KUALA LUMPUR: Seramai 67.4 peratus atau 15,772,760 daripada keseluruhan populasi dewasa di negara ini direkodkan sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), setakat semalam.
Selain itu, seramai 20,401,824 yang mewakili 87.2 peratus populasi dewasa di negara ini direkodkan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menerusi hantaran di Facebook, berkata angka itu dicapai menerusi pemberian sebanyak 300,501 dos vaksin COVID-19, semalam.
Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara meningkat kepada 36,141,604 dos, iaitu merangkumi pemberian vaksin jenis dos tunggal dan dua dos.
Info grafik laporan kumulatif vaksinasi mengikut negeri menunjukkan, Lembah Klang mendahului peratusan populasi keseluruhan dengan 82.2 peratus penduduk sudah menerima dos pertama dan 70.1 peratus melengkapkan dos kedua.
Ia diikuti Wilayah Persekutuan Labuan yang mencatatkan 70.4 peratus bagi pemberian dos pertama dan 65.0 peratus untuk dos kedua, manakala Sarawak berada di kedudukan ketiga dengan 65.9 peratus selesai dos pertama dan 63.4 peratus lengkap kedua-dua dos.
Sementara itu, tiga negeri yang merekodkan kadar terendah peratusan lengkap vaksinasi mengikut populasi keseluruhan adalah Kedah, Kelantan dan Sabah.
Secara perbandingan, Kedah merekodkan pemberian vaksin dos pertama sebanyak 52.6 peratus dan 34.5 peratus bagi dos kedua, manakala Kelantan mencatatkan 44.0peratus (dos pertama) dan 30.9 peratus (dos kedua), diikuti Sabah iaitu 43.6 (dos pertama) dan 30.6 (dos kedua).
Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata fasa endemik di Malaysia dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.
Beliau berkata, ketika ini Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negari lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dengan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan