22 November 2021

Australia buka semua sempadan untuk pelajar, pekerja


Menteri Dalam Negeri Australia, Karen Andrews. - Foto AFP
Menteri Dalam Negeri Australia, Karen Andrews. - Foto AFP

SYDNEY: Australia membenarkan kedatangan pelajar asing dan pekerja mahir mulai bulan depan dengan melonggarkan beberapa sekatan perjalanan pandemik yang paling ketat di dunia.

Selepas 20 bulan Australia menutup sempadannya, beberapa pemegang visa serta warga Jepun dan Korea Selatan boleh berkunjung mulai 1 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Karen Andrews, berkata Australia mula dibuka kepada dunia dan ia satu langkah ke hadapan untuk negara ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Scott Morrison menarik balik sekatan ke atas warganya yang melancong ke luar negara hingga mencetuskan kebanjiran tempahan perjalanan untuk musim panas.

Morrison juga enggan melonggarkan peraturan perjalanan untuk bukan warga Australia hingga menyebabkan kira-kira 1.4 juta pemegang visa mahir terperangkap, kumpulan perniagaan melobi agar pemegang visa telah divaksin dibenarkan pulang dan sektor universiti turut terkesan.

Menurut kumpulan universiti di Australia, kira-kira 130,000 pelajar antarabangsa kekal di luar negara dan bimbang sekiranya pelajar Asia memilih untuk belajar secara peribadi di Amerika Syarikat atau Eropah daripada membayar kursus dalam talian yang berpangkalan di Australia.

Selain itu, sehingga kini, belum ada maklumat mengenai bila pelancong luar boleh kembali ke Australia, yang kini menjejaskan sektor pelancongan negara berkenaan sejak sempadan ditutup pada Mac 2020. - AFP

 

Tiada ulasan: