KUALA LUMPUR: “Dengar cerita ramai dah bersiap nak balik kampung. Dah boleh rentas negeri kan. Meriahlah lebuh raya kita hujung minggu ni,” kata Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berpesan dalam bersiap untuk pulang berjumpa keluarga, jangan lupa melakukan ujian kendiri.
Katanya, kit ujian kendiri boleh didapati di farmasi-farmasi dengan harga maksimum RM19.90 dan boleh melakukan sendiri sebelum pulang ke kampung halaman.
“Sebelum balik ke kampung halaman, jangan lupa untuk baca doa yang diajar oleh Nabi SAW agar dijauhkan daripada perkara yang memudaratkan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Faceook beliau, pagi ini.
Daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata yang bermaksud: “Adapun Rasulullah berdoa: Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk”. (Riwayat Abu Daud 1554).
Tambah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi, seronok rasanya dapat berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga tercinta tetapi jangan lupa mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Moga-moga kita semua selamat dari wabak Covid-19. Selamat pulang ke kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan