15 September 2021

PERHILITAN rampas 50 sumbu badak bernilai RM30 juta

 PERHILITAN merampas 50 sumbu badak  bernilai RM30 juta dalam Operasi  Bersepadu  Khazanah ( OBK)  Zon Tengah  pada 9 September lalu. - Foto ihsan PERHILITAN

PERHILITAN merampas 50 sumbu badak bernilai RM30 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah ( OBK) Zon Tengah pada 9 September lalu. - Foto ihsan PERHILITAN

KUALA LUMPUR: PERHILITAN menumpaskan cubaan menyeludup 50 sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta selepas menahan dua suspek di Sepang, Selangor Khamis lalu.

Dua suspek berkenaan ditahan di Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah.

PERHILITAN dalam kenyataan berkata, rampasan itu adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak.

"Melalui operasi itu, turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak. Operasi tangkapan ini dijalankan anggota PERHILITAN hasil risikan secara berterusan oleh unit khas," kata kenyataan itu.

Menurut PERHILITAN, sumbu badak berkenaan disyaki diseludup dari luar negara namun analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) akan dijalankan Makmal Forensik Jabatan PERHILITAN bagi mengenal pasti sumber asal bahagian hidupan liar itu.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

ika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut PERHILITAN, terdapat lima kes berkaitan dengan penyeludupan membabitkan 96 unit sumbu badak direkodkan oleh PERHILITAN dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Kes cubaan menyeludup sumbu badak sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah serius serta berprofil tinggi.

"Spesies badak serta bahagiannya adalah dilindungi dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta 716. Ia juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (Akta 686) di mana spesis ini tidak boleh diperdagangkan sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial," kata PERHILITAN.

Sehubungan itu, PERHILITAN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram dan jenayah hidupan liar supaya menghentikan serta merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

PERHILITAN turut menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti supaya tidak diancam kepupusan.

Semua pihak turut disaran untuk memainkan peranan bersama-sama gan pihak Kerajaan dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.

bh/-

Tiada ulasan: