31 May 2014

Surat terbuka untuk orang Teluk Intan

2 Sya'aban 1435. [MOD] -
  • Dyana Sofya Mohd Daud | 

  • Tuan/puan orang Teluk Intan yang baik budi,

    Dua minggu sudah begitu memerah tenaga, namun sangat mengujakan. Sejak dinamakan oleh DAP sebagai calon pilihanraya kecil Teluk Intan, saya melalui pelbagai pengalaman dalam masa dua minggu ini jika dibanding dengan usia 27 tahun saya.
    Dengan tiba-tiba saya menjadi tumpuan menteri-menteri UMNO yang tidak dapat menahan diri daripada memberi komen tentang rupa paras saya. Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu tuan-tuan supaya jangan undi saya hanya sebab saya memakai gincu. Datuk Zahid Hamidi pula berkata saya ini tidak lah cantik sangat jika jumpa berdepan.

    Datuk Ahmad Maslan pula menekankan bahawa isterinya sendiri, bahkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman pun, boleh menang jika ini satu pertandingan ratu cantik. Rupa paras saya langsung tidak penting dalam pilihanraya kecil yang sangat penting ini. Saya tidak masuk DAP untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Saya menyeru orang Teluk Intan untuk menilai saya melalui nilai, prinsip dan impian saya untuk Malaysia yang lebih baik. Saya mahu memenangi pilihanraya ini bukan kerana rupa paras, tapi kerana kebolehan saya untuk membawa perubahan dalam lanskap politik Malaysia di Parlimen.

    Lawan politik saya telah menyerang dengan ganas dan bersembunyi di sebalik blog-blog yang menyokong Barisan Nasional, dan juga risalah-risalah yang menfitnah saya dengan menggunakan gambar palsu dan tuduhan-tuduhan tidak berasas tentang moral dan etika saya. Sewaktu melawat beberapa pasar malam, saya bertemu beberapa pembuli dari kalangan penyokong UMNO yang mengejek-ejek, menggangu malah cuba menghalang laluan kempen.

    Terdapat menteri yang malah turut menyebarkan penipuan bahawa saya bukan seorang peguam dan tidak mempunyai ijazah undang-undang. Walaupun saya telah membuktikan bahawa saya telah diiktiraf sebagai peguam pada tahun 2011, itu nampaknya tidak relevan bagi BN, yang begitu terdesak untuk menang dengan apa cara sekali pun.

    Serangan paling jahat datang daripada seorang bekas menteri yang menuduh saya ini seorang pengkhianat Melayu. Jelas sekali mereka tidak peduli bahawa pengkhianat sebenar orang Melayu adalah pemimpin BN yang menyalahgunakan kuasa, memperkayakan kroni dan sanak saudara serta melakukan rasuah yang merugikan kita semua.

    Taktik kotor dan jahat oleh pihak lawan tidak akan mematahkan semangat saya untuk memperjuangkan hak kesemua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang terpinggir dan didiskriminasi. Saya tidak akan merasa lemah semangat dan saya tidak akan menjadi pengkhianat kepada rakyat Malaysia.

    Sementara pemimpin UMNO melabel saya sebagai pengkhianat orang Melayu, pemimpin Gerakan pula menyerang saya kononnya saya ini ekstremis Melayu
    kerana dakwaan hubungan saya dengan pertubuhan Perkasa. BN terus melakukan pendekatan pecah dan perintah di mana mereka memberi mesej berbeza kepada
    kaum-kaum yang berbeza.

    Biar saya jelaskan di sini. Pada waktu saya diminta ibu saya untuk membantu dengan tugas-tugas mendaftarkan peserta atau memakaikan bunga kepada VIP sewaktu penubuhan Perkasa ketika saya masih seorang mahasiswa lebih 5 tahun lalu, saya tidak terlibat dengan aktiviti Perkasa, dan saya juga bukan seorang ahli. Bahkan ibu saya sendiri menjauhkan diri daripada Perkasa dan tidak lagi aktif setelah beliau tidak bersetuju dengan aktiviti dan prinsipnya.

    Saya membesar dalam keluarga UMNO dan melihat sendiri bagaimana Perkasa berfungsi, dan ini meyakinkan saya bahawa DAP mempunyai platform dan nilai-nilai terbaik demi memperjuangkan negara Malaysia yang lebih demokratik, adil dan makmur dari segi ekonomi.

    Saya yakin bahawa Malaysia telah rosak akibat 57 tahun poltik perkauman melalui sistem pecah dan perintah oleh BN. Saya sedih melihat bagaimana pemimpin BN dan proksi mereka seperti Perkasa menghasut rakyat pelbagai kaum untuk membenci sesama sendiri, berbanding berjuang demi kebaikan sesama sendiri.

    Saya mahu buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa bukan hanya orang Cina yang boleh membantu orang Cina, bukan hanya Melayu yang boleh membantu Melayu, dan bukan hanya orang India boleh membantu orang India. Saya ingin menunjukkan contoh, demi membina sebuah negara di mana seorang Melayu boleh membantu seorang Cina, seorang Cina boleh membantu seorang India dan seorang India boleh membantu seorang Melayu. Impian saya adalah untuk MeMalaysiakan semula Malaysia.

    Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas budi baik dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada saya oleh orang Teluk Intan. Sambutan hangat dan kasih sayang dari semua kaum - Melayu, India dan Cina memperkukuhkan keyakinan saya terhadap masyarakat negara ini, serta memperkuatkan keazaman saya untuk berjuang demi Malaysia.

    Dengan sokongan pengundi Teluk Intan, saya berharap dapat menunaikan janji saya untuk berpindah dan tinggal di daerah yang begitu indah dan bersejarah ini. Saya berjanji untuk memberikan khidmat bakti kepada anda dengan penuh komitmen dan dedikasi, dan memastikan ngauman Teluk Intan menggegarkan Parlimen Malaysia.

No comments: