22 November 2021

'Perlu ingat Kerajaan Pusat dibentuk pelbagai parti' - Takiyuddin

 

KOTA BHARU: PAS mengingatkan semua pihak bahawa Kerajaan Pusat yang ada kini dibentuk hasil gabungan pelbagai parti.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan)  beramah mesra  ketika hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran 10 rumah dan empat kedai musnah di Jalan Sultanah Zainab pada sidang media  di perkarangan Masjid Pakitan Jalan Sultanah Zainab, di Kota Bharu, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) beramah mesra ketika hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran 10 rumah dan empat kedai musnah di Jalan Sultanah Zainab pada sidang media di perkarangan Masjid Pakitan Jalan Sultanah Zainab, di Kota Bharu, hari ini.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia hanya dalam konteks negeri itu sahaja, sebaliknya di peringkat Persekutuan, kerajaan dibentuk oleh pelbagai parti.

"Saya melihat ia isu berbeza dan ini dalam konteks Melaka saja.

"Jangan lupa kerajaan yang diterajui BN juga dianggotai oleh PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Itu perlu ingat, sikit mahu ingat dan kita sama-sama menjaga, membantu kerajaan Melaka yang baharu," katanya ketika diminta mengulas adakah kejayaan UMNO bergerak solo dalam PRN Melaka, dilihat seolah-olah mencabar Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, turut menjelaskan kerajaan di peringkat Persekutuan juga adalah kerajaan yang tidak stabil tanpa gabungan semua parti itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta PRU diadakan dalam masa terdekat, Takiyuddin berkata, perkara itu adalah keputusan Kabinet.

"Yang menentukan PRU adalah Kabinet, bukannya parti tertentu. Malah, Kabinet terdiri daripada pelbagai parti.

"Maka, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: