15 September 2021

Tujuh pekerja asing didenda miliki kad pengenalan palsu

 

TUJUH pekerja asing warga Indonesia dan Filipina tiba di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, hari ini- UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM: Tujuh pekerja asing terdiri daripada empat warga Indonesia dan tiga dari Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu.

Bagaimanapun, mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Razali.

Tertuduh Ridhwan Likung, 26, Nona Najuk, 45,  dan Masriyah Ismail, 40, dari Filipina serta Sundari Mahmudi, 29, Nurmina Kipli, 45, Salina Husin, 48 dan Mulyani, 47, dari Indonesia masing-masing didenda RM3,000 hingga RM6,000 selepas mengaku bersalah.

Mohamad Redza memerintahkan mereka menjalani hukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Mengikut pertuduhan, mereka didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan menggunakan salinan kad pengenalan orang lain atas pelbagai nama sebagai dokumen untuk bekerja dekat sebuah kilang tekstil di sini.

Mereka dikesan melakukan kesalahan itu dekat kilang terbabit di Seksyen 26, Taman Perindustrian Hicom, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 2 petang semalam.

Pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zulkarnain Ahmad. 

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali mengikut Peraturan 25(1) (e), Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: