Michel Sleiman, yang membuat pengumuman mengejutkan dalam satu ucapan ke seluruh negara dan disiarkan televisyen, bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut.
Tentera Lubnan bertungkus-lumus membendung gelombang keganasan yang semakin meningkat dikaitkan dengan perang saudara di Syria, konflik yang menyemarakkan ketegangan antara puak di Lubnan dan mengancam kestabilan negara itu.
Beli senjata baru, moden
“Raja Arab Saudi bermurah hati untuk memberi geran yang amat dihargai kepada Lubnan berjumlah AS$3 bilion untuk tentera kita, yang membolehkannya membeli senjata baru dan moden.
“Baginda menitahkan supaya senjata terbabit dibeli dari Perancis dengan segera, mempertimbangkan hubungan sejarah yang mengaitkannya dengan Lubnan dan kerjasama tentera antara kedua-dua negara,” katanya.
Sleiman berkata, beliau berharap Paris akan segera memenuhi inisiatif itu dan membantu tentera Lubnan dengan senjata, latihan dan penyelenggaraan.
Presiden Perancis, Francois Hollande, yang berada di Riyadh kelmarin untuk rundingan dengan Raja Abdullah, berkata Perancis akan membantu jika diminta berbuat demikian.
“Jika ada permintaan yang ditujukan kepada kami, kami akan memenuhinya,” kata Hollande kepada media.
Lubnan yang sentiasa berdepan masalah puak dan pemerintahan semakin tidak stabil akibat perang saudara Syria.
Konflik itu membahagikan Lubnan secara ketara dan melumpuhkan sistem politiknya dengan negara itu kini ditadbir sebuah kerajaan sementara lemah dan tidak berkesan sejak April lalu.
Selain itu, ia juga menyaksikan siri pengeboman maut dan tembakan yang meningkatkan kebimbangan bahawa Lubnan, yang mengalami sendiri perang saudara ganas 15 tahun dan hanya tamat pada 1990, mungkin secara perlahan akan terjerumus ke kancah konflik puak semula. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan