04 Julai 2021

Cubaan seludup rokok dalam roti tebuk ke pusat kuarantin gagal

 

Selain kotak rokok yang disembunyikan di dalam roti dihantar waris pesakit Covid-19, rokok daun dan tembakau juga antara yang cuba diseludup masuk ke pusat kuarantin terbabit. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Cubaan menyeludup masuk rokok disembunyikan dalam kepingan roti ‘tebuk’ untuk pesakit Covid-19 gagal selepas taktik itu berjaya dikesan pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Pemerintah PKRC Maeps Serdang, Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan pelbagai taktik dilakukan waris dan ahli keluarga pesakit Covid-19 yang cuba menghantar rokok dan vape.

Norhizam berkata, terbaru pihaknya mengesan cubaan menyeludup beberapa kotak rokok yang disembunyikan di dalam roti dihantar seorang waris pada jam 7.15 malam kelmarin.

“Malah, sehari sebelum itu, kami turut merampas rokok daun dan tembakau yang turut disembunyikan di dalam kepingan roti yang ditebuk.

“Kegiatan penyeludupan ini makin menjadi-jadi apabila anggota turut merampas lima kotak rokok yang disembunyikan dalam bungkusan roti pada jam 3.15 petang kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, ada juga alat vape dirampas selepas disembunyikan dalam bungkusan mi segera, kotak makanan bijirin dan tabung keropok kentang.

“Biasanya pesakit di dalam Maeps akan menghubungi ahli keluarga dan meminta supaya rokok ini dihantar kepada mereka dengan pelbagai taktik penyeludupan kreatif.

“Saya beri amaran kepada mereka (waris) supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Majoriti kesalahan ini dilakukan oleh waris pesakit warga tempatan berbanding pesakit bukan warganegara,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, demi keselamatan pesakit lain pihak polis yang bertugas di Maeps turut melakukan pemeriksaan mengejut ke dalam dewan kuarantin bagi memastikan rokok tidak dibawa masuk atau diseludup.

“Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Maka merokok boleh merosakkan fungsi paru-paru yang menjadi sasaran virus Covid-19,” katanya.

FMT/-

Tiada ulasan: