PETALING JAYA: Pergerakan balik kampung lancar dan terkawal sejak petang tadi dan malam ini di beberapa negeri Semenanjung.
Bagaimanapun, jumlah kenderaan kelihatan sedikit bertambah berbanding biasa.
Tinjauan Utusan Malaysia di TERENGGANU, aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini masih lagi lancar walaupun jumlah kenderaan bertambah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Pada kira-kira pukul 5 petang ini mendapati kebanyakan kenderaan di susur keluar terakhir lebuh raya itu adalah bernombor pendaftaran Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Seorang perantau, Zharif Masduqi Hashim, 29, berkata, kepulangannya enam beranak ke kampung halaman di Kuala Terengganu dari Petaling Jaya, Selangor hari ini bertujuan mengelak kesesakan yang dijangka berlaku esok.
“Pergerakan dari ibu kota masih lancar ketika saya bertolak tengah hari tadi termasuk di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong tetapi bilangan kenderaan sudah mula banyak.
“Semestinya ramai yang bercuti panjang hingga Selasa depan terutama anak perantau yang sudah lama tidak pulang ke kampung,” katanya.
Terdahulu, LPT2 Sdn. Bhd. yang merupakan pengendali lebuh raya berkenaan menjangkakan jumlah kenderaan meningkat antara 38,000 hingga 45,000 buah setiap hari susulan kebenaran aktiviti rentas negeri.
Di PERAK, aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke utara masih terkawal walaupun jumlah kenderaan bertambah susulan kebenaran aktiviti rentas negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, aliran trafik terkawal pada skala satu dan dua termasuk keadaan semasa di hentian rehat dan rawat (R&R) serta susur keluar dan masuk plaza tol.
“Sejak semalam, keadaan lebuh raya di bawah konsesi PLUS menunjukkan sedikit peningkatan dari arah selatan menuju utara.
“Trend peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka meningkat di kedua-dua arah lebuh raya sehingga Selasa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, aliran trafik di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang merupakan jalan utama menghubungkan Perak, Kelantan dan Kedah turut menunjukkan peningkatan.
Katanya, aliran kenderaan bertambah bermula tengah hari ini dari arah Gerik menghala ke Jeli namun keadaan lalu lintas masih lancar di skala tiga.
“Bagaimanapun, keadaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Batu 5, Teluk Intan-Beruas tidak menunjukkan peningkatan aliran kenderaan setakat hari ini,” katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, aliran trafik di Negeri Sembilan meningkat lebih 28 peratus selepas kebenaran merentas negeri berkuat kuasa Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, empat hari sebelum kebenaran berkenaan dikuatkuasakan, sebanyak 361,140 buah kenderaan direkodkan di susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) di negeri ini.
Bagaimanapun menurutnya, jumlah berkenaan bertambah sebanyak 28.9 peratus dalam penelitian selama empat hari selepas rentas negeri dibenarkan menjadikan jumlah kenderaan masuk ke negeri ini sebanyak 463,542 buah kenderaan.
“Hari ini kami lakukan pemantauan di tempat pelancongan (Port Dickson). Memang ramai masuk ke sini tetapi keadaan trafik masih terkawal. Kami akan terus memantau aliran di sini supaya sentiasa lancar serta tiada kenderaan yang diparkir di kiri kanan jalan sehingga menyebabkan trafik boleh sesak sejauh lima kilometer.
“Sekiranya keadaan ini berlaku, kita akan mengambil tindakan undang-undang kepada kenderaan yang diparkir di kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita sempena Op Lancar Negeri Sembilan di Batu 4, Jalan Pantai di sini. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan