05 September 2021

Pelantikan Muhyiddin sebagai kesinambungan tugasan – Abdul Hadi

 

ABDUL HADI AWANG

PETALING JAYA: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Menurut beliau, ini bersesuaian dengan pengalaman Muhyiddin dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

“Semoga gandingan beliau bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook hari ini.

Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu.

Jelasnya, pelantikan bekas Perdana Menteri ke-8 itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

UTUSAN/-

Tiada ulasan: