Al-Quran adalah kitab mukjizat ilmu, petunjuk Allah SWT kepada seluruh manusia pada akhir zaman. Rasulullah SAW pula telah menunjukkan pelaksanaannya yang sempurna, bermula daripada urusan diri, keluarga sehinggalah urusan menegakkan negara yang mewajibkan adanya pemimpin.
Setiap pemimpin wajib ada secara silih berganti, berpandukan kepada petunjuk Allah SWT daripada Kitab-Nya dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ilmu dalam al-Quran terpelihara dalam penulisan yang tidak putus hingga kini.
Selepas Rasulullah SAW wafat, urusan kepimpinan dilangsungkan pelantikannya berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah Baginda SAW. Sehingga setiap ketua negara yang dilantik berbaiah (memberikan kesetiaan) kepada petunjuk tersebut. Maka, memilih dan mengikut pemimpin yang tidak berpandukan petunjuk Allah SWT adalah suatu pengkhianatan yang besar dosanya dan kelak akan ditanggung pada Hari Akhirat. Firman Allah SWT:
﴿يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا٦٦ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا٦٧ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا٦٨﴾
“Pada hari ketika muka mereka dibolik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): ‘Alangkah baiknya, kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul-Nya.’ (66); Dan mereka berkata lagi: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan yang benar.’ (67); ‘Wahai Tuhan kami, timpakanlah ke atas mereka azab dua kali ganda, dan laknatilah mereka dengan laknat-Mu sebesar-besarnya!’ (68).”
Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ نُؤْمِنَ بِهَذَا الْقُرْآنِ وَلَا بِالَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ مَوْقُوفُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ يَرْجِعُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ الْقَوْلَ يَقُولُ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لَوْلَا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ٣١ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا أَنَحْنُ صَدَدْنَاكُمْ عَنِ الْهُدَى بَعْدَ إِذْ جَاءَكُمْ بَلْ كُنْتُمْ مُجْرِمِينَ٣٢ وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَنْ نَكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَنْدَادًا وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ٣٣﴾
“Dan orang-orang kafir berkata: ‘Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada al-Quran ini dan tidak (pula) kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya.’ Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh-menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takabbur (yang menjadi ketuanya): ‘Jika tidak kerana kalian (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman.’ (31); Orang-orang yang sombong takabbur itu menjawab kepada orang-orang yang lemah: ‘Kami inikah yang telah menghalang kalian daripada menerima hidayah sesudah petunjuk itu datang kepada kalian? (Bukan kami yang menghalang) Bahkan kalian sendiri yang menjadi orang-orang yang berdosa.’ (32); Dan berkata pula orang-orang yang dianggap lemah kepada orang-orang yang sombong takabbur itu: ‘Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kalian yang memperdayakan kami malam dan siang, ketika kalian menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagi-Nya.’ Kedua-dua belah pihak menyatakan penyesalan tatkala mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (33).” (Surah Saba’: 31-33)
Kaum Bani Isra’il dimurkai oleh Allah SWT, sehingga umat Islam diminta supaya berdoa dalam setiap rakaat solat agar tidak menjadi seperti mereka.
﴿إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ٥ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ٦ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ٧﴾
“Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); (Iaitu) Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7).” (Surah al-Fatihah: 5-7)
Bani Isra’il dimurkai oleh Allah SWT kerana tidak mengikut petunjuk-Nya dalam kitab Taurat dan Injil, sama ada terus menyelewengkan semuanya atau beriman dengan sebahagian daripada Kitab sahaja dan kufur (ingkar) dengan sebahagian yang lain.
Selain itu, mereka juga menolak pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, pelantikan Allah SWT yang diberitahu oleh para Rasul mereka dan juga disebutkan dalam kitab suci mereka. Perkara ini telah dibuktikan oleh al-Quran yang menunjukkan persamaan dari sudut dasar dan juga beberapa hukum.
Mereka memilih pemimpin dan raja berasaskan aspek kebendaan, bukannya pemimpin yang berusaha untuk menegakkan Kitab Allah dengan ilmunya. Allah SWT mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka:
﴿وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ٢٤٧﴾
“Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: ‘Sesungguhnya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kalian.’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana Talut mendapat kuasa memerintah kami, sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberikan keluasan harta kekayaan?’ Nabi mereka berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kalian, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.’ Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 247)
Mereka itu sangat bebal, bahawa dengan ilmu dan harta dapat dihasilkan dan diuruskan dengan cara yang baik dan berfaedah dengan membawa keberkatan. Adapun harta tanpa ilmu daripada petunjuk Allah SWT membawa kemusnahan.
Allah SWT menunjukkan kepada umat Islam bahawa memilih pemimpin merupakan suatu amanah yang paling besar dengan ciri-ciri kepimpinan yang sempurna.
Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum secara adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)
‘Ulil Amri’ ialah para pemimpin yang memenuhi syarat dan para ilmuwan yang memelihara petunjuk Allah SWT dan cara pelaksanaannya yang adil. Allah SWT tetap mengekalkan Islam terpelihara melalui ilmu dan pelaksanaannya walaupun kuasa Islam sudah dihapuskan, namun ajaran dan ilmunya tidak mampu dipadamkan cahayanya sekali-kali.
Bukan alasan lagi, kononnya kini tidak mampu dilaksanakan Islam kerana tiada persediaan dan alasan-alasan lain seperti Islam tidak sesuai pada zaman kini. Namun sebaliknya, secara terus-menerus melaksanakan perkara selain daripada ajaran Islam yang dikatakan lebih baik, walaupun apa yang dilakukan itu gagal menyelesaikan masalah di negara penciptanya.
Inilah alasan mereka yang melaksanakan agenda musuh Islam yang tidak memberikan tempat dan peluang kepada Islam, atau juga alasan mereka yang buta al-Quran dan jahil ilmunya.
Allah SWT memberikan amaran agar jangan terpengaruh dengan golongan ini. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
﴿وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ٤٩ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ٥٠﴾
“Dan hendaklah kalian menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kalian menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49); Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tiada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. (50).” (Surah al-Ma’idah: 49-50)
Kita sedang menyaksikan kelemahan dan kegagalan ideologi, teori dan semua ajaran lain daripada Islam. Maka, wajib bagi umat Islam kembali semula memimpin umatnya bersama ajaran Islam yang sempurna. Agama yang telah membuktikan kejayaannya pada zaman keemasan, sehingga ia menjadi teladan kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT:
﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠﴾
“Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kalian menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada melakukan segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Sekiranya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan daripada mereka ialah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran: 110)
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menegaskan ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan kewajipan pelaksanaan petunjuk-Nya yang sempurna dan tetap dipelihara. Firman Allah SWT:
﴿الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾
“(Iaitu) Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)
Ayat di atas menjelaskan bahawa mereka yang diberikan amanah memimpin, syaratnya ialah kalangan yang erat hubungannya dengan Allah SWT, menegakkan ekonomi yang adil, melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar, serta berwawasan Hari Akhirat.
Bukanlah dilantik pemimpin daripada kalangan mereka yang fasiq, pembohong yang menipu rakyat, tidak melakukan amar ma‘ruf dan nahi munkar, serta hanya berwawasan dunia tanpa mengambil kira perhitungan pada Hari Pembalasan di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan