31 December 2013

Dua Juta Mohon Jadi Penjawat Awam

27 Safar 1435H. [MOD] -
PUTRAJAYA: Seramai dua juta orang telah memohon untuk menyertai pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam tahun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, bilangan permohonan yang banyak itu sesuatu yang mengejutkan sekali gus menunjukkan bahawa pekerjaan dalam sektor kerajaan masih mendapat perhatian ramai.
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 219,137 orang dipanggil untuk ditemuduga dan 143,177 orang telah hadir.

"Daripada jumlah yang ditemuduga itu, 52,383 calon telah ditawarkan kerja dan kesemua mereka menerima tawaran itu.
"Dan 34,112 daripada mereka ditawarkan jawatan tetap manakala baki 18,271 lagi ditawarkan jawatan kontrak," katanya di sini.
Mahmood berkata, penjawat awam turut menerima lain-lain faedah seperti elaun sara hidup (Cola) dan elaun perumahan.
Penjawat awam menerima RM300, RM250 atau RM100 sebagai Cola mengikut kategori jawatan dan di mana mereka bertugas sama ada di bandar, pekan atau kawasan pedalaman.
Mahmood berkata, suruhanjaya akan mengendalikan seminar dengan memberikan penerangan tentang dunia perkhidmatan awam bagi memastikan pemohon pada masa akan datang bersiap sedia dengan temuduga pekerjaan.
"Ia merupakan seminar sehari dan kita merancang untuk mengadakannya di seluruh negara.
"Ia terbuka kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai sebagai penjawat awam," katanya.
mStar/-

No comments: