05 September 2021

Contoh pemimpin angkuh lagi biadab, bersifat iblis


Tuan Guru Abdul Hadi Awang

PERANG Tabuk telah mengubah landskap politik Semenanjung Tanah Arab sehingga ramai dalam kalangan penduduknya mula untuk memeluk agama Islam. Ini dibuktikan dengan ramai daripada kabilah yang datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Di antara mereka itu ialah daripada kalangan Bani ‘Amir.



Kabilah ini mempunyai jumlah yang agak besar. Rasulullah SAW pernah menemui mereka di Makkah sebelum hijrah, mengajak mereka menganut Islam dan berbai’ah untuk menegakkan Islam dan mempertahankannya nescaya Allah mengurniakan kemenangan.

Mereka tidak bernasib baik seperti kaum ‘Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah di mana mereka terus menganut Islam. Pemimpin Bani ‘Amir meminta janji pangkat dan harta benda. Apabila tidak percaya kepada janji Allah SWT dan Rasul-Nya, mereka menolak Islam.

Apabila Islam sudah tegak dengan teguh dan kuat, kabilah-kabilah Arab berduyun-duyun menganut Islam, beberapa orang dalam kalangan kabilah Bani ‘Amir berjumpa pemimpin utamanya bernama ‘Amir bin Al Tofail: “Semua kabilah Arab sudah pergi menganut Islam, kamu bilakah lagi nak masuk Islam?”

Amir menjawab: “Aku telah bersumpah supaya semua orang Arab berada di belakangku, adakah wajar aku menjadi pengikut Muhammad dalam kalangan Quraisy itu?”.

Amir bin Al Tofail dan dua orang lagi pemimpin kaumnya menyertainya untuk mengepalai rombongan datang bertemu Rasulullah SAW di Madinah, mereka ialah Arbad bin Qais dan Jabar bin Aslam mengikut satu riwayat yang lain, Salma atau Sulma.

‘Amir berpakat dengan Arbad untuk membunuh Rasulullah SAW dengan cara dia berbual-bual dengan Rasulullah SAW dan pada masa itulah Arbad mengambil peluang untuk membunuhnya.

‘Amir cuba untuk memujuk Rasulullah SAW supaya memberikannya pangkat dan kekuasaan sekiranya dia memeluk agama Islam namun gagal. Adapun rakannya yang ditugaskan untuk membunuh Rasulullah SAW ditahan oleh Allah sehingga dia tidak berupaya mengangkat pedangnya.

Rasulullah SAW sememangnya mengetahui niat jahat mereka berdua lalu Baginda berdoa supaya Allah SWT menghukum kedua-dua musuh yang jahat itu. Doa Rasulullah SAW itu telah diperkenankan Allah SWT.

Arbad terus disambar petir dalam perjalanan pulang dan ‘Amir dihinggapi penyakit kronik luar biasa, dia diletakkan di atas kuda dan Allah SWT mematikannya dengan hina. Adapun Jabar bin Aslam pemimpin yang ketiga, berakhir dengan menganut Islam bersama kaumnya.

Demikianlah contoh pemimpin angkuh lagi biadab yang bersifat iblis menjadi kafir dengan sebab takbur sehingga menolak yang benar walaupun mengetahuinya di mana sifat takbur menghalang hidayah kerana sifat itu tidak melayakkan hidayah di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW tidak melayan orang yang mahu membeli Islam dengan pangkat dan kemegahan kerana Islam seperti itu tidak mencapai matlamat risalah Islam dan tidak dibina di atas niat yang sebenarnya.

Kuliah Dhuha Jumaat, 3 September 2021. – HARAKAHDAILY 4/9/2021

Tiada ulasan: