KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kempen mengibarkan bendera hitam ditularkan menerusi media sosial, baru-baru ini, yang didakwa berbaur hasutan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan masih di peringkat awal dan sedang dikemas kini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada BH, hari ini.
Khamis lalu, Media Sekretariat Solidariti Rakyat dalam kenyataan mengajak rakyat mengibarkan bendera hitam bagi menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN) menguruskan negara.
Desakan itu timbul susulan kempen mengibar bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan dan pendapatan terjejas akibat penularan COVID-19 mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, pihaknya masih dalam proses untuk membuat permohonan semula kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengeluarkan notis merah terhadap seorang rakyat Malaysia di Jerman.
"Kita akan mohon semula notis merah terhadap lelaki itu yang dikehendaki kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan," katanya.
Polis dilaporkan mengemukakan permohonan notis merah ke atas N Ganeparan, 39, kepada INTERPOL melalui surat bertarikh 22 Disember tahun lalu, namun ditolak.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman ke atas Ganesparan selepas tular satu video bertajuk 'Racist in Vacine Malaysia' dimuat naik di Facebook.
Lelaki berkenaan mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama 'Sinovac' diberikan kepada golongan bukan Islam manakala golongan Islam diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama 'Pfizer'.
Tahun lalu, polis turut menjalankan siasatan terhadap Ganeparan susulan dakwaannya melalui satu rakaman video kononnya lebih 200 tahanan lokap mati akibat kekerasan polis antara 2000 hingga 2014.
BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan