15 September 2021

Bas persiaran di Langkawi disanitasi

 

BEBERAPA petugas melakukan sanitasi ke atas bas persiaran di Pekan Rabu, Langkawi hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

LANGKAWI: Sebanyak 25 buah bas persiaran yang beroperasi di pulau peranginan ini disantasi sebagai persiapan menyambut ketibaan pelancong menjelang pembukaan Langkawi bermula esok.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Langkawi, Megat Radhi Azizan berkata, kesemua bas tersebut disanitasi untuk memastikan bas tersebut selamat dan terhindar daripada penularan Covid-19. 

Menurutnya, langkah tersebut diambil untuk meningkatkan keyakinan pelancong untuk menggunakan perkhidmatan bas persiaran di pulau ini

Katanya, kos sanitasi bas persiaran itu dibiayai oleh Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi  bagi membantu meringankan beban pemilik bas tersebut.

“Program sanitasi bas persiaran ini dijalankan dengan bantuan 20 orang ahli dan pemimpin Pemuda UMNO Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas pemberita selepas program sanitasi bas persiaran di Pekan Rabu di sini hari ini.

Turut hadir Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Mohd. Fauzi Abdul Rahman.  

Megat Radhi memberitahu, selain melakukan sanitasi, kebanyakan pengusaha bas di sini juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaik pulih dan menyelenggara bas yang telah lama tersadai sejak lebih setahun lalu.

Katanya, sebelum ini, kebanyakan pengusaha bas pelancong terjejas pendapatan berikutan ketiadaan pelancong yang berkunjung ke pulau ini.

“Pembukaan semula Langkawi kepada pelancong ini dapat melegakanm pengusaha bas persiaran dan pemain industri pelancongan lain selepas mereka terkesan dengan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengharapkan pelancong dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan gelembung pelancongan di Langkawi berjaya dan contoh terbaik kepada destinasi pelancongan lain di negara ini.  -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: