15 Oktober 2021

PRN Melaka: PN akan muktamad rundingan kerusi dalam masa terdekat

 

Bersatu akan memuktamadkan rundingan kerusi antara semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

PETALING JAYA: Rundingan kerusi antara semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, mereka bersedia untuk berdepan PRN itu dengan melakukan persiapan sewajarnya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan baru-baru ini.

Katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Negeri telah mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti komponennya.

“Susulan taklimat yang diberikan oleh Mohd Rafiq, Bersatu dan parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program ‘outreach’ sedia ada di kerusi DUN Melaka bagi menyantuni rakyat, antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka.

“Manakala rundingan kerusi di antara semua parti komponen PN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt selepas empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka pada Isnin.

Ini termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN tersebut.

FMT/-

Tiada ulasan: