10 Ogos 2011

Polis anti rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan di Chile

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SANTIAGO: Polis anti rusuhan Chile melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk meleraikan penunjuk perasaan ketika demonstrasi aman membabitkan pelajar di ibu negara, Santiago.

Berpuluh ribu guru, pelajar, ibu bapa dan aktivis buruh berarak di pusat bandar Santiago buat kali kelima dalam tempoh dua bulan untuk menuntut pembaharuan daripada kerajaan konservatif diketuai Presiden Sebastian Pinera.

Tunjuk perasaan secara aman dibuat apabila sekumpulan remaja mula melempar kayu dan batu ke arah polis anti rusuhan berhampiran istana Presiden La Moneda.

Sebahagian daripada belia terbabit bertindak memecahkan lampu isyarat dan tingkap serta membakar kereta.

Polis berkata, kira-kira 60,000 orang berarak dalam kejadian berkenaan namun penganjur menganggarkan jumlah sebenar ialah kira-kira 150,000.- AFP

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar Pakistan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ISLAMABAD: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud mengeggarkan barat daya Pakistan pagi tadi.

Gempa bumi itu berlaku pada kira-kira jam 5.53 pagi waktu tempatan kira-kira 330 kilometer di barat daya Quetta, bandar utama wilayah Baluchistan dan kedalaman kira-kira lapan kilometer.

Gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud pernah melanda barat daya Pakistan Januari lalu yang menyebabkan orang ramai cemas meninggalkan rumah masing-masing tetapi tidak menyebabkan jumlah kematian besar. - AFP

Tiada pemimpin Baju Merah dalam Kabinet Yingluck

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Pemimpin Baju Merah, yang menjadi penyokong kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, tidak tersenarai dalam barisan Kabinet baru Thailand yang diumumkan malam tadi.

Pemimpin utama Baju Merah termasuk Jatuporn Prompan, Natthawut Saikua dan Dr Weng Tojirakarn, yang memenangi pilihan raya 3 Julai lalu atas tiket parti Pheu Thai tidak mendapat tempat dalam Kabinet Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Empat orang bukan ahli politik turut dipilih untuk berkhidmat dalam Kabinet, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Rumah Kerajaan.

Mereka adalah bekas Jeneral Polis, Kowit Watana sebagai Timbalan Perdana Menteri, Kittirat na Ranong (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan), Thirachai Phuvanatnaranubala (Menteri Kewangan) dan bekas panglima Tentera Udara, Sukampol Suwannathat sebagai Menteri Pengangkutan.

Kowit adalah bekas ketua polis semasa pentadbiran Thaksin dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Somchai Wongsawat manakala Kittirat pula bekas pengurus Bursa Saham Thailand.

Thirachai meletak jawatan sebagai setiausaha agung Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand minggu lepas dan Sukampol adalah bekas Ketua Polis Tentera.

Perdana Menteri Yingluck mempunyai lima timbalan dan selain Kowit dan Kittirat, mereka yang lain ialah dua pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Eichaidit, Charlerm Yoobamrung dan pemimpin Chart Thai Pattana, Chumpol Silapa-archa.

Portfolio Pertahanan diberikan kepada Ahli Parlimen dari parti Pheu Thai, Jeneral Yuthasak Sasiparpha manakala seorang lagi Ahli Parlimen dari Pheu Thai, Surapong Towichukchaikul memegang portfolio Kementerian Luar.

(Adalah menjadi amalan biasa bagi bekas jeneral dalam pasukan polis dan tentera di Thailand mengekalkan pangkat selepas persaraan mereka).

Chart Thai Pattana, sebuah parti bersekutu kerajaan pimpinan parti Pheu Thai, juga diberi satu lagi jawatan menteri iaitu Menteri Pertanian yang disandang oleh Theera Wongsamut.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Chumpol juga akan memegang portfolio Pelancongan dan Sukan.

Dua lagi rakan bersekutu Pheu Thai, Phalang Chon, diberi jawatan Menteri Kebudayaan yang disandang oleh Sukumol Kunplome manakala parti Chart Pattana Puea Pandin mendapat portfolio Kementerian Perindustrian dengan Wannarat Charmnukul sebagai menterinya.

Portfolio penting yang lain seperti pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga, kehakiman, sumber manusia dan kesihatan awam dipegang oleh Ahli Parlimen dari Pheu Thai. - BERNAMA

Rusuhan di Manchester tidak pernah berlaku dalam 30 tahun

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LONDON: Rusuhan dan kecurian yang melanda Manchester disifatkan sebagai "kelakuan ganas dan jenayah tidak masuk akal" yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.

Penolong Ketua Konstabel, Garry Shewan, berkata keganasan itu dilakukan oleh pihak yang "tiada sebab untuk membantah" sehingga menyebabkan "rasa malu di jalan-jalan" bandar raya berkenaan.

"Ini adalah jenayah tulen dan ringkas berlaku secara liar malam ini. Tiada apa yang perlu dibantah kerana memang tiada puncanya dan ini adalah keganasan dan jenayah tidak masuk akal yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya. - AFP

Infak Sempena Bulan Ramadhan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sahabat dan rakan yg dermawan dan hartawan:

• Sempena Ramadan bulan penuh keberkatan ini, hulurkanlah infak fisabillah kepada PAS Pahang melalui akaun Perhubungan PAS Pahang di:

• BIMB 06028010000076, atau

• Maybank 556057201847, atau

• Affin Islamic Bank 106630001069.

• Infak anda akan dimanfaatkan untuk gerak kerja fi sabilillah termasuk membantu rakyat yang ditimpa musibah kehidupan.

• SMS makluman infak anda ke 013-900 8480

• Terima kasih atas infak anda, semoga sentiasa dilimpahkan rahmat Allah seisi keluarga.

Nalsor Laniaz

Anwar Dibenar Hadir Temubual Saksi

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 OGOS : Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam setiap temuramah peguambela ke atas 15 saksi pendakwaan.

Sesi temubual semalam tergendala apabila, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah, jika Anwar hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaimanapun berkata, Anwar hanya hadir dalam temubual itu namun tidak dibenarkan menyoal saksi.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata, Anwar sebagai yang dituduh dalam kes ini berhak untuk hadir sama dalam setiap sesi temubual saksi.

"Sebagai tertuduh, beliau ada hak untuk berada di situ," kata beliau kepada wartawan di kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Pihak pembelaan yang diketuai oleh Karpal kini dijadualkan mewawancara 10 saksi hari ini.

Bagaimanapun senarai itu tidak termasuk nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mahupun Musa yang juga antara saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Karpal bagaimanapun menegaskan bahawa semua 15 saksi yang dibekalkan itu perlu ditemubual segera.

"Kami akan terus mewawancara mereka. Kami mahu selesaikannya dalam minggu ini. "Biar saya terangkan dengan jelas, kami mahu temuramah mereka secepat mungkin. Semalam kami sudah mahu mula. Saya tidak faham kenapa Pendakwaraya membantah kehadiran Anwar," terang Karpal.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh 15 hingga 26 Ogos untuk pihak pembelaan mengemukakan hujah pembelaan.

tv selangor/-

Sebuah syarikat meyumbang Muhyiddin kata Malaysia capai standard negara berekonomi maju

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengutarakan pandangan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini dengan katanya kita telah mengecapi kemajuan dan pembangunan ekonomi negara, justeru rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan UMNO-BN.

Dakwaan beliau sebenarnya bukannya kayu ukur yang sebenar dan tepat, kata Muhyiddin Yassin negara ada ramai dermawan dan ini petanda bahawa Malaysia telah mencapai standard negara berekonomi maju, ini tidak benar dan ia satu penilaian yang sangat dangkal.

Jumlah sumbangan sebuah syarikat cuma sebanyak RM5,000 kepada Rumah Amal Kasih Bestari, dan ini telah menggambarkan kepada kita bahawa rakyat digula-gulakan dengan berita yang sengaja diperbesarkan, sepatutnya bantuan lebih besar dihulurkan oleh pihak kerajaan sendiri dan memberi perangsang kepada pihak korperat dan individu lain memandangkan mereka anak yatim yang tiada keluarga.

Umno-BN memperdaya rakyat dengan pemberian jumlah wang yang sedikit, kemudian minta rakyat berterima kasih, malah pada hari tersebut dermawan yang dikatakan ramai cuma melibatkan satu pihak iaitu EDEN Inc. Berhad. Bagaimana beliau boleh mengatakan ramai, ini satu bentuk pembohongan terhadap rakyat.

Isu sebenar yang cuba ditutup rapat oleh Umno-Bn ialah wujudnya sejumlah besar pemimpin (BN) kerajaan yang telah sekian lama mengamal rasuah dan salahlaku kuasa menjadi punca utama Negara mengalami kemelesetan ekonomi.

Sebenarnya dakwaaan ekonomi Malaysia sedang merudum berfakta di mana data terbaru dilaporkan bahawa nilai pasaran saham di Malaysia terus merudum dengan dianggarkan RM31 bilion ‘terhakis’ dari Bursa Malaysia malah nilai tersebut telah mencecah lebih RM65 bilion sejak Isnin lalu dan ini sangat membimbangkan.

Kemajuan dan pembangunan ekonomi Negara amat berkait rapat dengan pemimpin yang bersih dan adil, Umno-Bn gagal membuktikan mereka adil dan bersih, justeru saya menyeru supaya rakyat berubah kepada PR .

Drs Khalil Idham Lim
Parit buntar, 10 ogos 2011

Pengedar Harakah maut kemalangan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 10 Ogos: Aktivis PAS yang juga pengedar Harakah daerah ini, Zulhazmi Norwawi, 39, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 5 petang semalam setelah van dipandunya terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Sungai Dua, Karak.

Menurut keluarga terdekatnya, Allahyarham memandu bersendirian dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah membeli barang-barang untuk perniagaannya ketika kemalangan.

Tambahnya, van jenis Nissan Vannete yang dipandu Zulhazmi terbabas di tempat kejadian lalu melanggar pokok dan beliau meninggal dunia serta merta sebelum dibawa ke Hospital Bentong.

Jenazahnya sempurna dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kerdau jam 1 pagi tadi.

Zulhazmi yang merupakan AJK MTD Kuala Semantan berasal dari Kampung Kelebang, Kerdau dan kini menetap di Paya Pulai, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak kecil berumur antara tiga hingga 11 tahun.

harakahdaily/-

Idham Care usaha bantu fakir miskin

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 10 Ogos: Sempena dengan bulan Ramadhan dan Aidil Fitri yang akan menjelang, Idham Care sudah merancang untuk menyumbangkan kepada anak yatim dan fakir miskin di dalam Dun Titi Serong dan Parlimen Kuala Kangsar untuk sejumlah 600 orang yang telah dikenal pasti.

Pengerusinya, Drs Khalil Idham Lim berkata, sumbangan yang akan diberikan kepada mereka yang terlibat berupa sejumlah barang makanan perlu dan sumbangan wang hasil dari sumbangan zakat dan derma dari pelbagai pihak dari seluruh negara.

Di samping itu, katanya terdapat juga pihak yang menyumbangkan bahan makanan seperti beras dan lain-lain untuk menjayakan program tersebut.

"Kami menganggarkan sejumlah RM50,000 diperlukan untuk menjayakan program yang pertama kali saya lancarkan atas nama Infak Ramadhan dengan paltform Idham Care yang ditubuhkan sejak tahun lepas.

"Setakat ini sumbangan dari pelbagai pihak sedang kami terima dan masih memerlukan sumbangan dari pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan kewangan yang besar itu," ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, dengan bantuan dari pelbagai pihak yang bermurah hati menyalurkan wang zakat dan derma adalah faktor utama berjayanya program yang dirancang.

Harapan beliau Idham Care terus berada dalam masyarakat untuk bersama dengan NGO dan badan-badan kebajikan lain bagi merealisasikan usaha untuk membantu pihak yang memerlukan sekadar kemapuan yang kami ada.

Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, beliau merayu kepada semua pihak untuk menghulurkan sumbangan zakat dan derma kepada Idham Care ke akaun MayBank nombor akaun: 558417102650.


Bantuan mencari gadis hilang

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KAMPAR, 10 Ogos: Orang ramai diminta membantu mencari gadis, Seri Najwa Ferda, 17, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu di Tualang Sekah, Malim Nawar.

Menurut abangnya, Ameerul, gadis yang berketinggian 156 cm itu dipercayai membonceng motosikal yang ditunggang seorang lelaki kira-kira jam 6.00 pagi.

Katanya, kehilangan adiknya itu telah dilaporkan kepada pihak polis.

Sehubungan itu, ujarnya mereka yang mempunyai maklumat berhubung adiknya itu boleh menghubunginya di talian 017-5351451 atau ibunya, Puan Seri Wang (017-5999137) serta Sarjan Norhisham (019-5162896).

harakahdaily/-

Pemberian bonus tanda PRU ke 13 semakin hampir.

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kerajaan persekutuan bermurah hati terhadap penjawat awam dengan rasminya telah mengumumkan untuk memberikan bonus . Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam .

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara. Pejawat awam sepatutnya menikmati gaji yang lebih selesa dAlam keadaan mereka telah melakukan pengorbanan dan prestasi kerja yang baik bagI membantu pembangunan negara.

Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam.

Hakikatnya jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan ini cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini. Pemimpin UMNO-BN dan elit Umno telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan.

Bagi saya ini cuma sejumlah wang pendahuluan yang digunakan Najib Razak terhadap penjawat awam bagi memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat.

Perkembangan terbaru ini telah membuktikan kepada kita bahawa BN amat terdesak kerana sokongan terhadapnya makin merosot.

Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah.

SPR sudah tidak cukup PATI untuk dijadikan pengundi BN sehingga mendaftarkan kampung sebagAi pengundi barunya.

Projek mempertahankkan kuasa BN di kerusi Parlimen dan DUN melalui pengundi hantu amat dahsyat dirangka dengan terancang melibarkan agensi terpilih, ini juga sebagAi petanda bahawa PRU 13 makin hampir dan dalam masa yang sama UMNO-BN amat terdesak untuk mendapat undi setelah melihat sendiri sokongan rakyat yang tidak berpihak kepada mereka, akhirnya, maruah negara dan taraf kewarganegaraan digadai begitu sahaja.

Justeru itu keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawaat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.

Saya yakin Pakatan Rakyat mampu merlakukan banyak dasar berkebajikan bagi membela nasib penjawat awam bila kita berkuasa nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 10 Ogos 2011

Rakyat mahu naik gaji, bukan bonus sementara

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, hanya penyelesaian bersifat sementara, kata Adun Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menaikkan gaji mereka berbanding hanya memberi bonus apatah lagi dalam keadaan kos kehidupan yang terus meningkat lebih-lebih lagi untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

"Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara.

"Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam," katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Selain itu katanya, jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan itu cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini.

Pemimpin Umno BN dan elit Umno ujarnya telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan.

Mengulas lanjut, Khalil berkata tindakan kerajaan itu juga hanya taktik memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat.

"Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah," katanya lagi.

Justeru itu katanya keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawaat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.

harakahdaily/-

Watan diarah bayar pemimpin PAS RM1.4 juta

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -KOTA BHARU, 10 Ogos: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan akhbar Mingguan Watan membayar sebanyak RM1.4 juta kepada tiga pemimpin PAS Kelantan terhadap kes saman fitnah.

Perintah itu dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin dalam kamar.

Ketiga-tiga plaintif iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah diwakili peguam Hisham Fauzi.

Bagaimanapun peguam defendan, Rosli Abu Zarim tidak hadir hari ini.

Pemimpin PAS terbabit menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan berunsur fitnah disiarkan Mingguan Watan bertarikh 21-27 Disember 2008.

Mereka menyaman M Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail @ Baha Azuwan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Naluri Teratai Sdn Bhd dan Tristan Media Distributors.

Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap ketiga pemimpin tersebut.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.

Berita itu disiar di halaman hadapan bertajuk “Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” ditulis M Goenawan.

Akhbar mingguan itu mendakwa “Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.

“Kerugian bernilai RM21 juta itu berlaku dipercayai kerana penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak pengurusan PKINK dalam urusan pentadbiran dan pengurusan projek anak syarikatnya Kelstone Sdn Bhd.”

Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.

Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.

Sebaliknya seperti mencabar PKINK supaya menghantar surat pembetulan dan penjelasan fakta sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat.

Malah dalam berita sama ditulis, akhbar berkenaan tidak takut kepada ugutan kerana mendakwa berpegang kepada prinsip dan asas kewartawanan.

Kes saman tersebut sebelum ini dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sejak Febuari 2009.

Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi mengarahkan responden membayar gantirugi tersebut dalam tempoh tujuh hari.

”Notis tersebut InsyaAllah akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam notis saman ketiga-ketiga pemimpin PAS terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada akhbar Mingguan Watan.

Pada keputusan hari ini juga Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK dalam saman yang dibuat secara berasingan.

Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi RM5 juta.

harakahdaily/-

Dinar: Masa lancar RM323, hari ini RM809

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang.

harakahdaily/-

SPR, JPN mesti bebas dari cengkaman politik

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MIRI, 10 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) bebas dari cengkaman pengaruh mana-mana parti politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, apa yang penting adalah SPR dan JPN menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita juga minta agar pihak JPN pastikan nama dalam data mereka juga bersih dari unsur-unsur yang meragukan,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, katanya untuk mempastikan tiada nama pendatang asing mendapat taraf warga negara secara haram jadi pengundi.

Beliau juga berharap nama pengundi dalam senarai SPR mesti selari dengan data nama dalam JPN.

Ini, ujar beliau sekurang-kurangnya dapat membersihkan nama-nama yang tidak wujud dalam data JPN seperti yang ditemui sekarang.

“Sekiranya pihak SPR dapat laksanakan tuntutan ini sekurang-kurangnya SPR sudah memenuhi sebahagian kecil dari tuntutan rakyat melalui Bersih,” ujarnya.

Katanya, kerjasama dan tindakan segera daripada pihak SPR sangat dihargai demi keselamatan dan masa depan rakyat negara ini.

Beliau menambah, kalau dibiarkan pendatang asing mendaftar sebagai pengundi sangat merbahaya kepada penduduk Malaysia.

“Sekiranya perkara ini berlaku kemungkinan besar suatu hari nanti apabila rakyat asing yang sudah mendapat taraf warga negara secara haram itu akan menuntut hak dan akan menguasai negara ini dengan sewenang-wenangnya dan rakyat Malaysia akan jadi menumpang di negara sendiri,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-