Kuala Lumpur: Malaysia menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah keseluruhan potensi perdagangan dan pelaburan itu diperolehi menerusi 14 Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC) yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan strategik mereka dari luar negara.
Katanya, syarikat luar negara itu kebanyakannya berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.
"MoU itu antara lain membabitkan teknologi blockchain dan berasaskan Internet Kebendaan (IoT), minyak dan gas, robotik dan automasi, penternakan akuatik dan bioteknologi, sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrasound serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.
"Sementara itu, LoI dan MoC pula membabitkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek.
"Ini adalah pencapaian yang amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega ini, ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca-Covid-19," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, momentum ini dijangka berterusan untuk 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terbabit.
"Bertemakan Energizing Sustainability, Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung dari 1 Oktober hingga 14 Oktober lalu.
"Kerajaan juga yakin akan melepasi jumlah sasaran antara RM8 bilion hingga RM10 bilion, terutama potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan ini.
"Tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sebagai kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai, yang mana Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) adalah agensi pelaksana," katanya.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan