KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam menjelang pembukaan semula Langkawi di bawah inisiatif gelembung pelancongan domestik esok, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berharap program itu dapat berjalan dengan lancar serta selamat.
Nancy, yang tiba di Langkawi petang tadi, turut berharap inisiatif itu mampu memberi sinar buat penggiat industri pelancongan agar mereka kembali bernafas dan bangkit semula, setelah sekian lama terjejas akibat pandemik Covid-19, selain meminta pelancong sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Pastikan gelembung pelancongan Langkawi ini kekal hijau agar kita dapat realisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menerusi perkongsian berasingan, Nancy berkata, beliau berpuas hati mendengar taklimat pelaksanaan Sistem TracAPM ke atas pelancong yang tiba di Langkawi esok bagi mengurangkan sentuhan dan menghentikan pengoperasian secara manual dalam proses pengurusan gelembung pelancongan.
“Sistem ini akan membantu kementerian dengan aliran kerja menyeluruh pemantauan pergerakan pelawat dari masa ketibaan sehinggalah ke tempat penginapan atau stesen kuarantin dan daftar keluar dari tempat penginapan atau stesen kuarantin,” katanya.
Beliau berkata, 24 ahli Persatuan Pemuzik dan Buskers yang menaiki bas dari ibu negara tiba di Langkawi hari ini seawal 4 pagi bagi memeriahkan pembukaan esok.
Mereka dibenarkan membuat persembahan di sembilan lokasi utama di pulau itu, antaranya Dataran Lang.
“Saya berharap usaha ini dapat memberi peluang kepada penggiat seni muzik memperoleh semula sumber pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka, setelah sekian lama tidak dapat membuat persembahan di tempat awam.”
Esok, Nancy dijadual menyambut ketibaan penerbangan pertama pesawat yang membawa pelancong ke pulau legenda itu pada 10.45 pagi, sebelum menyambut pelancong yang menaiki feri serta meninjau pematuhan SOP bersama Persatuan Hotel Malaysia dan Langkawi Skybridge Cable Car.
Lembaga Pembangunan Langkawi menjangkakan sekitar 400,000 pelancong mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan, bermula dari pembukaan semula pulau peranginan itu esok hingga Disember ini dengan hasil sekitar RM165 juta.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan setiap pelancong yang ingin ke Langkawi bercuti diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.
FMT/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan