- Sebanyak 35 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Parlimen Teluk Intan meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong.
Semua pusat mengundi akan ditutup 5 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sungai Timah yang akan ditutup pada pukul 4 petang kerana mempunyai sedikit pengundi.
Bernama melaporkan penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Jalan Changkat Jong.
Pada pengundian awal 27 Mei lepas, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi.
Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mampu mencecah 80 peratus, sama seperti peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Beliau juga menjangkakan keputusan PRK Parlimen Teluk Intan dapat diumumkan seawal pukul 9 malam.
Sementara itu, cuaca di Teluk Intan cerah di sebelah pagi, dan diramalkan hujan sebelah petang, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.
PRK ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Dalam PRU Mei 2013, Seah menang dengan majoriti undi 7,313 dalam pertandingan tiga penjuru.
LAPORAN LANGSUNG
8.15 pagi: SJKC San Min - Langit cerah berawan pagi ini. Calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tiba di sekolah tersebut yang menjadi salah satu daripada tempat mengundi di Pasir Bedamar, bersama dengan pemimpin yang lain.
Dyana bukan pengundi di situ, maka anak kelahiran Ipoh itu dijangka mengunjungi tempat-tempat mengundi lain dalam di Pasir Bedamar dan Changkat Jong.
Sementara itu, calon BN kelahiran Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan tiba di SMK Sultan Abdul Aziz untuk membuang undi pada pukul 9 pagi.
7.30 pagi: Ini adalah pilihan raya kecil (PRK) keenam selepas PRU13, dan PRK kawasan parlimen kedua selepas Bukit Gelugor minggu lalu.
Mah telah berkempen atas tema isu-isu tempatan seperti perkhidmatan majlis tempatan, manakala Dyana bertumpu kepada isu-isu nasional seperti kos hidup dan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kerajaan.
Pengundi berdaftar di Teluk Intan terdiri daripada 42 peratus Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.
PRU13 menyaksikan 80.4 peratus keluar pengundi, yang tertinggi pernah dicatatkan di kawasan ini
Malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan