PETALING JAYA: Polis tidak akan mengadakan sekatan jalan raya sempena sambutan ambang Tahun Baru di Dataran Merdeka malam Selasa, walaupun dikatakan terdapat pihak yang mahu mengadakan bantahan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, walaupun anggota polis akan bersiap sedia di Dataran Merdeka dan kawasan-kawasan sekitarnya, polis akan menjadikan acara pada malam ini seperti mana-mana himpunan ambang Tahun Baru yang lain dan memberi orang ramai menyambutnya dengan mudah.
"Kita tidak akan menjalankan apa-apa sekatan jalan raya.
"Bagaimanapun, anggota polis yang bertugas akan memantau mereka yang mengadakan sambutan dan juga penunjuk perasaan.
"Kami mahu memastikan keselamatan semua," katanya pada Isnin.
Zainuddin sekali lagi mengulangi bahawa protes yang dirancang adalah haram kerana penganjur gagal untuk mendapatkan kebenaran daripada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kami akan menahan sesiapa yang mempunyai tingkah laku tidak terkawal.
"Ia sudah menjadi suatu kesalahan untuk berhimpun tanpa memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum acara itu seperti yang dinyatakan di bawah Akta Perhimpunan Aman," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyambut ambang Tahun baru perlu menjauhkan diri daripada mereka yang mengambil bahagian dalam bantahan itu.
Beliau menambah, begitu juga dengan penunjuk perasaan supaya tidak menggangu sambutan ambang Tahun Baru.
"Pengunjung yang akan pergi sana untuk bergembira dan menyambut Tahun Baru.
"Adalah tidak adil jika penunjuk perasaan merosakkan sambutan dengan perhimpunan haram mereka," katanya.
Bagi memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar, Zainuddin berkata, Jalan Raja telah ditutup dari tengah malam Isnin manakala jalan susur dari Jalan Kinabalu ke Jalan Raja akan ditutup dari pukul 6 petang Selasa.
Katanya, polis akan menyiasat rundingan bahawa terdapat rancangan untuk membawa bahan letupan dalam perhimpunan haram.
"Kami juga memantau laman media sosial dengan teliti," kata Zainuddin.
mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan