05 September 2021

Salah tuntut gaji RM2.9 juta seminggu

 

MOHAMED SALAH

LONDON: Liverpool perlu membayar harga  tinggi jika mahu mengekalkan Mohamed Salah selepas bintang penyerang Mesir itu menuntut gaji 500,000 pound (RM2.9 juta) seminggu.

Menurut akhbar Britain, The Mirror, Salah percaya nilai yang ditetapkan itu padan dengan sumbangan yang telah diberikan kepada Reds selama ini.

Salah, 29, yang diintai dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona menampilkan aksi cemerlang sepanjang empat musim di Anfield dan mahu dihargai setanding nama besar lain di Liga Perdana seperti Cristiano Ronaldo serta Kevin De Bruyne.

Salah yang menjaringkan 31 gol musim lalu kini menikmati gaji 200,000 pound (RM1.2 juta) seminggu, dan kontraknya akan tamat pada Jun 2023.

Menurut The Mirror, Liverpool bersedia memberi kenaikan gaji yang besar, namun perlu membuat kiraan semula gaji keseluruhan pemain untuk memenuhi tuntutan Salah.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp baru-baru ini turut memberi gambaran Salah akan ditawarkan kontrak baharu yang lumayan.

“Saya terlibat dalam hampir setiap perkara di kelab, mungkin ada rundingan yang dijalankan tanpa saya tapi selain itu saya tahu tentang semua perkara dan begitulah selalunya.

“Saya tahu kelab ada mengubah sedikit (terma kontrak) Hendo (Jordan Henderson).

“Mo (Salah) pula dalam situasi yang sangat baik dan penampilan yang amat hebat,” kata Klopp. – AGENSI

Tiada ulasan: