08 Mac 2012

Muzium Mee Segera Di Buka Di JEPUN

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Orang Jepun suka dengan mee segera mereka, jadi ia tidak menghairankan bahawa mereka telah membuka sebuah muzium untuk menunjukkan betapa sukanya mereka terhadap mee.

Muzium ini dibuka oleh Nissin Foods dan terletak di Yokohama, Jepun, merayakan 40 tahun makanan popular yang disukai oleh pelajar kolej yang dikatakan 'meletup' di mana-mana sahaja. Pada paparan yang tersedia ada, menceritakan sejarah mee segera, yang dicipta oleh Momofuku Ando, orang yang mencipta mee ramen ayam mengimbau kembali pada tahun 1958 selepas menyaksikan kegilaan orang memakanan mee selepas perang Jepun.

Muzium itu sendiri adalah 10,000 meter persegi dan mengandungi "Cup My Noodle Factory" yang membolehkan pengunjung untuk mencipta perisa mereka sendiri. Dan tentunya, termasuk restoran-restoran yang menyajikan tiap-tiap jenis mee yang pernah dibayangkan.

Pada hari pembukaan, 500 orang menunggu di dalam barisan untuk merasai pengalaman, termasuk Junichiro Koizumi, bekas Perdana Menteri Jepun. Di dalam, ibu bapa akan dapat lihat pelbagai jenis mee sementara anak-anak mereka mengambil kesempatan bermain di "kawasan permainan mee."

Ini bukan kali pertama Nissin Foods membuka sebuah muzium; mereka membuka satu di Osaka, Jepun pada tahun 1999 dengan bunyi trompet riuh-rendah yang hebat. Dan tidak lupa juga muzium Mee Ramen di Shinyokohama.

majalah biar betul/-

Penjawat awam rendah perlu gaji 'sara hidup'

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan.

Justeru, kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji ‘sara hidup’ (living wage), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Demikian antara cadangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar (gambar) agar Kerajaan Persekutuan bersikap lebih adil berhubung kenaikan gaji penjawat awam.

Menurutnya, memandangkan keadaan ekonomi negara terkini, PKR sedar bahawa jumlah dana yang diperuntukkan untuk kenaikan gaji bagi penjawat awam menerusi skim SBPA mungkin dikekalkan pada tahap sedia ada.

Oleh itu, ujarnya PKR menggesa pihak Kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dan saksama dan memberi tumpuan utama kenaikan gaji kepada golongan penjawat awam yang paling rendah terlebih dahulu, iaitu di antara gred 1 hingga 54, demi merapatkan jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

Selain gaji ‘sara hidup’, beliau mencadangkan sekiranya prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti tidak dibuat, maka Cuepacs seharusnya menolak SBPA dan menuntut SSM lama dikekalkan tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam dilaksanakan segera.

“SBPA baru yang mesti dirangkakan secara lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan.

SBPA juga, ujarnya mesti dirangka dengan mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

“Akhir sekali, PKR meletakkan keyakinan bertunjangkan perkhidmatan awam sebagai penggerak pembangunan negara yang terutama,” katanya lagi.

Harakah Daily

Anak tertimbus

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Tolong, tolong! Anak saya tertimbus!,” jerit seorang lelaki yang panik apabila melihat anak lelakinya tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kuarters Kerani Polis, Jalan Belfield off Jalan Maharajalela di sini, malam tadi.

Akibat kejadian itu, Raja Mohd Irfan Raja Mohd Azlan, 13, yang tertimbus separuh badan termasuk bahagian kepala selama lebih 10 minit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur beberapa jam selepas dikeluarkan dari kawasan runtuhan.

Menceritakan kejadian, seorang jiran, Zaharah Hashim, 54, berkata pada mulanya dia menyangka bunyi bising yang didengari dari belakang rumah kerana dipecah masuk pencuri tetapi selepas terdengar jeritan meminta tolong, dia keluar melihat apa yang berlaku.

“Pagar dan sebahagian atap rumah mangsa roboh ditimpa tanah, kami dengan segera membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” katanya.

Dia berkata mereka menggunakan pintu dan serpihan kayu untuk menahan tanah yang masih bergerak manakala jiran lain segera menelefon bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata anggota bomba yang berkejar ke lokasi mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup ketika dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius kira-kira jam 11.50 malam ketika menerima rawatan di HKL,” katanya ketika dihubungi semalam.

metro/-

Tempurung kepala pecah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LADANG GULA – Seorang kanak-kanak Nazatul Azura Mohamed Amin, 11, yang dahulunya seorang periang kini hanya mampu terlantar di katil akibat kecelakaan jalan raya dua bulan lalu sewaktu dia dalam perjalanan ke sekolah.

Kejadian malang itu bukan sahaja menimpa Nazatul, malah adiknya, Abdul Jamil, 9, dan bapanya, Mohamed Amin Eman turut tercedera dalam kemalangan berkenaan.

Ibunya, Julina Saudi berkata, apa yang menyayat hati apabila anak perempuannya, Nazatul masih belum pulih dan telah disahkan oleh doktor Nazatul akan mengalami kecacatan seumur hidup.

“Ketika di hospital, doktor terpaksa mengeluarkan tempurung kepala Nazatul yang pecah sewaktu dirempuh dalam kemalangan itu kerana ia tidak berfungsi lagi.

“Kini, dia terlantar di katil dan tidak mampu berbuat apa-apa, hanya diberi minum susu setiap beberapa jam,” katanya yang juga surirumah sepenuh masa.

Julina berkata, Jamil pula mengalami patah tulang belakang manakala suaminya mengalami masalah pendengaran sehingga kini.

“Semenjak kejadian itu, saya terpaksa membawa ketiga-tiga mereka berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

“Bagaimanapun, suami dan anak lelaki saya semakin beransur pulih walaupun turut menerima rawatan sehingga kini,” katanya. Tambah Julina, suaminya baru dua hari bekerja setelah cuti panjang kerana kemalangan terbabit.

“Suami saya yang beransur pulih kini bekerja semula sebagai operator di sebuah kilang memproses kelapa sawit di sini namun dia tidak mampu melakukan kerja-kerja berat seperti sebelumnya,” katanya.

Bagi Amin, kemalangan ngeri yang menimpanya tiga beranak itu masih jelas di ingatan dan dia sering trauma apabila setiap kali mengenangkannya.

“Saya memang trauma setiap kali terkenang peristiwa hitam itu,” katanya.

Menampung kos perubatan Tambahnya, walaupun masih belum pulih sepenuhnya dia terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan Nazatul sebanyak RM2,000 sebulan.

“Dengan pendapatan RM500, saya terpaksa menampung perbelanjaan sebanyak RM1,200 untuk susu dan RM500 untuk lampin pakai buang Nazatul.
Kos keseluruhan bagi setiap bulan untuk merawat dan menjaga Nazatul melebihi pendapatannya setiap bulan.

“Saya amat berharap agar pihak yang bersimpati dan dapat menghulurkan bantuan seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bebanan yang kami sekeluarga tanggung dapat diringankan,” katanya.

Kepada mereka yang prihatin dan mahu menghulur sumbangan bolehlah menyalurkan sumbangan dengan datang sendiri ke rumah Amir di alamat NL14, Ladang Gula, Kuala Gula, Kuala Kurau, di sini.

“Harapan saya sekeluarga ada pihak sudi menghulurkan sumbangan meringkan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Terdahulu, Amin menceritakan detik kemalangan ngeri yang berlaku apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Setelah dirempuh kereta, kami tiga beranak diheret sejauh kira-kira 100 meter dan menyebabkan saya tercampak ke dalam parit dan pengsan manakala kedua-dua anak saya, Nazatul dan Jamil terus diheret lebih jauh.

“Selepas kejadian itu, Jamil mengalami patah tulang belakang manakala keadaan Nazatul lebih serius,” katanya. Tambah Amin, saraf otak Nazatul terganggu dan doktor telah mengesahkan peluang untuk sembuh sepenuhnya amat tipis.

“Doktor meminta kami membawa Nazatul pulang ke rumah dan dia perlu menjalani rawatan susulan di hospital secara berkala.

“Keadaan Nazatul yang tidak mempunyai tempurung kepala membuatkan otaknya tidak berfungsi dengan normal.

“Bukan itu sahaja, malah kaki kanannya patah dan mata kanannya juga tidak boleh dibuka, hanya mata sebelah kiri sahaja yang boleh dibuka sedikit,” katanya.

Sinar Harian

Kelibat Pak Din di Pasar Karat

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GOMBAK – Kisah Pak Din yang menyihir sebuah keluarga hingga anak gadisnya dilarikan yang disiarkan akhbar ini Isnin lalu mendapat maklum balas ramai pihak.

Menurut mangsa Mohd Zin Mamat, 62, berkata, telefon bimbitnya menerima banyak panggilan daripada pembaca Sinar Harian serata pelosok tanah air bertanyakan tentang apa yang berlaku.

“Kebanyakan yang menghubungi bersimpati di atas apa yang berlaku ke atas keluarga saya malah ada yang memberi maklumat pernah terserempak dengan Pak Din dan anak saya Siti Maizurah sebelum ini di Pasar Karat, Kuala Lumpur dua minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, pemanggil tersebut memberitahu dia yakin bahawa warga emas yang pernah ditemuinya bersama seorang wanita muda di kawasan itu serupa seperti gambar wajah Pak Din yang disiarkan akhbar ini.

“Saya juga ada terima panggilan daripada beberapa orang daripada Kelantan yang memberitahu kenal dan tahu aktiviti Pak Din yang suka memperdayakan orang namun mereka mengaku sudah lama tidak nampak kelibat orang tua sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Mohd Zin berkata, ada di antara pemanggil yang berhasrat mahu membantu dan akan datang ke rumah dalam waktu terdekat.

“Apapun kami hanya harap Siti Maizurah dapat kembali ke pangkuan kami sekeluarga satu hari nanti,” katanya.

Muka hadapan Sinar Harian 5 Mac lalu menyiarkan kisah sebuah keluarga yang berhabisan ratusan ribu ringgit akibat disihir selama empat tahun oleh seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Din.

Warga emas itu kemudiannya melarikan anak gadis keluarga itu yang kononnya sudah dinikahi secara ghaib bersaksikan malaikat selain mengakui dirinya setaraf Nabi Isa.

Sinar Harian

Jepun gemar perabot Malaysia

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Syarikat hiasan dalaman dan perabot rumah Jepun, Tokyo Interior, merancang membeli banyak perabot buatan Malaysia sejajar dengan pembukaan cawangan baru syarikat itu di Tokyo.

Presidennya, Hiroe Tonegawa berkata Tokyo Interior kini memiliki 32 cawangan di seluruh Jepun dan akan membuka dua cawangan lagi di Tokyo dalam tahun ini.

Perniagaan syarikat itu dijangka berkembang 20 peratus tahun ini, dengan didorong permintaan meningkat daripada pasaran perabot Jepun berikutan bencana gempa bumi dan tsunami di negara itu tahun lalu.

“Tahun ini bakal menyaksikan banyak pesanan berulang bagi perabot Malaysia. Perabot Malaysia terkenal kerana kualiti dan keteguhannya,”katanya.

Pada masa ini, syarikat itu membeli 20 hingga 30 kontena perabot Malaysia sebulan. Satu kontena mengandungi perabot bernilai kira-kira ASD$20,000 (RM61,000), yang terdiri daripada set meja makan, kerusi, sofa, perabot sedia dipasang atau perabot pasang sendiri.

Tonegawa berkata, pengguna Jepun menggemari perabot berkualiti dengan reka bentuk dan warna menarik selain mesra pengguna dan mesra alam.

Sinar Harian

Remaja maut terlanggar lori

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Seorang remaja maut setelah motosikal ditunggangnya terlanggar lori yang ditinggalkan di tepi jalan dalam kejadian di Jalan Angsana, Taman Keladi kira-kira 8.05 malam, kelmarin.

Sumber polis memberitahu, mangsa, Mohamad Izhar Yahya, 18, yang melalui jalan tersebut tidak menyedari kehadiran lori yang diletakkan di laluan itu lalu melanggar kenderaan tersebut.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa datang dari arah Taman Keladi sedang menghala ke arah Taman Sri Wang.

“Mangsa yang tidak menyedari ada lori di tepi jalan melanggar bahagian belakang tepi sebelah kiri lori yang diparkir di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan, mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Ikmal, 15, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, abangnya ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya bagi membantu ibu yang sedang berniaga.

Mangsa, yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Lebai Man.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Difahamkan, jenazah Allahyarham telah dituntut keluarga jam 11.30 malam kelmarin.

Sinar Harian

Roti manis inti besi

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tergamam apabila menyedari anak lelakinya hampir tertelan objek besi dipercayai serpihan pisau ketika asyik menikmati roti manis yang dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran Taman Len Seng, Cheras, di sini.

Pekerja swasta, Azizatul Naem Ismail, 34, berkata dia terkejut apabila mendapati objek besi sepanjang garis pusat itu terdapat dalam roti berkenaan yang hampir habis dimakan anaknya dalam kejadian 15 Februari lalu itu.

Katanya, dia bagaimana pun bersyukur anaknya, Muhammad Wafi Najib, 9, tidak tertelan objek tajam itu sebaik menyedari kehadirannya dalam roti berkenaan apabila dia tergigit serpihan besi itu.

Azizatul berkata, akibat tidak berpuas hati dengan kejadian itu, dia bertemu dengan pemilik stesen minyak bagi mengadu hal berkenaan sebaliknya ditawarkan RM60 atau diganti roti baru.

“Saya menolak ganti rugi berkenaan kerana bukan itu yang saya mahukan tetapi saya mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain.

metro/-

Wolves dapatkan khidmat Davis

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KECEDERAAN hamstring pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Karl Henry menyebabkan kelab itu terpaksa meminjam pemain Chesterfield, David Davis.

Pengurus Wolves, Terry Connor berkata, pihak pengurusan bersetuju mendapatkan David selepas yakin dengan persembahan pemain berusia 21 itu sepanjang musim ini bersama kelab Liga Satu, Chesterfield.

Davis, yang pernah membuat penampilan bersama Wolves sebagai pemain simpanan semasa Carling Cup di Northampton Ogos tahun lalu, akan mula menjalani latihan dengan pasukan Wolves Selasa depan.

Sementara itu, Henry yang diharap mampu pulih sebelum kunjungan Wolves ke Norwich dalam sai­ngan Liga Perdana 24 Mac nanti, kini hanya mampu berada di barisan simpanan.

Sinar Harian

Polis diserang dengan lastik

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TERAP - Empat lelaki warga asing berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan memiliki motosikal curi di sebuah estet kelapa sawit di Batu 10 kira-kira jam 2 petang semalam.

Polis turut menemui tujuh motosikal dan ada di antaranya dilaporkan hilang di sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis mendapat maklumat tentang kes motosikal curi di lokasi kejadian melalui maklumat orang ramai dan membuat pemantauan sejak lima hari lalu.

“Ketika pihak kami ke lokasi berkenaan, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan melalui jalan berlopak kira-kira 20 kilometer.

“Kenderaan kami tiba-tiba diserang hendap oleh beberapa suspek dengan menggunakan lastik.

“Satu daripada kenderaan kami pecah cermin di bahagian kiri hadapan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kenderaan itu kemek di bahagian hadapan kanan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan.

“Kebanyakan motosikal yang digunakan oleh pekerja estet terdiri daripada motosikal curi kerana ia dijual dengan harga di antara RM300 seunit.

“Semua suspek telah ditahan dan akan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Sinar Harian

Keluarga usaha cari Dirang, mula tampal poster

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Pelbagai usaha sedang dilakukan keluarga kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih mesra dipanggil Dirang yang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera di kedai runcit

Flet Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini, Khamis lepas.

Ibunya, Roselyn Alan, 25, berkata, ahli keluarganya sedang giat menampal poster gambar Dirang di sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang, Masai dan Bandar Seri Alam.

Menurutnya, RHB bank turut menawarkan kerjasama menampalkan poster gambar Dirang di mesin ATM RHB seluruh negeri ini.

“Saya hargai pelbagai usaha yang telah dilakukan banyak pihak bagi mengesan anak kesayangan saya.

“Pelbagai usaha telah kami lakukan termasuk mencarinya ke merata-rata tempat, tetapi masih belum membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian 5 Mac lepas menyiarkan kesedihan seorang ibu apabila anak keduanya tidak pulang ketika keluar dari rumah tingkat empat membeli mi segera di blok bersebelahan.

Roselyn merayu kerjasama daripada orang ramai yang terlihat atau terjumpa anaknya supaya menghubunginya di nombor 010-8239010 atau ke balai polis berhampiran.

Sinar Harian

The Settlers intai import baru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

FELDA United FC tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak dua pemain import barunya, Makadji Boukar (Cameroon) dan Pape Cire Dia (Senegal) berikutan aksi hambar dalam lima perlawanan lalu termasuk ketika tewas 1-3, kepada Lions XII kelmarin.

Tidak berpuas hati dengan sumbangan kedua awang import tersebut, jurulatih, E Elavarasan kini sedang berkira-kira untuk mendapatkan pemain import baru menjelang tarikh pendaftaran pemain import dibuka semula 2 April nanti.

“Kita sudah bagi banyak peluang, namun aksi mereka terbukti mengecewakan pihak pengurusan. Bagi saya kelibat pemain tempatan mampu beraksi lebih baik.

“Calon untuk menggantikan tempat mereka sudah ada dan dijadualkan tiba minggu depan. Namun buat masa sekarang saya tidak mahu mendedahkan pemain tersebut berasal dari negara mana,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Boukar, 28, bermain di posisi bek kanan sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Vasas SC di Hungary dan merupakan pemain kebangsaan Cameroon, manakala penyerang, Cire Dia, 31, merupakan pemain kelab ASC Diaraf negara kelahirannya.

Dalam perkembangan lain, Elavarasan turut mengulas mengenai ‘sindrom kad merah’ yang melanda pasukannya sejak sembilan perlawanan Liga Super musim ini dengan menganggap ianya sebagai lumrah arena bola sepak.

Tidak mahu bertindak terburu-buru menjatuhkan hukuman, pengendali The Settlers itu sebaliknya lebih bersikap positif dengan meletakkan kepercayaan kepada anak buahnya.

Sinar Harian

Kera bawa lari pakaian pelajar

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TEMBELING, PAHANG - Kemunculan ratusan kera liar yang mengganggu ketenteraman pelajar asrama dan pengusaha dewan makan di sebuah sekolah menengah, di sini, seolah-olah tiada kesudahan.

Seorang pekerja dewan makan asrama, Norehan Othman berkata, gangguan haiwan liar itu sudah lama berlaku dan ­pihaknya juga sudah meng­ajukan masalah itu kepada Jabataan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah mengambil langkah menangkap haiwan terbabit lebih sebulan lalu dan dianggarkan lebih 40 ekor berjaya ditangkap.

“Bagaimanapun masalah itu terus berulang apabila ­ratusan kera liar berterusan mengganggu pekerja dewan makan di sini dan ­juga pelajar perempuan di asrama.

“Pakaian yang dijemur pelajar akan dilarikan haiwan terbabit termasuklah pakaian kami. Bukan itu sahaja, kehadiran kumpulan kera ini menyebabkan pelbagai kerosakan apabila ia menceroboh masuk ke dalam bahagian dapur dewan makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Norehan berkata, kumpulan kera itu akan melarikan pelbagai barangan seperti pinggan, cawan dan merosakkan kemudahan di dewan makan seperti memecahkan lampu.

Katanya, keadaan akan bersepah apabila bahagian dapur diselongkar haiwan terbabit, malah stok simpanan makanan seperti roti, buah-buahan dan sebagainya juga dilarikan.

Rakannya, Siti Nur Aini Zulkifli berkata, kumpulan kera liar itu akan datang mengganggu asrama dan dewan makan pada awal pagi, tengah hari dan petang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada lagi insiden pelajar atau pekerja di situ diserang atau digigit haiwan berkenaan.

“Cuma kami rimas dengan kumpulan kera ini yang terlalu banyak dan merosakkan harta benda di sini.

“Sebelum berlakunya kejadian lebih buruk, kami sangat mengharapkan pihak berkenaan tampil semula melakukan tindakan sepatutnya supaya keselamatan petugas dewan makan, pelajar dan harta benda di sini lebih terjamin,” katanya.

Sinar Harian

Jeritan minta tolong selamatkan nyawa Baharun

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Jeritan meminta tolong seorang lelaki dari tingkat dua telah menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Melayu Pandan, di sini kira-kira jam 9.40 pagi, semalam.

Jirannya, Rahmah Harun, 62, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Baharun Bunari, 50-an, ketika kejadian sedang nyenyak tidur hanya terjaga selepas serpihan bumbung yang sedang terbakar menimpa kakinya.

Menurutnya, penduduk yang terdengar jeritan Baharun telah memecahkan pintu utama rumah sebelum bergegas ke tingkat atas untuk menyelamatkannya, selepas menyedari bahagian tingkat atas rumah sedang terbakar.

“Baharun telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan ambulan selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki kerana terkena serpihan bumbung terbakar.

“Dia ketika itu sedang tidur bersendirian kerana bekerja jam 11 pagi, manakala tiga lagi rakan serumah yang lain telah keluar bekerja,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.

Sementara itu, pemilik rumah, Rothiyah Suparthi, 52, berkata, rumah itu pada asalnya dijadikan stor menyimpan kain selepas dia berpindah ke Kangkar, Tebrau.

Menurutnya, rumah itu diamanahkan kepada seorang kenalan tanpa sebarang bayaran yang kebetulan tidak mempunyai tempat tinggal untuk berteduh dan menjaga stok kain yang disimpan di situ.

Sinar Harian

Azraai akur hilang tiga mata

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

‘Kealpaan pemain punca kekala­han ini‘. Demikian komen ringkas Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah setelah pasukan kenda­liannya tersungkur 1-2 kepada Kelantan dalam aksi tunggal Liga Super di Kota Bharu, Ahad lalu.

Sambil menyifatkan pasukannya mampu mencuri satu mata, Mohd Azraai Khor berkata, kesilapan barisan pemainnya terutamanya dalam minit-minit akhir perlawanan menafikan hasrat tersebut.

“Awal-awal perlawanan lagi pintu gol kita sudah dibolosi dengan jaringan mudah. Sepatutnya jaringan tersebut tidak terhasil, namun kelekaan pemain pertahanan kita memberi ruang kepada pemain Kelantan menjaringkan gol.

“Saya fikir kita boleh berbangga membawa pulang satu mata ke Seremban, tetapi itu tidak berlaku. Pemain kita jelas hilang kosentrasi dan perkara ini tidak sepatutnya terjadi dalam perlawanan ini.

Menurutnya, ketiadaan tonggak pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah yang mengalami kecederaan begitu dirasai setelah penggantinya, G Mahathevan dilihat menampilkan aksi kurang menjadi dalam perlawanan tersebut.

“Pujian harus diberikan kepada barisan pemain pertahanan Kelantan yang sentiasa merantai pergerakan Jean Emmanuel Effa Owona dalam perlawanan ini. Ketajaman Effa Owona di depan pintu gol terbukti dikekang hebat oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian