tarikh akhir bagi mengadakan pilihan raya berikutan pembubaran Parlimen hari ini.

Beliau memaklumkan Bernama kerajaan di bawah pimpinan Yingluck akan kekal sehingga selepas pilihan raya.
                       
Pembubaran itu hanyalah sebagai alternatif bagi Yingluck mengekalkan keamanan selepas Parti Demokrat mengumumkan sebanyak 152 anggota Parlimen parti pembangkang itu meletak jawatan beramai-ramai.
                       
Kumpulan antikerajaan pada mulanya meremehkan kepentingan pembubaran Parlimen ketika Yingluck pertama kali mengumumkannya.
                       
Petang ini, pemimpin tunjuk perasaan Suthep Thuegsuban mengumumkan kumpulan itu akan berada di depan Parlimen semalaman dan mereka akan tidur di jalanan.
                       
Sementara itu, cadangan penyokong kerajaan Kumpulan Baju Merah berhimpun di Ayuthaya, 76 kilometer dari sini, esok dengan membawa slogan bagi melindungi demokrasi, ditangguh sekali gus berupaya mengurangkan ketegangan.  

 - Bernama

No comments: