08 Mac 2012

Jepun gemar perabot Malaysia

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Syarikat hiasan dalaman dan perabot rumah Jepun, Tokyo Interior, merancang membeli banyak perabot buatan Malaysia sejajar dengan pembukaan cawangan baru syarikat itu di Tokyo.

Presidennya, Hiroe Tonegawa berkata Tokyo Interior kini memiliki 32 cawangan di seluruh Jepun dan akan membuka dua cawangan lagi di Tokyo dalam tahun ini.

Perniagaan syarikat itu dijangka berkembang 20 peratus tahun ini, dengan didorong permintaan meningkat daripada pasaran perabot Jepun berikutan bencana gempa bumi dan tsunami di negara itu tahun lalu.

“Tahun ini bakal menyaksikan banyak pesanan berulang bagi perabot Malaysia. Perabot Malaysia terkenal kerana kualiti dan keteguhannya,”katanya.

Pada masa ini, syarikat itu membeli 20 hingga 30 kontena perabot Malaysia sebulan. Satu kontena mengandungi perabot bernilai kira-kira ASD$20,000 (RM61,000), yang terdiri daripada set meja makan, kerusi, sofa, perabot sedia dipasang atau perabot pasang sendiri.

Tonegawa berkata, pengguna Jepun menggemari perabot berkualiti dengan reka bentuk dan warna menarik selain mesra pengguna dan mesra alam.

Sinar Harian

Remaja maut terlanggar lori

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Seorang remaja maut setelah motosikal ditunggangnya terlanggar lori yang ditinggalkan di tepi jalan dalam kejadian di Jalan Angsana, Taman Keladi kira-kira 8.05 malam, kelmarin.

Sumber polis memberitahu, mangsa, Mohamad Izhar Yahya, 18, yang melalui jalan tersebut tidak menyedari kehadiran lori yang diletakkan di laluan itu lalu melanggar kenderaan tersebut.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa datang dari arah Taman Keladi sedang menghala ke arah Taman Sri Wang.

“Mangsa yang tidak menyedari ada lori di tepi jalan melanggar bahagian belakang tepi sebelah kiri lori yang diparkir di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan, mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Ikmal, 15, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, abangnya ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya bagi membantu ibu yang sedang berniaga.

Mangsa, yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Lebai Man.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Difahamkan, jenazah Allahyarham telah dituntut keluarga jam 11.30 malam kelmarin.

Sinar Harian

Roti manis inti besi

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tergamam apabila menyedari anak lelakinya hampir tertelan objek besi dipercayai serpihan pisau ketika asyik menikmati roti manis yang dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran Taman Len Seng, Cheras, di sini.

Pekerja swasta, Azizatul Naem Ismail, 34, berkata dia terkejut apabila mendapati objek besi sepanjang garis pusat itu terdapat dalam roti berkenaan yang hampir habis dimakan anaknya dalam kejadian 15 Februari lalu itu.

Katanya, dia bagaimana pun bersyukur anaknya, Muhammad Wafi Najib, 9, tidak tertelan objek tajam itu sebaik menyedari kehadirannya dalam roti berkenaan apabila dia tergigit serpihan besi itu.

Azizatul berkata, akibat tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia bertemu dengan pemilik stesen minyak bagi mengadu hal berkenaan sebaliknya ditawarkan RM60 atau diganti roti baru.

“Saya menolak ganti rugi berkenaan kerana bukan itu yang saya mahukan tetapi saya mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain.

metro/-

Wolves dapatkan khidmat Davis

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KECEDERAAN hamstring pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Karl Henry menyebabkan kelab itu terpaksa meminjam pemain Chesterfield, David Davis.

Pengurus Wolves, Terry Connor berkata, pihak pengurusan bersetuju mendapatkan David selepas yakin dengan persembahan pemain berusia 21 itu sepanjang musim ini bersama kelab Liga Satu, Chesterfield.

Davis, yang pernah membuat penampilan bersama Wolves sebagai pemain simpanan semasa Carling Cup di Northampton Ogos tahun lalu, akan mula menjalani latihan dengan pasukan Wolves Selasa depan.

Sementara itu, Henry yang diharap mampu pulih sebelum kunjungan Wolves ke Norwich dalam sai­ngan Liga Perdana 24 Mac nanti, kini hanya mampu berada di barisan simpanan.

Sinar Harian

Polis diserang dengan lastik

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TERAP - Empat lelaki warga asing berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan memiliki motosikal curi di sebuah estet kelapa sawit di Batu 10 kira-kira jam 2 petang semalam.

Polis turut menemui tujuh motosikal dan ada di antaranya dilaporkan hilang di sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis mendapat maklumat tentang kes motosikal curi di lokasi kejadian melalui maklumat orang ramai dan membuat pemantauan sejak lima hari lalu.

“Ketika pihak kami ke lokasi berkenaan, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan melalui jalan berlopak kira-kira 20 kilometer.

“Kenderaan kami tiba-tiba diserang hendap oleh beberapa suspek dengan menggunakan lastik.

“Satu daripada kenderaan kami pecah cermin di bahagian kiri hadapan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kenderaan itu kemek di bahagian hadapan kanan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan.

“Kebanyakan motosikal yang digunakan oleh pekerja estet terdiri daripada motosikal curi kerana ia dijual dengan harga di antara RM300 seunit.

“Semua suspek telah ditahan dan akan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Sinar Harian

Keluarga usaha cari Dirang, mula tampal poster

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Pelbagai usaha sedang dilakukan keluarga kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih mesra dipanggil Dirang yang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera di kedai runcit

Flet Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini, Khamis lepas.

Ibunya, Roselyn Alan, 25, berkata, ahli keluarganya sedang giat menampal poster gambar Dirang di sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang, Masai dan Bandar Seri Alam.

Menurutnya, RHB bank turut menawarkan kerjasama menampalkan poster gambar Dirang di mesin ATM RHB seluruh negeri ini.

“Saya hargai pelbagai usaha yang telah dilakukan banyak pihak bagi mengesan anak kesayangan saya.

“Pelbagai usaha telah kami lakukan termasuk mencarinya ke merata-rata tempat, tetapi masih belum membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian 5 Mac lepas menyiarkan kesedihan seorang ibu apabila anak keduanya tidak pulang ketika keluar dari rumah tingkat empat membeli mi segera di blok bersebelahan.

Roselyn merayu kerjasama daripada orang ramai yang terlihat atau terjumpa anaknya supaya menghubunginya di nombor 010-8239010 atau ke balai polis berhampiran.

Sinar Harian

The Settlers intai import baru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

FELDA United FC tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak dua pemain import barunya, Makadji Boukar (Cameroon) dan Pape Cire Dia (Senegal) berikutan aksi hambar dalam lima perlawanan lalu termasuk ketika tewas 1-3, kepada Lions XII kelmarin.

Tidak berpuas hati dengan sumbangan kedua awang import tersebut, jurulatih, E Elavarasan kini sedang berkira-kira untuk mendapatkan pemain import baru menjelang tarikh pendaftaran pemain import dibuka semula 2 April nanti.

“Kita sudah bagi banyak peluang, namun aksi mereka terbukti mengecewakan pihak pengurusan. Bagi saya kelibat pemain tempatan mampu beraksi lebih baik.

“Calon untuk menggantikan tempat mereka sudah ada dan dijadualkan tiba minggu depan. Namun buat masa sekarang saya tidak mahu mendedahkan pemain tersebut berasal dari negara mana,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Boukar, 28, bermain di posisi bek kanan sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Vasas SC di Hungary dan merupakan pemain kebangsaan Cameroon, manakala penyerang, Cire Dia, 31, merupakan pemain kelab ASC Diaraf negara kelahirannya.

Dalam perkembangan lain, Elavarasan turut mengulas mengenai ‘sindrom kad merah’ yang melanda pasukannya sejak sembilan perlawanan Liga Super musim ini dengan menganggap ianya sebagai lumrah arena bola sepak.

Tidak mahu bertindak terburu-buru menjatuhkan hukuman, pengendali The Settlers itu sebaliknya lebih bersikap positif dengan meletakkan kepercayaan kepada anak buahnya.

Sinar Harian

Kera bawa lari pakaian pelajar

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TEMBELING, PAHANG - Kemunculan ratusan kera liar yang mengganggu ketenteraman pelajar asrama dan pengusaha dewan makan di sebuah sekolah menengah, di sini, seolah-olah tiada kesudahan.

Seorang pekerja dewan makan asrama, Norehan Othman berkata, gangguan haiwan liar itu sudah lama berlaku dan ­pihaknya juga sudah meng­ajukan masalah itu kepada Jabataan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah mengambil langkah menangkap haiwan terbabit lebih sebulan lalu dan dianggarkan lebih 40 ekor berjaya ditangkap.

“Bagaimanapun masalah itu terus berulang apabila ­ratusan kera liar berterusan mengganggu pekerja dewan makan di sini dan ­juga pelajar perempuan di asrama.

“Pakaian yang dijemur pelajar akan dilarikan haiwan terbabit termasuklah pakaian kami. Bukan itu sahaja, kehadiran kumpulan kera ini menyebabkan pelbagai kerosakan apabila ia menceroboh masuk ke dalam bahagian dapur dewan makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Norehan berkata, kumpulan kera itu akan melarikan pelbagai barangan seperti pinggan, cawan dan merosakkan kemudahan di dewan makan seperti memecahkan lampu.

Katanya, keadaan akan bersepah apabila bahagian dapur diselongkar haiwan terbabit, malah stok simpanan makanan seperti roti, buah-buahan dan sebagainya juga dilarikan.

Rakannya, Siti Nur Aini Zulkifli berkata, kumpulan kera liar itu akan datang mengganggu asrama dan dewan makan pada awal pagi, tengah hari dan petang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada lagi insiden pelajar atau pekerja di situ diserang atau digigit haiwan berkenaan.

“Cuma kami rimas dengan kumpulan kera ini yang terlalu banyak dan merosakkan harta benda di sini.

“Sebelum berlakunya kejadian lebih buruk, kami sangat mengharapkan pihak berkenaan tampil semula melakukan tindakan sepatutnya supaya keselamatan petugas dewan makan, pelajar dan harta benda di sini lebih terjamin,” katanya.

Sinar Harian

Jeritan minta tolong selamatkan nyawa Baharun

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Jeritan meminta tolong seorang lelaki dari tingkat dua telah menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Melayu Pandan, di sini kira-kira jam 9.40 pagi, semalam.

Jirannya, Rahmah Harun, 62, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Baharun Bunari, 50-an, ketika kejadian sedang nyenyak tidur hanya terjaga selepas serpihan bumbung yang sedang terbakar menimpa kakinya.

Menurutnya, penduduk yang terdengar jeritan Baharun telah memecahkan pintu utama rumah sebelum bergegas ke tingkat atas untuk menyelamatkannya, selepas menyedari bahagian tingkat atas rumah sedang terbakar.

“Baharun telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan ambulan selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki kerana terkena serpihan bumbung terbakar.

“Dia ketika itu sedang tidur bersendirian kerana bekerja jam 11 pagi, manakala tiga lagi rakan serumah yang lain telah keluar bekerja,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.

Sementara itu, pemilik rumah, Rothiyah Suparthi, 52, berkata, rumah itu pada asalnya dijadikan stor menyimpan kain selepas dia berpindah ke Kangkar, Tebrau.

Menurutnya, rumah itu diamanahkan kepada seorang kenalan tanpa sebarang bayaran yang kebetulan tidak mempunyai tempat tinggal untuk berteduh dan menjaga stok kain yang disimpan di situ.

Sinar Harian

Azraai akur hilang tiga mata

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

‘Kealpaan pemain punca kekala­han ini‘. Demikian komen ringkas Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah setelah pasukan kenda­liannya tersungkur 1-2 kepada Kelantan dalam aksi tunggal Liga Super di Kota Bharu, Ahad lalu.

Sambil menyifatkan pasukannya mampu mencuri satu mata, Mohd Azraai Khor berkata, kesilapan barisan pemainnya terutamanya dalam minit-minit akhir perlawanan menafikan hasrat tersebut.

“Awal-awal perlawanan lagi pintu gol kita sudah dibolosi dengan jaringan mudah. Sepatutnya jaringan tersebut tidak terhasil, namun kelekaan pemain pertahanan kita memberi ruang kepada pemain Kelantan menjaringkan gol.

“Saya fikir kita boleh berbangga membawa pulang satu mata ke Seremban, tetapi itu tidak berlaku. Pemain kita jelas hilang kosentrasi dan perkara ini tidak sepatutnya terjadi dalam perlawanan ini.

Menurutnya, ketiadaan tonggak pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah yang mengalami kecederaan begitu dirasai setelah penggantinya, G Mahathevan dilihat menampilkan aksi kurang menjadi dalam perlawanan tersebut.

“Pujian harus diberikan kepada barisan pemain pertahanan Kelantan yang sentiasa merantai pergerakan Jean Emmanuel Effa Owona dalam perlawanan ini. Ketajaman Effa Owona di depan pintu gol terbukti dikekang hebat oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian

Yob tekad halang Terengganu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TURUN sebagai pasukan bukan pilihan, Perak bertekad menyekat Terengganu pada pusingan kedua Piala FA, bagi memastikan layak ke peringkat suku akhir.

Kapten pasukan, Shahrulnizam Mustafa menuntut rakan sepasu­kan supaya tidak memberi ruang kepada anak buah Mat Zan Mat Aris mendominasi permainan.

“Saya harap mereka dapat mengekalkan momentum terbaik, terutama di posisi tengah dan pertahanan kerana Terengganu memiliki pemain yang sangat lincah dan kemahiran tersendiri,” katanya.

Selesa dengan reputasi pasu­kan underdog, Sharulnizam yang turut dikenali sebagai Arul yakin dengan ramuan jurulatih Norizan Bakar bagi memastikan pasukan dapat layak ke pusingan seterusnya.

“Kerjasama dan kesungguhan setiap anggota pasukan amat penting bagi memastikan matlamat pasukan tercapai,” katanya yang berharap pasukan dapat mengatasi Terengganu walaupun beraksi di gelanggang tuan rumah.

Perak yang memiliki dua pemain import musim ini, Micheal Kubala dan Lazar Popovic dijangka bakal membariskan barisan terkuatnya iaitu Akmal Rizal, K Nanthakumar dan penjaga gawangnya, Mohd Nasril Mat Nourdin untuk menyekat kemaraan skuad Penyu sekaligus memastikan matlamat satu piala musim ini tercapai.

Sinar Harian

Al-Qaeda ancam bunuh 73 tentera kerajaan

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ADEN 8 Mac – Kumpulan Ansar al-Sharia yang merupakan rangkaian al-Qaeda di Yemen, mengancam untuk membunuh 73 tentera kerajaan yang didakwanya telah ditawan, jika pihak berkuasa enggan membebaskan pengikut mereka yang dipenjara.

Ancaman itu dihantar menggunakan mesej pesanan ringkas kepada Reuters semalam, selepas kejadian pertempuran di selatan Yemen pada Ahad lalu antara kedua-dua pihak itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 110 tentera kerajaan terbunuh.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada mesej itu benar-benar dihantar oleh kumpulan militan tersebut, tetapi mereka sebelum ini sering menggunakan kaedah sama untuk berhubung dengan media tempatan. – REUTERS

Nyaris maut rumah terbakar

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LINGGI – Seorang pekerja sebuah reban menternak ayam di Kampung Tha San, Permatang Pasir Linggi, di sini kerugian harta benda apabila rumah yang didiaminya musnah dalam satu kebakaran, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.55 malam itu, pekerja berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

Sinar Harian difahamkan panggilan kecemasan diterima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang pada jam 8.58 malam dan tiba di lokasi berkenaan 35 minit kemudian.

Jurucakap bomba berkata, ketika tiba di lokasi, keadaan api sedang marak membakar rumah jenis separa kekal dan dapat dikawal dalam masa dua minit.

“Kemudian api dapat dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja pembersihan selesai pada jam 11.40 malam.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi itu diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Sharif Ahmad dengan kekua­-tan lapan anggota dan dua jentera.

Terdahulu sepasukan anggota Bomba Sukarela Linggi memberikan bantuan awal dalam kejadian kebakaran tersebut.

Sinar Harian

Jag plastik umpan rompak

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang peniaga kedai barangan plastik terkedu apabila salah seorang pelanggan kedainya bertindak mengacukan pisau sebelum mengarahkan dia menyerahkan beg pinggang berisi wang RM4,000, hasil kutipan perniagaannya hari itu dalam satu kejadian samun di Medan Warisan di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Ong Kiow Beng, 58 yang enggan menuruti arahan perompak tersebut terpaksa bergelut demi menyelamatkan wang itu selepas suspek bertindak merampas beg tersebut dengan cuba memotongnya menggunakan pisau.

Menurutnya, akibat pergelutan itu, dia mengalami kecederaan di peha selepas terluka terkena hujung pisau itu.

Menurutnya, kejadian berlaku di belakang premis kedai itu disedari suaminya lalu lelaki itu cuba membantu dan memukul suspek menggunakan tong plastik.

“Suspek turut mengacukan pisau ke arah suami saya sebagai amaran supaya tidak melawan sebelum datang seorang lelaki lain membawa sebilah parang lalu menyerang kami.

“Lelaki itu melibas parang ke arah suami saya, manakala rakannya bertindak merampas beg pinggang saya dan terus melarikan diri,” katanya.


Cuba kejar suspek

Kiow Beng berkata, suaminya cuba mengejar suspek bagaimanapun mereka berjaya melarikan diri ke arah jalan besar dan beredar menaiki sebuah kereta jenis Produa Myvi putih yang diletakkan di tepi Jalan Kuantan-Gambang arah Gambang.

“Suspek terjatuh beberapa kali ketika cuba melarikan diri bagaimanapun suami saya tidak dapat untuk menghalang mereka memandangkan dia dan pekerja sahaja yang ada ketika itu,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

Dia berkata, pekerjanya, Anamul Haave, 34, turut cedera di belakang selepas dipukul suspek menggunakan belakang parang.


Suspek pernah datang ke kedai

Menceritakan detik awal kejadian, Kiow Beng berkata, suspek datang ke kedainya kira-kira jam 4 petang untuk membeli dua jag air.

“Saya cam wajah dua lelaki itu kerana mereka ada datang ke kedai ini kira-kira jam 11 pagi tadi (kelmarin) dan membeli barang sama.

“Ketika itu pelanggan agak ramai dan mereka beredar menaiki kereta jenis Produa Myvi tapi berwarna hitam,” katanya.

Dia berkata, selepas suspek membayar harga barang tersebut, dia beredar ke dapur meninggalkan pekerja di bahagian depan untuk melayan pelanggan, manakala suami berada di dalam pejabat.

“Saya perasaan salah seorang daripada lelaki itu mengekori hingga ke dapur sebelum berlaku kejadian ini,” katanya.


Suami nyaris cedera dilibas parang

Suami mangsa berusia lingkungan 60-an berkata, selepas mendengar bunyi bising, dia keluar dari pejabat dan segera ke belakang sebelum ternampak suspek sedang bergelut dengan isterinya.

“Saya sempat ambil satu tong plastik lalu memukul lelaki itu bagaimanapun dia segera mengacukan pisau dan memberi amaran supaya tidak melawan.

“Ketika itu juga, kawannya datang dan bertindak melibas parang namun saya sempat mengelak dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.


Pekerja turut jadi mangsa

Anamul yang berasal dari Bangladesh berkata, dia melayan lelaki itu dengan baik dan langsung tidak mensyaki niat jahat mereka.

Menurutnya, selepas menyerahkan barang dibeli, salah seorang suspek pergi ke bahagian belakang manakala seorang lagi menunggu berhampiran saya sambil membawa sebilah parang.

“Selepas melihat majikan cuba dirompak, saya cuba membantu tetapi lelaki yang berada di sebelah tiba-tiba bertindak memukul belakang saya menggunakan parang,” katanya yang bekerja di situ sejak tiga tahun lalu.


Polis siasat kejadian

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa kira-kira jam 4.40 petang berhubung kejadian.

Menurutnya, beberapa anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri sebelum pihaknya tiba.

“Menurut keterangan mangsa, suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan menggunakan kereta jenis Produa Myvi berwarna putih, namun tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran digunakan.

“Berdasarkan pengecaman mangsa, salah seorang suspek bertubuh kurus, tinggi dan berkulit putih manakala seorang lagi bertubuh kecil dan rendah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, polis percaya suspek sudah memantau kedai tersebut memandangkan mangsa ada memberitahu mereka pernah datang kira-kira jam 11 pagi bagaimanapun tidak sempat bertindak disebabkan pelanggan lain agak ramai.

“Suspek juga sudah bersedia sebelum bertindak memandangkan mereka meletakkan kereta di tepi Jalan Kuantan-Gambang arah Gambang kira-kira 200 meter dari kedai tersebut bagi memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek terlibat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan.

Sinar Harian

Penggali perigi nyaris maut

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang penggali perigi nyaris maut apabila terperangkap dalam perigi selepas tangan kirinya dihempap dan tersepit di bawah kolong ketika menggalinya bersama rakan di Kampung Padang Purut, Dewan Beta, dekat sini, semalam.

Mangsa, Ab Ghani Yusof, 50, berkata, sebelum kejadian dia mengorek tanah menggunakan cangkul di dalam perigi sedalam kira-kira 1.5 meter dan ketika itu rakannya, Zakaria Mamat, 36, berada di atas.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tangan kiri Ab Ghani bengkak selepas hampir satu jam tersepit sebelum diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurutnya, selepas menggunakan cangkul dia kemudiannya melakukan kerja-kerja mengorek tanah liat dengan tangannya bagi meratakan kedudukan konkrit perigi terbabit.

“Ketika berada di dalam perigi, secara tiba-tiba empat kolong yang siap dipasang menghempap tangan saya dan dalam masa sama tangan saya turut tersepit.

“Saya cuba menarik tangan yang tersepit tetapi tidak berjaya juga kerana konkrit ini sangat berat. Lagipun ketika itu perigi dipenuhi air,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ab Ghani berkata, kerana dikhuatiri lemas dia terpaksa menjerit meminta tolong dengan kawannya yang ketika itu berada berhampiran kawasan perigi terbabit.

Sementara itu, Zakaria berkata, selepas terdengar jeritan rakannya itu dia bergegas ke kawasan perigi dan terjun untuk memberi bantuan tetapi gagal.

Dia berkata, selepas hampir setengah jam berada di dalam perigi, dia berusaha mencuba mengangkat kolong itu tetapi gagal kerana terlalu berat.

“Selepas puas mencuba mengangkat perigi saya sudah tidak mampu lagi, saya kemudiannya keluar dan meminta bantuan daripada Mohd Hanafi Abdul Ghani, 42, pemilik rumah tersebut sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Ketua Operasi menyelamat, Mohd Rashid Yusof berkata, empat anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.12 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukannya mendapati mangsa masih terperangkap di dalam perigi dan menggunakan alat pemotong serta memecahkan polong untuk menyelamatkan mangsa.

“Selepas setengah jam menjalankan kerja-kerja menyelamat, akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan dan mangsa kemudian dihantar ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pemilik rumah, Mohd Hanafi berkata, dia terpaksa menggali perigi kerana bekalan air di rumahnya berkeladak dan penduduk lain juga mengalami masalah sama.

“Saya difahamkan semua penduduk di sini, menggunakan air boring dan ada di antaranya menerima bantuan enjin air dari Jabatan Kesihatan Kelantan,” katanya.

Sinar Harian