BRUSSELS: Gelombang rusuhan baharu berlaku di beberapa bandar di Eropah serta wilayah Perancis bagi membantah pelaksanaan semula peraturan dan sekatan pergerakan COVID-19.
Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Brussels, beberapa bandar Belanda serta wilayah Guadaloupe.
Selain itu, rusuhan baharu juga dilaporkan berlaku di Austria, di mana kerajaan mengenakan sekatan pergerakan baharu dan mewajibkan vaksin COVID-19.
Di Brussels, keganasan tercetus semasa protes terhadap langkah anti-COVID-19 yang menurut polis dihadiri 35,000 orang.
Perarakan itu yang berlaku di Kesatuan Eropah (EU) dan daerah kerajaan di bandar itu, sebahagian besarnya tertumpu kepada larangan ke atas orang yang tidak divaksinasi ke tempat seperti restoran dan bar.
Seorang jurugambar AFP menyaksikan, perarakan itu bermula secara aman, namun polis melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata sebagai tindak balas kepada penunjuk perasaan yang melontar peluru, seorang jurugambar AFP menyaksikan.
Polis memberitahu agensi berita Belgium, tiga pegawai polis cedera dalam insiden berkenaan.
Rusuhan juga meletus di beberapa bandar Belanda semalam, iaitu malam ketiga pergolakan sebagai tindak balas sekatan COVID-19 dilaksanakan kerajaan.
Penunjuk perasaan menyalakan bunga api dan merosakkan harta benda di bandar utara Groningen dan Leeuwarden, serta di timur Enschede dan selatan Tilburg, kata polis.
Setakat ini, lebih 100 orang ditahan di seluruh negara itu dan sekurang-kurangnya 12 individu cedera dalam insiden itu.
Kira-kira 6,000 orang berkumpul di bandar Linz, Austria dalam rusuhan yang dianjurkan parti politik baharu, sehari selepas 40,000 berarak di Vienna kerana sekatan pergerakan separa.
Selain itu, tentera menuju ke Guadeloupe semalam selepas seminggu pergolakan akibat langkah COVID-19, manakala Perdana Menteri Jean Castex dijadualkan mengadakan pertemuan di Paris dengan pegawai dari pulau Caribbean Perancis.
Sekatan jalan raya terus dilaksanakan semalam selepas penunjuk perasaan yang ingkar perintah berkurung merompak dan membakar kedai dan farmasi.
Polis menahan 38 individu dan dua anggota pasukan keselamatan cedera. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan