JAKARTA: Bandar raya ini lengang selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat, bermula semalam hingga 20 Julai ini.
Pengumuman darurat di seluruh pulau Jawa dan Bali dibuat Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), susulan penularan varian COVID-19 Delta yang menyaksikan peningkatan ketara kes di republik ini sejak seminggu lalu.
Serentak itu, kerajaan menggunakan seluruh jentera yang ada untuk mencegah penularan COVID-19.
Bermula semalam, semua pekerja dalam sektor perkhidmatan bukan perlu mula bekerja dari rumah manakala pusat beli belah, rumah ibadat dan taman awam ditutup dan makan dalam premis menjual makanan dan minuman turut dilarang.
Perjalanan udara dan kereta api hanya dibenarkan kepada penumpang yang memiliki sijil status COVID-19, sudah lengkap divaksin dan negatif ujian saringan.
Polis mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya di sekitar bandar raya Jakarta, kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 40 zon merah bagi mengurangkan pergerakan penduduk di situ.
Jurucakap polis Jakarta memberitahu Arab News semalam, pihaknya mengadakan 63 sekatan jalan raya di seluruh bandar raya ini dan tidak menggalakkan orang ramai keluar jika tiada perkara penting.
Pelaksanaan perintah darurat itu akan meliputi 122 wilayah dan kota di seluruh Jawa yang merangkumi 60 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia.
Ia juga membabitkan kepulauan Bali yang menjadi destinasi percutian popular, dengan kepadatan empat juta penduduk.
Menteri Kesihatan, Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, pula menjangkakan kes jangkitan COVID-19 akan terus meningkat dalam tempoh lima hingga tujuh minggu selepas sambutan Aidiladha pada 20 Julai ini.
"Kita akan terus berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya kerana varian COVID-19 Delta lebih mudah menular. Kita melaksanakan perintah PPKM di pulau Jawa dan Bali kerana di wilayah lain kes masih terkawal," katanya.
Semalam, Indonesia mencatatkan 493 kemarian dan 27,913 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah kumulatif lebih 2.2 juta kes dan 60,027 kes kematin.
Sementara itu, Gunadi Sadikin berkata, Indonesia akan terus meningkatkan keupayaan program vaksinasi dengan sasaran melakukan suntikan ke atas 181.5 juta orang atau 100 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas sehingga akhir tahun ini,
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan kelulusan darurat untuk penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer pada golongan muda berusia 12 hingga 17 tahun dan vaksin Sinovac China untuk mereka yang berusia antara tiga hingga 17 tahun.
Beliau berkata, Sinovac adalah satu-satunya pengeluar vaksin yang mengekalkan komitmennya untuk memberikan 150 juta dos, manakala yang lain seperti AstraZeneca hanya dapat menghantar 30 juta dos.
"(AstraZeneca) gagal memenuhi komitmennya untuk memberikan 50 juta dos pada akhir tahun ini kerana masalah yang mereka hadapi.
"Kita mengharapkan lebih banyak penghantaran dari pengeluar vaksin dan sumbangan dari negara lain, termasuk pengiriman pertama sebanyak 50 juta dos Pfizer pada awal bulan depan.
"Ini adalah tambahan kepada emapt juta dos vaksin Moderna dari Amerika Syarikat, tiga juta dari Belanda dan jumlah yang tidak ditentukan dari UK," katanya.
Hampir satu juta dos AstraZeneca tiba dari Jepun, sebagai sumbangan, Khamis lalu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan