13 Februari 2012

MB bertegas PAS 'parti ajaran sesat', sedia disaman

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Malah, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Ahmad dikatakan bersedia disaman oleh PAS berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

kuala terengganu by election 120109 ahmad said“Ikut pandai dia lah (terserah pada PAS), saya tunggu (bila PAS akan saman). Saya tak akan tarik balik.

“Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah,” kata menteri besar itu dipetik oleh akhbar milik Umno itu.

Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata Ahmad diberi tempoh tiga hari untuk menarik balik kenyataannya bahawa parti itu adalah "parti ajaran sesat" ataupun berdepan dengan tindakan mahkamah.

Katanya, tuduhan oleh menteri besar itu adalah sesuatu yang sangat berat.

Mengulas isu itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dipetik berkata, beliau tidak akan tunduk dengan desakan PAS itu kerana penyelewengan dan kesesatan yang dibawa parti itu terhadap umat Islam bukanlah perkara baru.

hadi awang interview 040208 sullen“Tapi dia kata kita (BN dan Umno) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya dipetik Utusan.

Menteri besar itu juga dilaporkan berkata ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah, adalah bukti yang jelas dan nyata berhubung dakwaannya itu.

“Selagi Tok Guru mereka (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah PAS berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” katanya lagi.

malaysiakini/-







Suami isteri curi barang dalam pasar raya

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Demikian yang berlaku kepada sepasang suami isteri yang dicekup ketika sedang memasukkan barangan keperluan harian ke dalam kereta bernilai lebih RM500 dipercayai dicuri dari sebuah pasar raya kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, perlakuan pasangan suami isteri itu dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mereka ditahan.

Ketika pemeriksaan dibuat, pasangan suami isteri itu berjaya membawa keluar dua troli penuh barangan dapur sebelum ditahan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

“Suami berusia 25 tahun manakala isterinya 30 tahun. Ketika ditahan, pasangan itu turut membawa dua anak mereka berusia tiga tahun manakala seorang lagi berusia dua bulan. Pasangan lelaki bekerja sebagai pembantu kantin manakala isterinya tidak bekerja.

“Dari maklumat diterima, ini merupakan kali ke lima pasangan itu mencuri sebelum berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan di pasar raya terlibat. Polis mengarahkan pasangan itu menghubungi waris masing-masing tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana mereka bernikah tanpa restu keluarga,” katanya.

Polis mengarahkan salah seorang pasangan itu ditahan memandangkan mereka mempunyai anak yang masih kecil.

Si isteri dalam keadaan menangis meminta polis menahan dirinya dan membebaskan suami serta anak-anak dengan alasan dia tidak bekerja.

Si suami pula mengarahkan polis menahan isterinya kerana dia masih bekerja dan boleh menjaga kedua anak-anak mereka sekiranya isterinya ditahan lokap.

Bagaimanapun, polis membebaskan pasangan terlibat dengan jaminan polis dan mengarahkan mereka datang ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Sinar Harian

Katil juruterbang dalam pesawat Boeing

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KATIL untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat Boeing 787 baharu yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura di Singapura semalam.

SINGAPURA - Pesawat penumpang baharu Boeing 787 Dreamliner mempunyai ruang rehat untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat itu.

Ia juga mempunyai ruang rehat yang sama untuk kru penerbangan lain seperti pramugara dan pramugari.

Menurut laporan Bernama, pesawat Dreamliner itu mempamerkan keupayaan jarak jauhnya beberapa hari lepas, terbang tanpa henti dari Boeing Field di Seattle, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok dengan jarak 12,358 kilometer.

Pesawat itu yang membawa hampir 300 penumpang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura yang bermula esok sehingga 17 Februari depan. - Agensi

Helikopter terhempas, 4 maut

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KABUL 13 Feb. - Empat penumpang etnik Tajik maut apabila sebuah helikopter yang disewa dan membawa bekalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), terhempas di selatan Afghanistan ekoran mengalami masalah teknikal.

Timbalan Gabenor wilayah Zabul, Mohammad Jan Rasuli berkata, helikopter tersebut terhempas di daerah Shinkay di wilayah Zabul pada lewat kelmarin, membunuh semua penumpang.

Semua penumpang yang terbunuh dalam nahas itu berasal dari Tajikistan. - AFP

Presiden Myanmar rayu sokongan

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ORANG ramai berhimpun di hadapan ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) bagi memperingati ulang tahun ke-65 Hari penyatuan Myanmar di Yangon, semalam. Gambar kecil, Thein Sein, Presiden Myanmar

Bekas jeneral ikrar tamatkan konflik, wujudkan keamanan berpanjangan

YANGON: Presiden Myanmar berikrar mewujudkan keamanan berpanjangan dengan pemberontak bersenjata dan merayu sokongan rakyat semalam, ketika ketegangan etnik terus menjejaskan pembaharuan di negara itu.

Thein Sein, bekas jeneral yang memegang kuasa tahun lalu selepas pemerintahan tentera berakhir, melancarkan usaha menamatkan konflik etnik selama berdekad sebagai sebahagian daripada pembaharuan sejak beberapa bulan lalu.

Rejim awam Myanmar mencapai perjanjian damai dengan beberapa kumpulan pemberontak termasuk etnik Karen di timur dan Shan tetapi pertempuran di Kachin yang bersempadan dengan China di utara mencetuskan ketidaktentuan berhubung perjalanan usaha perpaduan.

“Pembabitan keseluruhan rakyat amat diperlukan untuk menamatkan konflik bersenjata dalaman dan membina keamanan berpanjangan,” kata Thein Sein.
Ucapan sempena Hari Kesatuan, yang meraikan tandatangan perjanjian bersejarah dengan kumpulan etnik minoriti negara itu pada tahun 1947, menyebut kerajaan berusaha untuk terus mempromosikan demokrasi secara aman.

Dia berkata, rakyat gembira untuk melihat pilihan raya demokratik diadakan dan pembabitan sama rata, sambil mengulangi ikrar untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran yang baik dan memperbaiki peraturan undang-undang.

Rejim itu diberi pujian dan beberapa sekatan Barat ditarik balik kerana mengadakan pembaharuan termasuk membebaskan tahanan politik.

Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, kini berkempen untuk memasuki Parlimen dalam pilihan raya kecil 1 April ini, perkembangan yang berkemungkinan tinggi memberikan kesahihan kepada Parlimen selepas pilihan raya kontroversi pada November 2010.

Disember lalu, Thein Sein mengeluarkan arahan kepada tentera supaya menghentikan serangan ke atas gerila Tentera Pembebasan Kachin tetapi tindakan itu gagal menghentikan ketegangan.

Salah satu kumpulan pemberontak utama Myanmar, Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) memberi amaran perjanjian damai itu rapuh kerana pertempuran di kawasan etnik lain berterusan kerana hilang kepercayaan kepada kerajaan. – AFP

Odemwingie tambah derita Wolves

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LONDON 13 Feb. - West Bromwich Albion menambah derita pasukan Wolve dengan membenam pasukan yang merudum prestasinya dengan 5-1, termasuk jaringan hatrick penyerang Peter Odemwingie.

Pasukan kendalian Roy Hodgson itu mendahului pada minit ke-34 melalui pemain Nigeria itu.

Wolves bagaimanapun menyamakan kedudukan melalui Steven Fletcher, tetapi Jonas Olsson melebarkan jurang pada minit ke-64.

Selepas itu Odemwingie menambah jaringan pada minit ke-77 diikuti gol Keith Andrews minit ke-85, sebelum Odemwingie menutup tirai kemenangan besar pasukannya dengan satu lagi gol. - AFP

Tidak boleh sertai upacara bertentangan aqidah - PUM

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.

“Ini adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubungkait dengan aqidah umat Islam. Aqidah adalah komponen teras dalam agama Islam,” kata setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Katanya, PUM berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.

Beliuau berkata, salinan garis panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.

Dalam garis panduan tersebut, ujarnya antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam.

“PUM juga amat mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu ini,” katanya lagi.

Dalam pada masa yang sama, katanya seluruh pemimpin yang beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut.

Tambahnya, para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.

“Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya semua pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama Islam khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.

Beliau menambah, para pemimpin dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat dan pandangan para ulama’ dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang diletakkan dalam prinsip maqasid syariah.

Katanya, PUM berpandangan isu itu adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama orang bukan Islam.

Sehubungan itu, ujarnya PUM ingin mencadangkan kepada Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar itu.

“Oleh yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan Jakim, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini,” katanya.

Harakah Daily

YB BN lari ke Resident?

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sebuah Jawatan-kuasa Bertindak bagi isu Rampasan Tanah Sekolah Rendah Agama Darul Bayan telah diwujudkan yang dianggotai dari kalangan para ibu-bapa, Pengerusi & AJK Ahli Lembaga Pengarah Sekolah serta Guru Besar dan kakitangan sekolah.

Mereka baru mengetahui pada akhir januari 2012 bahawa tanah sekolah mereka telah dirampas oleh 5 penama JKKK kampung Limbong & kg cacar.

Ketua JKKK, setiusaha, naib dan ajk JKKK sendiri sanggup mengambil tanah sekolah tersebut untuk kepentingan individu mereka sendiri.

Menyedari hal itu Jawatan Kuasa Bertindak tersebut berusaha untuk mendapatkan kembali hak tanah sekolah mereka dengan mengemukakan bantahan dan bertemu dengan pihak Pejabat Tanah Daerah, Pengarah Tanah & Galian Negeri Terengganu.

Mereka menyuarakan simpati tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana alasannya ini kerja orng politik. Pihak Jawatan kuasa juga cuba menemui Menteri Besar Terengganu tetapi gagal. Dan surat bantahan itu diserahkan kepada setiusaha MB.

Beberapa minggu berlalu tanpa respon akhirnya pihak Jawatan Kuasa menggerakkan demo bantahan secara aman agar pihak berkuasa memberi maklum balas segera.

Hari ini, Ahad (12 Februari - pengarang) hampir 3 ribu orang peserta termmasuk masyrakat setempat, ibu-bapa, guru-guru dan para pelajar berdemontrasi ditapak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan di jalan Santong, Pekan Paka bermula jam 12.30 tengahari.

Mereka juga turut berarak ke Pejabat Adun Paka kerana pihak Adun & Ahli Parlimenlah yang terlibat secara langsung menandatangani kelulusan rampasan tanah tersebut.

Walaupun pejabat tersebut dibuka pada pagi tadi tetapi menyedari bahawa peserta demo berarak ke pejabat mereka lalu dengan segera pejabat tersebut ditutup.

Bahkan YB Zakaria selaku Adun Paka bertindak melarikan diri dan bersembunyi di Resident Resort, iaitu sebuah resort yang berhampiran.

Amat malang apabila beliau takut untuk berhadapan dengan peserta demo tersebut untuk menerima memorandum bantahan. Apabila peserta telah bersurai barulah pada petang ini mereka kembali berkumpul. Mungkin sedang bermesyuarat tergempar kot!

Apa yang kita dapat maklumat, tindakan ini sebagai satu sabotaj terhadap kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Semua maklum bahawa Adun Paka dan Ahli Parlimen Dungun iaitu “Datuk” Matulidi adalah team Idris Jusoh dan pastinya tidak sebulu dengan Pok Rosli selaku Ketua Bahagian Dungun yang penyokong kuat & selaku penasihat strategik MB.

Dengan isu yang ada sekarang, mereka boleh berlepas diri dan menyerahkan kepada Team Mat Said menjawab serta mempertahankan 5 orang JKKK yang diberi tanah tersebut dalam menghadapi persoalan dan bantahan orang-ramai.

Dan sememangnya begitu kerana kelulusan akhir adalah ditangan pihak Exco selaku ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan MB sendiri.

Pihak rakyat menunggu respon pihak berkuasa khususnya Datuk Mat Said dalam memberi jawapan yang munasabah sebagai sebuah parti yang mewar-warkan sebagai Parti pembela rakyat, bangsa melayu & agama Islam.

Apakah tindakan rampasan tanah Sekolah Agama ini mengambarkan tanda sebagai rakyat yang didahulukan ?

Sampai bila pihak berkuasa nak membisu???

Harakah Daily

Tiga kilang beroperasi di bawah kabel bervoltan tinggi

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI BULOH - Operasi tiga kilang yang dibina di bawah kabel bervoltan tinggi di Kampung Desa Aman, di sini menimbulkan kebimbangan penduduk.

Penduduk mendakwa, masalah yang berlarutan sejak lebih lima tahun itu perlu diberi perhatian sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Penduduk, Sin Ching Seong, 53, berkata, penduduk kini menuntut penjelasan dari pihak berwajib bagaimana kilang memproses bahan buangan itu diberi kebenaran beroperasi di kawasan hampir dengan penempatan penduduk.

“Kami mahu tahu, bagaimana kilang seumpama ini boleh mendapat kebenaran beroperasi di bawah kabel sedang risikonya sangat besar,” katanya.

Ching Seong berkata, meskipun aduan mengenai masalah itu pernah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun kilang itu masih tetap beroperasi.

Seorang lagi penduduk, R Vicky, 40, berkata, bukan sahaja faktor keselamatan, operasi kilang yang mengumpul bahan buangan itu juga dikatakan mengancam kesihatan penduduk.

Menurutnya, tidak mustahil, dengan keadaan sisa sampah yang banyak setiap hari, ia menjadi salah satu lokasi pembiakan nyamuk.

“Malah, kedudukan lokasi pusat ini yang terletak di jalan utama mengundang pelbagai persepsi buruk kalangan penduduk,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, terdapat tiga kilang memproses bahan kitar semula berada di bawah kabel berkenaan.

Kewujudan papan tanda larangan­ mengukuhkan lagi dakwaan penduduk bahawa semua kilang berkenaan tidak boleh beroperasi di situ.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mahu, pihak berwajib memantau dan menyelaras semula kawasan kabel bervoltan tinggi itu.

Penduduk, Ah Fat, 49, berkata, sekiranya kebakaran berlaku, ianya boleh menjejaskan rumah lain yang berada di kawasan berhampiran.

Sinar Harian

Remaja tinggi luar biasa diiktiraf

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Kisah remaja tinggi luar biasa yang pernah dipaparkan media pada awal November tahun lalu, diiktiraf sebagai remaja tertinggi di negara ini oleh Malaysia Book Of Record (MBOR).

Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16, berkata, pengiktirafan yang diterima itu amat membanggakan dirinya dan keluarga.

Beliau yang ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil berkata, bukan semua orang berpeluang menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak pernah malu dengan ketinggian luar biasa ini, malah ia menjadi perangsang kepada saya terus berjaya dalam hidup.

“Saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya sentiasa mengambil berat dan menyokong apa yang saya lakukan, sehinggalah saya di iktiraf oleh MBOR,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Pangsapuri Cempaka, di sini, semalam.

Sementara itu bapanya, Sheikh Imam Mohammad, 47, berkata, selepas seminggu kisah anaknya tersiar di Sinar Harian dan beberapa akhbar lain, dia menerima panggilan telefon daripada pihak MBOR supaya datang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, untuk menerima
pengiktirafan.

Katanya, sehingga hari ini, tiada seorang pun dapat menewaskan ketinggian anak bongsunya itu yang memiliki ketinggian 204 sentimeter.

“Apa pun gelaran dan pengiktirafan diterima oleh Sheikh Akmal, cuma satu yang saya harapkan iaitu kesihatannya baik dan memuaskan.

“Saya mahu lihat dia sentiasa sihat dan dapat menikmati kehidupan di dunia ini dengan sepuas-puasnya,” katanya.

Sinar Harian

Hobi bertukar tragedi

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Hasrat seorang juruteknik, Mohammed Asyraff Amir Khan, 22, menjaring ketam bersama rakannya bertukar tragedi apabila dia ditemui maut akibat lemas di perairan Selat Johor berhampiran janakuasa Sultan Iskandar, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Mohd Salleh Mohamed berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh anggotanya kira-kira jam 7.20 malam, empat kilometer dari tempat mangsa dilaporkan tergelincir.

“Seramai 27 anggota bersama empat bot dari balai bomba dan penyelamat Pasir Gudang, Kota Tinggi, Johor Jaya, Johor Bahru dan bahagian operasi negeri terlibat dalam operasi menyelamat yang diketuai oleh Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Hamid Suari.

“Operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan sejak semalam (kelmarin) turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohammed Azmi Amir Khan, 31, berkata, adiknya sempat menjamu selera berdua bersama ibunya sebelum keluar menjaring ketam kira-kira jam 6.30 petang hari berkenaan.

“Biasanya kami tiga beradik yang tinggal bersama ibu berkumpul untuk makan malam bersama, tetapi pada hari kejadian buat pertama kali dia hanya berdua terlebih dahulu makan bersama ibu.

“Dia anak bongsu bukan sahaja manja dengan kami, tetapi mengikut jejak arwah ayah yang gemar memancing ikan, menangkap ayam hutan dan burung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, rakan adiknya yang terselamat, Mohd Shafiq Abd Rahim, 20-an, sewaktu menceritakan semula kejadian berkata, Mohammed Asyraff dihanyutkan ombak kerana tidak pandai berenang.

Mohd Shafiq pula sempat menyelamatkan diri berenang ke tepi pantai sebelum meminta pertolongan pihak berkuasa.

Mohammed Azmi berkata, dia tidak sangka hobi Mohammed Asyraff yang gemar memancing dan menjaring ketam bertukar tragedi kerana sejak kecil dia sering mengikut arwah ayah mereka melakukan aktiviti itu.

“Pada pagi hari kejadian saya tidak sempat berjumpanya kerana sebaik saya bangun daripada tidur, dia sudah ke tempat kerja dan terkejut menerima panggilan daripada ibu mengatakan dia lemas,” katanya.

Sinar Harian

Percutian keluarga berakhir tragedi

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Luluh hati saya apabila diberitahu seorang pemandu kenderaan bahawa identiti mayat lelaki misteri ditemui terapung kelmarin memiliki ciri-ciri yang sepadan dengan suami, Mohd Asri Kamis, 28.

“Saya gagahi kudrat mendekati kumpulan orang ramai yang mengerumuni mayat itu untuk pengesahan sebelum anak tunggal hasil perkahwi-nan kami, Nurul Nabila Natasha, 6, menjerit memanggil papanya selepas melihat ibu jari mangsa terjulur.

“Bagaikan hendak tercabut jantung apabila melihat parut kesan kemalangan pada peha kanan mangsa mengesahkan mayat itu suami saya,” kata isteri dan ibu kepada tiga mangsa lemas di Pantai Cherating, di sini, semalam, Nor Saharulizam Osman, 32.

Tambah memilukan wanita itu apabila dua anak hasil perkahwinan terdahulu, Mohammad Hasryzam Hasri, 15, dan adiknya, Muhammad Hairul Nizam Hasri, 14, turut hilang dikhuatiri lemas dalam tragedi tersebut.

Penantian Saharulizam lebih 10 jam untuk mengetahui nasib dua anaknya itu terjawab apabila mayat Mohammad Hasryzam berjaya ditemui kira-kira jam 3.10 petang semalam, namun nasib Muhammad Hairul Nizam belum diketahui.

Menceritakan detik tragedi itu, Saharulizam berkata, dia dan suami menjemput Mohammad Hasryzam serta adiknya, Muhammad Hairul Nizam yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Jerantut untuk berjalan-jalan di Kuantan.

“Kami berenam termasuk dua anak perempuan, Siti Nor Afzani Hasri, 11 dan Nurul Nabila Natasha bercadang ke Taman Teruntum dan singgah di Pantai Teluk Cempedak untuk mandi-manda.

“Bagaimanapun, dua beradik ini (mangsa) beria-ia ke sini (Cerating). Saya terus bersetuju kerana memikirkan Pantai Teluk Cempedak tidak selamat untuk mandi-manda,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Dia berkata, mereka tiba kira-kira jam 4.15 petang dan memilih satu lokasi untuk berehat, manakala dua anaknya terus turun ke pantai untuk bermain air.

“Saya pesan berkali-kali supaya bermain di tepi, namun mereka semakin jauh dan asyik bermain ombak. Bimbang keselamatan mereka, kami mengekori dari atas tebing. Bagaimanapun saya semakin risau apabila mereka tidak mengendahkan teguran, apatah lagi ketika itu air mulai pasang,” katanya.

Menurutnya, Mohd Asri yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Mentakab me-ngambil keputusan untuk bersama anak tirinya, lalu menanggalkan seluar dan terus ke dalam air.

“Lepas itu saya tidak nampak mereka dan pergi mandikan anak perempuan kami yang merengek kepanasan,” katanya.

Saharulizam berkata, ketika sedang memandikan anaknya, dia ternampak keadaan kelam-kabut di pantai dengan kehadiran kereta peronda polis serta orang ramai berlari ke satu kawasan di pantai itu.

“Saya perhatikan kelibat suami dan anak-anak, namun tidak kelihatan, lalu mengambil keputusan turun ke pantai melihat perkara sebenar.

“Saya bertemu seorang pemandu sebuah trak dan menanyakan mengenai perkara itu. Dia memberitahu mengenai penemuan mayat seorang lelaki mirip dengan ciri-ciri suami,” katanya.

Dia berkata, hatinya mula berdebar lalu berlari ke tempat mayat itu dan ternampak suaminya terbaring kaku.

“Saya menjerit memanggil nama Mohammad Hasryzam dan Muhammad Hairul Nizam, namun mereka tidak kelihatan.

“Selepas itu saya diberitahu anggota keselamatan kemungkinan mereka berdua turut lemas sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan,” katanya.

Menurutnya, mayat suami dihantar Ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum jenazah dihantar ke Kampung Jeniang, Gurun, Kedah bagi urusan pengebumian.

“Saya mengambil keputusan menunggu di sini untuk mengetahui nasib kedua-dua anak kami,” katanya yang dikejutkan dengan penemuan mayat anak sulungnya petang semalam.

Sinar Harian

Usah terjebak dengan Valentine

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pas mengingatkan masyarakat Islam khususnya di negeri ini tidak sesekali menghidupkan unsur-unsur dan budaya agama lain melalui sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, masyarakat Islam tidak harus terikut-ikut dan terpengaruh dengan hari yang dikatakan istimewa untuk menggambarkan kasih sayang kepada pasangan.

Beliau sebaliknya menegaskan, masyarakat Islam perlu mengetahui susur galur berhubung hari tersebut yang berkait rapat dengan agama lain.

“Jangan terjebak dengan kerosakan yang menyukarkan untuk balik ke negeri akhirat,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas pengaruh pasangan muda mudi terutama yang berstatus ‘sedang bercinta’ di negara ini semakin terikut-ikut rentak budaya agama lain walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Satiful turut melihat cara sambutan Hari Kekasih atau Valentine itu berdasarkan nafsu semata-mata.

Sehubungan itu katanya, Pas sentiasa memberi penjelasan melalui aspek dakwah kepada masyarakat berhubung susur galur hari tersebut walaupun dalam masa sama mengakui sambutan hari tersebut tidak menonjol di negeri ini.

Mengulas lanjut, Satiful Bahri turut mengakui golongan muda di negeri ini masih terikat dengan ciri-ciri ketimuran, tidak seperti di bandar-bandar besar yang lebih terbuka dari aspek pergaulan dan sosial.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, masyarakat Islam perlu menjadikan agama sendiri sebagai cara hidup yang lengkap bagi menjauhi mereka daripada unsur-unsur terlarang.

“Islam menggalakkan cinta selepas kahwin dan kasih sayang yang dicurahkan kepada pasangan masing-masing adalah bertujuan untuk menjadikannya ibadat. Kalau pasangan itu tidak berkahwin, bagaimana ia mahu menjadi ibadat.

“Keutamaan perlu diberi kepada Allah. Sempena bulan Maulidur Rasul ini, janganlah pula kita membuat yang dilarang. Sebaliknya biarlah cinta itu berasaskan ketakwaan kepada Allah,” katanya.

Sinar Harian

Tergamam lihat sejadah sujud

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PAYA PASIR - “Sejadah ini seakan sujud dan dengan tidak semena-mena, saya seram menyaksikan apabila ada dua atau tiga sejadah lain turut tegak menghadap kiblat”.

Demikian kata seorang pelajar Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah, Filza Nur Iffah Rosli, 11, yang menemui sehelai sejadah daripada 43 sejadah didakwa berdiri menghadap kiblat dalam sebuah surau lama di pusat pengajian Islam itu kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Filza berkata, pada jam 6.45 petang sebelum kejadian, pengetua maahad itu meminta dia bersama tiga rakan lain, Badlishah Sadino, 11, Aiza Zamri, 10, dan Norsyamira Ismail, 13, mengangkat 45 sejadah yang dijemur di penyidai kerana hujan.

“Umi meminta kami mengangkat sejadah terbabit untuk dihamparkan di surau lama ini memandangkan semua sejadah masih lembap.

“Selesai solat Maghrib, saya bersama seorang rakan, Najwa Baderi, 14, naik ke tingkat itu untuk mengambil wuduk yang terbatal. Selepas mengambil wuduk dan melintasi bilik mengaji ini, saya terkejut apabila melihat sejadah di hadapan pintu berbentuk seakan sedang sujud menghadap kiblat.

Filza berkata, mereka segera ke tingkat bawah dan memaklumkan kepada pengetua maahad mengenai kejadian pelik itu.

Pengetua maahad itu, Azizah Khatib Mat berkata, kejadian yang berlaku di dalam surau berusia 69 tahun itu disifatkan sebagai bukti kekuasaan ALLAH SWT dan pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurutnya, kejadian sebegitu pernah dilaporkan berlaku sebelum ini di tempat lain dan beliau yakin ia bukan perbuatan pelajar nakal.

“Pelajar perempuan yang saya minta menghamparkan sejadah ini bukan pelajar nakal, malah masa diberikan pada mereka untuk menyelesaikan tugas itu terhad kerana mereka perlu berada di dalam surau untuk berzikir sebelum masuk waktu Maghrib.

“Jumlah sejadah juga banyak. Maka saya yakin ini bukti kebesaran ALLAH SWT dan mungkin sebagai satu daripada bentuk hidayah kepada pelajar serta umat Islam,” katanya.

Sinar Harian

Lagi kebakaran misteri

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUBANG MAS - Tidak sampai tempoh lima hari insiden empat kereta dilaporkan terbakar di pangsapuri Seri Nipah, di sini penduduk di kawasan itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama, tetapi kali ini membabitkan sembilan motosikal.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lima motosikal hangus, manakala empat lagi sempat diselamatkan orang ramai.

Misteri kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan, namun penduduk dihantui kebimbangan berhubung kejadian itu.

Salah seorang pemilik motosikal, Mohd Zulkarnain Yunus, 26, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terhidu kepulan asap yang memenuhi rumah didiaminya bersama beberapa rakan.

Menurutnya, dia kemudian menjenguk menerusi tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menyedari api marak di tingkat bawah pangsapuri.

“Saya segera mengejutkan kawan-kawan serumah dan bingkas bergegas ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.

“Memang tidak sangka, motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari menjadi mangsa kebakaran sama,” katanya.

Mohd Zulkarnain berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, orang ramai membantu memadamkan kebakaran yang membabitkan deretan motosikal di tempat letak kenderaan berkenaan.

Suasana katanya, agak huru-hara apabila orang ramai cuba mengalihkan beberapa motosikal, bagaimanapun dia gagal menyelamatkan motosikalnya sendiri.

Mohd Zulkarnain berkata, dia yang mengetahui kes empat kereta terbakar awal pagi Rabu lalu, sama sekali tidak menyangka akan menerima nasib sama.

“Kejadian pagi tadi (semalam) berlaku lebih kurang lima meter dari lokasi empat kereta terbakar dahulu, saya tidak pasti apakah punca kejadian dahulu (Rabu lalu) dan juga kejadian pagi ini (semalam) kerana belum menerima maklumat mengenainya,” katanya yang memaklumkan menga­lami kerugian RM4,000.

Seorang penduduk, Siti Nur Amalina Suadmaji, 19, berkata, jika kejadian sebelum ini kereta abangnya hampir musnah terbakar, kali ini motosikal kakaknya pula menjadi mangsa.

“Kakak saya terdengar jiran menjerit-jerit mengatakan motosikal terbakar, lantas dia mengajak saya turun ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.

“Apabila tiba di lokasi, kami terkejut melihat motosikal sudah terkena percikan api yang marak, kami cuba mengalihkannya, tetapi bimbang ia meletup,” katanya.

Siti berkata, atas keprihatinan­ penduduk lain, motosikal kakaknya dialihkan ke tempat selamat dan hanya mengalami kerosakan ringan.

“Insiden ini memang mengejutkan kerana baru sahaja beberapa hari kereta milik abang yang diletakkan di depan kedai runcit yang kami usahakan terbakar, kali ini hampir 10 motosikal termasuk milik kakak pula yang terbakar,” katanya.

Sinar Harian