15 September 2021

Terengganu beralih ke Fasa 3 PPN, taska dan tadika boleh dibuka

 PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Ihsan JPM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Ihsan JPM

Kuala Lumpur: Terengganu akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk memberi kelonggaran tambahan bagi sektor ekonomi, sosial dan pendidikan mengikut fasa tertentu.

"Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat perkembangan minda di negeri Fasa 1 serta 2 PPN dibenarkan beroperasi bagi anak yang ibu bapa bekerja.

"Operator dan pekerja di pusat berkenaan perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi.

"Aktiviti kolam memancing dibenarkan dalam tempoh PPN di negeri Fasa 1 dan 2 dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap. Operasi dibenarkan dari 6 pagi hingga 8 malam (Fasa 1) manakala jam 6 pagi hingga 10 malam (Fasa 2)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut membenarkan aktiviti sukan rekreasi bersentuhan fizikal, berkumpulan seperti bola sepak, bola tampar atau takraw dan aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba secara berkumpulan kepada individu lengkap vaksin di negeri Fasa 2 serta 3 PPN.

Beliau berkata, negeri Fasa 2 dan 3 turut diberi kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan dan ekonomi membabitkan pengurusan perhutanan merangkumi pengusahasilan hutan (pembalakan dan hasil hutan bukan kayu); perladangan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) serta pembangunan hutan (di bawah Projek Pembangunan Hutan RM Ke-12).

Mennurutnya, bagi kelonggaran di negeri Fasa 1, kerajaan membenarkan premis perniagaan beroperasi semula dengan syarat lengkap vaksin bagi kedai perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, bunga/nurseri, kraftangan/cenderahati, antik, alat permainan, permaidani, kandungan kreatif/peralatan industri kreatif, outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain), kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta tembakau (termasuk vape/rokok elektronik).

"Kerajaan turut membenarkan pengoperasian dan pembekalan mineral, bahan batuan serta pasir termasuk penjagaan, penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari, tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral atau Lesen Memproses Mineral bagi tujuan keselamatan untuk mengelakkan risiko kemalangan.

"Turut dibenarkan perladangan berasaskan kayu dan kenaf," katanya.

Beliau berkata, semua pejabat swasta di negeri Fasa 2 dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sekiranya 40 peratus pekerja lengkap vaksin manakala kapasiti 80 peratus sekiranya 60 peratus pekerja lengkap vaksin dan kapasiti 100 peratus jika 80 peratus pekerja lengkap vaksin.

Menurutnya, kelonggaran tambahan lain bagi negeri Fasa 2 adalah kebenaran operasi kilang perabot dan Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara serta Darat.

Katanya, mesyuarat secara bersemuka dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin di negeri Fasa 2 sehingga 4.

"Aktiviti ziarah kubur Islam dibenarkan di seluruh negara dengan mengikut ketetapan pihak Berkuasa Agama Negeri, begitu juga ziarah kubur bukan Islam dengan mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

"Kapal Persiaran dibenarkan dibuka dengan 50 peratus kapasiti dan semua anak kapal serta penumpang mesti lengkap divaksin," katanya.

hmetro/-


Tiada ulasan: