BANGKOK: Menteri-menteri luar negeri ASEAN akan mengadakan mesyuarat tergempar secara maya pada Jumaat, kemungkinan besar membincangkan isu berkaitan Myanmar, antara lain termasuk mengenai penyertaan Jeneral Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata mesyuarat tergempar dari 6 petang hingga 8 malam (waktu Thailand) itu tidak mempunyai “agenda khusus”.
“Ini mungkin kesempatan untuk berbincang mengenai isu tertangguh dan persiapan sidang kemuncak termasuk pelaksanaan konsensus lima perkara yang disepakati ASEAN,” katanya.
Menurut laporan Kyodo News yang memetik sumber, Singapura, Indonesia dan Malaysia mengusulkan agar Min Aung Hlaing yang memimpin rampasan kuasa pada 1 Feb dengan menggulingkan kerajaan awam Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi, tidak dibenarkan menyertai sidang kemuncak itu.
Menurut laporan berita itu, bagaimanapun, menteri luar Myanmar yang dilantik tentera atau pegawai kanan boleh menyertainya.
Tatkala masyarakat antarabangsa terus mendesak junta tentera untuk mematuhi konsensus lima perkara, Myanmar pada Rabu menyatakan pihaknya tidak menghalang Duta Khas ASEAN ke Myanmar untuk melawat negara itu tetapi tidak akan membenarkan beliau bertemu Suu Kyi.
Minggu lepas, Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof mengesahkan beberapa anggota telah berbincang mengenai usul tidak mengundang pemimpin tentera berkenaan.
Sejak rampasan kuasa, Myanmar dicengkam rusuhan yang menyaksikan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan oleh anggota pasukan keselamatan.
Bernama/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan