JAKARTA: Rakyat Indonesia menyuarakan kebimbangan berhubung tahap keselamatan data perubatan peribadi selepas sijil vaksin COVID-19 Presiden Joko Widodo (Jokowi) bocor, selain aplikasi ujian juga dilihat terjejas.
Indonesia dikatakan mempunyai rekod keselamatan siber yang lemah, dengan literasi dalam talian yang rendah serta sering berlaku kebocoran data.
Menurut kerajaan sijil vaksinasi Jokowi yang dibocorkan dalam talian menunjukkan nombor pengenalan dan tarikh vaksinasi. Data itu ditemui pengguna di aplikasi pemantauan vaksin rasmi PeduliLindungi dan sudah diakses beberapa pengguna.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, berkata pihak berkuasa telah menyekat akses ke data rasmi awam berikutan pelanggaran itu dan sedang menambah baik data keselamatan pengguna PeduliLindungi.
Kebocoran itu berlaku hanya beberapa hari selepas penyelidik penyedia pengekodan vpnMentor mendedahkan maklumat 1.3 juta pengguna aplikasi ujian dan jejak kerajaan bocor.
"Pelanggaran data kerap berlaku di Indonesia kerana penembusan digital yang sangat tinggi di Indonesia tetapi malangnya ia tidak diikuti dengan kesedaran digital yang betul daripada mereka yang menguruskan data," kata penganalisis keselamatan siber, Alfons Tanujaya.
Pada Mei lalu, data lebih 200 juta peserta Badan Penjagaan Kesihatan Nasional dan Keselamatan Sosial (BPJS Kesihatan) didakwa dibocorkan oleh penggodam.
Bagaimanapun pegawai Kementerian Komunikasi dan Penerangan menafikan perkara itu, sebaliknya mengatakan data Jokowi diakses melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Umum.
Sementara itu, seorang penduduk, Ageng Wibowo, 39, berkata kejadian itu menyebabkan dia bimbang dengan keselamatan data peribadi dan menggesa penggubalan satu undang-undang keselamatan siber lebih ketat.
"Jika data seorang presiden boleh bocor, bagaimana dengan saya yang hanya seorang rakyat biasa," soalnya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan