10 Disember 2013

Banjir: Laluan Paka-Kertih ditutup

6 Safar 1435H. [MOD] -
KEMAMAN:  Laluan utama dari Paka ke Kertih di sini ditutup selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal hari ini.

               
Penolong Setiausaha Keselamatan (Penerangan) Majlis Keselamatan Negara Ahmad Redza Arshad berkata jalan utama itu terpaksa ditutup selepas ditenggelami air kira-kira satu meter.

               
"Hujan lebat sejak 2 pagi di sekitar Dungun menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Air dari Bukit Bauk mengalir laju ke jalan, menyebabkan laluan di Durian Mentangau dilimpahi air dan tidak boleh dilalui semua kenderaan," katanya kepada Bernama hari ini.
               
Dalam perkembangan sama, beliau berkata beberapa kawasan di Marang dan Hulu Terengganu turut dinaiki air sedalam setengah meter, dengan penduduk diminta berjaga-jaga.
               
"Setakat ini masih di paras amaran, malah tidak ada penduduk yang dipindahkan," katanya.
               
Sementara itu, usaha Bernama untuk membuat liputan bantuan Felda kepada mangsa banjir bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih di Felda Seberang Tayor dekat sini terbantut selepas jalan Chukai-Air Putih yang menghala ke situ dinaiki air.
               
Tinjauan juga mendapati Jalan Sungai Pinang ke Kampung Sungai Pinang berdekatan bandar Kemaman turut dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

 - Bernama

Tiada ulasan: