16 April 2012

Rakan hilang dikhuatiri lemas

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Tindakan seorang lelaki meninjau kawasan lombong untuk memancing bertukar tragedi apabila dia sedari hilang dan dikhuatiri lemas dalam lombong berkenaan, petang semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Barisan, di sini apabila mangsa, Mohd Sani Abd Wahab, 43, datang bersama rakannya, Mohd Nazil Ilham Abd Hamid, 31, dari Seremban untuk meninjau kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkefli Adamsah berkata, kedua-duanya tiba sekitar 12 tengah hari semalam dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurutnya, mangsa kemudian memberitahu rakannya mahu membuang air, sebelum meninggalkan Mohd Nazil Ilham berseorangan.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian, Mohd Sani tidak dapat dihubungi dan talian telefon bimbitnya juga tidak aktif. Mohd Nazil Ilham kemudiannya menghubungi polis,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zulkefli berkata, mangsa dipercayai hilang sekitar 12.30 tengahari hingga 1 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan menggunakan bantuan pasukan anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Unit Skuba Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang turut melakukan operasi mencari di air yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Rashid Sulaiman,” katanya.

Sehingga jam 9 malam semalam, mangsa masih belum ditemui lagi.

Pasukan penyelamat turut menggunakan kasut mangsa sebagai petunjuk kepada anjing pengesan untuk menjejak mangsa.

Sementara itu, Mohd Nazil Ilham enggan ditemui media kerana masih terkejut.

Difahamkan, kedua-dua sahabat itu bekerja di Melaka dan pergi memancing untuk mengisi masa cuti sempena Ulang Tahun Kesembilan Bandaraya Melaka.

Sinar Harian

Hill-Wood: Tiada siapa boleh ganti Wenger

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENGERUSI Arsenal, Peter Hill-Wood menegaskan tiada individu lain yang layak menggantikan kedudukan Arsene Wenger sebagai pengurus di Emirates.

Populariti Wenger kian pulih terutamanya selepas skuadnya mengecewakan Manchester City 1-0 pada aksi liga domestik, minggu lalu.

“Dia akan kekal hingga Jun 2014. Saya fikir, tiada siapa mampu menduduki kerusi panas jawatan pengurus Arsenal selain Wenger.

“Dia juga berjaya menangkis tohmahan buruk mengenai prestasi The Gunners pada awal musim. Ketika itu, ramai pemain utama kami dilanda krisis kecederaan,” katanya.

Sinar Harian

Azraai: Keputusan luar jangka

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DI LUAR jangkaan! Hanya itu mampu diungkapkan pengendali Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah ketika ditanya mengenai kekalahan 0-1 pasukannya kepada Terengganu hasil jaringan sendiri anak buahnya, S Kunanlan.

Menyifatkan perlawanan di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin sebagai permainan seimbang, Azraai mengakui terpaksa menerima keputusan dengan hati terbuka.

“Pada awal perlawanan saya sudah menetapkan untuk tidak pulang tangan kosong, namun inilah lumrah permainan­ bola sepak. Meskipun gagal membawa pulang mata dan terpaksa turun satu tangga dalam kedudukan liga, saya tetap berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan oleh pemain,” katanya.

Enggan berputih mata untuk kali kedua, Azraai bersedia menanti kunjungan­ skuad Penyu di Stadium Tuanku Abdul Rahman dalam saingan kedua Liga Super esok meskipun terpaksa turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama.

Dalam perkembangan lain, menolak dakwaan akan menggantikan Farbak dengan pemain import baru, Azraai melihat pasukannya kini sudah mempunyai barisan­ pemain yang mantap.

Sinar Harian

Laluan sukar skuad Thomas

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SKUAD badminton negara dijangka berdepan laluan sukar dalam kejohanan akhir Piala Thomas pada Mei depan apabila diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.

Dalam undian yang dilakukan di Pusat Sukan Wuhan, China semalam, skuad negara selaku pilihan keenam kejohanan bakal diterajui pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam kejohanan yang berlangsung pada 20 hingga 27 Mei depan.

Pemain negara berjaya layak ke pusingan akhir kejohanan­ selepas mara ke peringkat separuh akhir pusingan­ kelayakan Zon Asia di Macau pada 13 hingga 19 Februari lalu.

Manakala, China yang dibarisi pemain ranking utama dunia dan juga juara lapan kali kejohanan diundi dalam Kumpulan A yang dianggap ‘kumpulan maut’ bersama dengan juara 13 kali, Indonesia dan England.

Naib juara 2008, Korea Selatan menerima laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Amerika Syarikat dan Jerman.

Jepun pula diletakkan dalam Kumpulan B bersama Rusia dan New Zealand.

Agency

Chong Wei makin pulih

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENTAS Siri Super Terbuka India menjadi medan ujian buat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bagi menilai tahap pemulihan kecederaan bahu kanan pemain itu.

Pengarah Cawangan Elit Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Ghani berkata, berdasarkan laporan perubatan, tahap pemulihan­ Chong Wei memberangsangkan dan hampir 90 peratus pulih.

“Jadi kita gunakan kejohanan Siri Super Terbuka India yang bermula pada 24 hingga 29 April sebagai medan ujian untuk Chong Wei dan selepas itu barulah kita akan lihat perkembangan selanjutnya,” katanya.

Selepas beraksi di Seluruh England 11 Mac lalu, Chong Wei menarik diri dari Terbuka Switzerland bahkan terpaksa melepaskan peluang beraksi pada saingan Piala Axiata.

Sementara itu, BAM akan menghantar skuad Piala Thomas dan Sukan Olimpik menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan akhir sebelum cabaran sebenar.

Menurut Ariffin, skuad Piala Thomas menjalani latihan di China sementara pemain yang bertanding pada Sukan Olimpik menjalani latihan­ di University of Bath, United Kingdom, selama dua minggu.

“Pra-latihan di luar negara untuk membina semangat berpasukan­, bagaimanapun maklumat lanjut mengenai program latihan itu akan ditentukan kemudian oleh jurulatih,” katanya.

Sinar Harian

Penduduk resah udara berdebu

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT TUNGGAL - Kegiatan mengangkut tanah di kawasan bukit berhampiran Kampung Bukit Tok Ris, di sini, menimbulkan keresahan dan mengundang masalah dalam kalangan penduduk yang mendakwa terpaksa berdepan masalah debu setiap hari.

Malah, pergerakan lori yang keluar masuk dari kawasan bukit menuju ke tapak projek juga dikhuatiri me­ngundang kemalangan terutamanya melibatkan penunggang motosikal dan basikal apatah lagi ada pemandu lori yang memandu laju.

Difahamkan, kerja mengangkut tanah tersebut mula dilaksanakan awal tahun ini bagi kegunaan beberapa projek pembangunan di kawasan sekitar dan ia termasuk untuk pembinaan pasar baru.

Penduduk, Mahadi Mamat, 44, berkata, masalah debu yang memenuhi ruang udara kawasan sekitar menimbulkan masalah pernafasan bagi mereka yang mengalami asma dan batuk berterusan.

Selain itu katanya, peniaga kedai makan juga mengalami kemerosotan pendapatan kerana pelanggan berkurangan.

“Masalah debu ini sememangnya menyukarkan penduduk apatah lagi ia turut melekat pada kenderaan dan dinding rumah.

“Jika masalah ini berterusan dibimbangi mengancam kesihatan di sini khususnya kanak-kanak dan warga emas, tambahan pula kebanyakan kanak-kanak di sini mengayuh basikal untuk berulang-alik ke sekolah,” katanya.

Kata Mahadi, dia tidak pasti ke mana tanah berkenaan dihantar namun ada mendengar penduduk kampung memberitahu tanah itu digunakan bagi pembinaan pasar baru di kawasan itu.

“Saya difahamkan kerja me­ngangkut tanah untuk pembinaan pasar baru hanya dimulakan pada awal bulan ini sedangkan aktiviti tersebut sudah dilakukan sejak awal tahun.

“Pihak terbabit perlu prihatin dengan masalah kami di sini terutama kesan sampinangan yang boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Hamdan Hamat, 49, berharap agar pemandu lori yang mengakut tanah lebih bertimbang rasa terhadap pemandu kenderaan kecil dengan tidak memandu laju terutama di lokasi yang berisiko kemalangan.

“Sejak aktiviti mengangkut tanah ini dijalankan banyak jalan rosak dan tidak lagi selesa untuk dilalui, tambahan pula apabila hujan air akan bertakung di lubang jalan yang rosak itu dan boleh membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Sinar Harian

Beli daripada penjual bertauliah

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

APABILA ditanya tidak teringinkah memakai kanta lekap yang dianggap akan lebih menyerlahkan penampilan terutama jika memakai solekan mata, penulis terus menggeleng. Bukan tidak ingin bergaya, tetapi rasanya tahap kerajinan dan disiplin untuk mengikuti rutin penjagaan harian kanta lekap tidak mencapai standard yang ditetapkan.

Soal disiplin amat penting bagi semua individu yang ingin memakai kanta lekap.
Ini perkara pertama yang ditekankan oleh pakar optik atau pakar mata apabila anda menyuarakan hasrat untuk memakai kanta lekap. Jika anda tiada ciri ini, lupakan saja hasrat itu kerana sebarang kecuaian boleh mengundang masalah pada mata anda - organ yang sangat penting.

Rasanya semua orang tahu hakikat ini, tetapi masih ramai yang ‘melanggarnya’ dengan tidur bersama kanta lekap akibat terlalu letih untuk mengeluarkan dan membersihkannya. Akibatnya, keesokan paginya mata akan menjadi merah dan kanta lekap pula seolah-olah melekat pada bola mata serta susah untuk ditanggalkan.

“Fungsi utama kanta lekap adalah sebagai pengganti kaca mata iaitu untuk membetulkan penglihatan. Fungsi lain ialah untuk tujuan kosmetik; supaya kelihatan cantik - yang membuatkan semakin ramai orang memakai kanta lekap supaya kelihatan lebih menarik,” kata Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Tara Mary George.

Memang tidak salah memakai kanta lekap untuk cantik, terutama kanta lekap yang berwarna dan mampu membuatkan mata si pemakai tampak lebih galak. Pakailah apa saja warna yang anda inginkan, kata Dr Tara, tetapi ada satu syarat, pastikan ia dibeli dari penjual kanta lekap yang bertauliah dan bukannya dibeli secara dalam talian.

Menurutnya, prosedur memakai kanta lekap untuk tujuan kosmetik sama saja dengan kanta lekap yang membetulkan penglihatan. Ia masih perlukan pemadanan supaya sesuai dengan mata anda. Ramai orang tidak tahu, terlupa atau terlepas pandang bahawa kanta lekap juga perlukan pemadanan atau dalam perkataan bahasa Inggeris ‘fitting’.

Bukan baju saja yang perlu dicuba untuk mengetahui kepadanannya dengan bentuk badan anda, malah kanta lekap juga perlukan proses yang sama. Sepatutnya proses pemadanan ini dilakukan selama dua minggu dan jika benar-benar selesa, bolehlah terus memakai kanta lekap berkenaan.

Mengapa perlu adanya proses pemadanan ini? Kata Dr Tara, satu-satu kanta lekap tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Ini kerana saiz dan bentuk mata setiap individu itu berbeza. Apatah lagi bagi individu yang ada masalah penglihatan. Jadi dalam tempoh satu hingga dua minggu ini, pakar optik anda sepatutnya menghubungi anda kembali untuk bertanya kesesuaian kanta lekap anda.

Pun begitu katanya, kaedah ini bukanlah satu kemestian tetapi lebih baik jika ia diamalkan. Malah, pengguna sendiri boleh menghubungi pakar optik sekiranya selepas dua minggu mata mereka masih tidak berasa selesa dengan kanta lekap yang diberikan.

Kanta lekap adalah cakera plastik atau silikon yang dihasilkan untuk membetulkan masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat, presbiopia (kesukaran melihat objek yang dekat atau dalam cahaya malap) atau astigmatisme (silau).

Oleh kerana kanta lekap diletakkan betul-betul di atas mata (melekat pada kornea), maka rekaan dan pemadanan yang betul sangat penting untuk keselesaan, keselamatan dan pembetulan penglihatan.

Perubahan teknologi membuatkan kanta lekap ini lebih selesa dan mudah dipakai.
Kanta lekap boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu kanta keras dan lembut. Kanta lekap yang keras ada beberapa jenis, tetapi ia kurang diminati kerana ia kurang selesa dipakai.

Kebanyakan orang memilih kanta lembut sama ada dibersihkan setiap hari atau jenis yang boleh dipakai untuk tempoh lebih lama - malam dan siang, tetapi ia kurang selesa. Kini ada juga kanta lekap pakai buang jenis harian atau boleh dipakai untuk satu tempoh tertentu yang lebih menyenangkan pengguna.

Siapa yang sesuai memakai kanta lekap? Secara umumnya semua orang boleh pakai kanta lekap termasuklah:

Individu yang mempunyai masalah penglihatan dan perlukan pembetulan penglihatan sepanjang masa.

Individu yang berdisiplin tinggi dan sangat mementingkan kebersihan. Ini sangat penting kerana kanta lekap perlu dibersihkan setiap hari dengan cara tertentu. Bagaimanapun, perkara ini akan lebih mudah jika anda memilih untuk memakai kanta lekap pakai buang harian.

Individu yang terbabit dalam sukan kecuali berenang. Bagi mereka yang memakai kanta lekap dan mahu berenang, belilah gogal atau kaca mata renang yang bersesuaian dengan masalah penglihatan anda.

Kanta lekap bukanlah pilihan yang baik untuk anda jika:

Anda tidak boleh atau tidak bersedia mematuhi arahan penjagaannya.

Sering mengalami masalah mengendalikan kanta lekap; contohnya anda ada sakit sendi pada tangan atau lain-lain masalah yang menyukarkan anda memakai, menanggalkan dan membersihkan kanta lekap.

Menghidap penyakit seperti kencing manis yang tidak terkawal. Malah pesakit asma, alahan dan lain-lain masalah respiratori kronik juga mungkin sukar memakai kanta lekap.

Ada masalah mata kering atau masalah pada kornea.

Kerap alami jangkitan mata terutama pada kelopak mata.

Bekerja dalam persekitaran tidak berdebu atau terdedah kepada bahan-bahan yang meruap kerana ia boleh melekat pada kanta lekap anda.

Berumur 15 tahun ke bawah atau belum cukup matang untuk menjaga kebersihan diri sendiri.

Kanak-kanak biasanya tidak disarankan memakai kanta lekap kecuali atas masalah kesihatan tertentu seperti katarak kongenital. Masalah ini biasanya berlaku pada bayi dan selepas pembedahan, mereka akan dipakaikan kanta lekap bagi membantu perkembangan mata.

Ibu bapa bertanggungjawab membersihkan kanta lekap bayi mereka dan kanta lekap ini perlu sentiasa ditukar sesuai dengan perkembangan mata si kecil sehinggalah penglihatannya menjadi matang (biasanya pada hujung umur remaja).

Masalah yang kerap dialami

Mata kering - Ia boleh diatasi dengan mudah melalui penggunaan cecair titis untuk mata sebagai pengganti air mata. Boleh gunakan sekerap mungkin, terutama bagi mereka yang bekerja dalam bilik berhawa dingin.

Alahan pada kanta lekap - Individu yang mengalami masalah ini perlu mendapatkan rawatan doktor dan disusuli dengan penukaran kanta lekap. Ia biasanya terjadi akibat pengumpulan mendapan mata pada kanta lekap.

Alahan pada cecair atau larutan untuk kanta lekap.

Keradangan mata.

Keradangan kelopak mata yang menyebabkan rasa tidak selesa apabila memakai kanta lekap. Bagi sebarang masalah berkaitan keradangan pada mata, segeralah berjumpa doktor mata untuk rawatan sewajarnya.

Masalah dengan kornea seperti bengkak dan pandangan kabur yang disebabkan kekurangan oksigen pada kornea, kornea tercalar dan berlaku perubahan bentuk kornea serta jangkitan pada kornea.

Ulser kornea - Walaupun jarang berlaku tetapi ia satu masalah serius kerana ulser kornea yang disebabkan kanta lekap dan tidak mendapat rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang itu hilang penglihatan. Ada kalanya pembedahan penggantian (transplan) kornea terpaksa dilakukan.

Ia boleh berlaku pada individu yang kurang menitikberatkan soal penjagaan dan kebersihan kanta lekap. Ini termasuklah kerap tidur tanpa menanggalkan kanta lekap, menggunakan air paip untuk mencuci kanta lekap dan tidak mencuci bekas penyimpan kanta lekap dengan bersih.

Panduan penjagaan kanta lekap

Cuci tangan anda hingga bersih dan lap kering. Sentiasa pastikan tangan anda benar-benar bersih setiap kali anda mengendalikan kanta lekap sama ada ketika memakai atau menanggalkannya. Saki baki losen, sabun atau sebarang bahan kimia yang terkena pada kanta lekap akan menyebabkan rasa pedih, gatal atau penglihatan kabur.

Hanya gunakan larutan pencuci kanta lekap yang disarankan doktor mata atau pakar optik anda.

Ikut arahan - sentiasa pastikan anda mematuhi arahan pengendalian kanta lekap.

Bersihkan bekas kanta lekap setiap kali selepas digunakan. Bilas dengan larutan pencuci kanta lekap beberapa kali dan biarkan kering. Tukar bekas ini setiap bulan atau seperti yang disarankan pengeluarnya.

Pastikan kuku anda pendek terutama pada bulan pertama anda memakai kanta lekap. Anda boleh menyimpan kuku panjang selepas mahir memakai dan menanggalkan kanta lekap tetapi atas faktor kebersihan, lebih baiklah kuku anda sentiasa pendek.

Perhatikan kanta lekap anda sebelum memakainya. Pastikan ia tidak terbalik kerana ia akan menyebabkan ketidakselesaan.

Jika anda mahu merias mata, pakai kanta lekap terlebih dulu sebelum menyapukan mekap pada kelopak mata. Tanggalkan kanta lekap dulu sebelum membersihkan mekap mata. Bagi mereka yang memakai mekap mata, pastikan alat mekap anda ditukar setiap tiga bulan bagi mengelakkan pengumpulan bakteria.

Jangan sekali-kali menggunakan air paip untuk membersihkan kanta lekap anda walaupun ia adalah air suling.

Jangan mencampurkan dua larutan pembersih kanta lekap berlainan. Anda mungkin sensitif pada satu-satu jenama.

Tanggalkan kanta lekap apabila mahu berenang atau mandi air panas.

Jangan tidur dengan kanta lekap. Walaupun ramai tahu ia boleh mengundang kepada masalah pada mata, tetapi masih ada yang ‘melanggar’ nasihat ini.
Pemakaian kanta lekap ketika tidur akan menyebabkan mata mengalami masalah kekurangan oksigen. Akibatnya, kanta lekap akan menjadi kering dan melekat pada mata hingga sukar ditanggalkan. Dalam keadaan ini, titiskan cecair mata.

Jangan pakai kanta lekap dalam tempoh yang terlalu panjang. Sebaiknya pemakaian kanta lekap tidak melebihi 10 jam sehari.

Beri mata anda ‘bernafas dengan selesa’ pada hujung minggu atau setidak-tidaknya apabila anda berada di rumah dengan memakai kaca mata.

Jangan pakai kanta lekap melebihi tempoh yang ditetapkan pengeluar. Jika ia adalah kanta lekap pakai buang harian, bermakna ia hanyalah untuk satu hari.

Jika anda mengalami sebarang masalah mata sama ada mata menjadi merah, gatal atau penglihatan menjadi kabur - tanggalkan kanta lekap anda dan segeralah pergi berjumpa doktor mata.

Jangan sekali-kali meminjam kanta lekap orang lain. Ini termasuklah kanta lekap untuk tujuan kecantikan terutama jika ia pernah digunakan walaupun sekali.

Mata individu yang memakai kanta lekap biasanya lebih sensitif terhadap sinaran matahari. Justeru itu pakailah cermin mata pelindung cahaya matahari atau topi apabila berada di luar terutama pada waktu panas terik.

Pastikan mulut botol larutan pembersih kanta lekap anda tidak tersentuh pada sebarang objek atau permukaan termasuklah jari anda. Jika mulut botol ini tercemar, seluruh larutan di dalamnya akan turut tercemar.

Jumpa doktor mata setiap tahun untuk pemeriksaan kanta lekap.

Panduan untuk kaki jalan

Memang kanta lekap adalah pilihan yang baik jika anda mahu bercuti panjang.
Tetapi ada beberapa perkara yang perlu anda beri pertimbangan seperti:

Jika anda perlu menaiki kapal terbang, fikirkan berapa banyak larutan kanta lekap yang boleh anda bawa ke dalam kabin. Had larutan yang dibenarkan ialah tidak melebihi 100 mililiter dalam satu bekas. Beli larutan dalam botol kecil kerana jika bekas larutan yang melebihi 100 mililiter akan dirampas walaupun isinya hanya beberapa puluh mililiter saja.

Bawa dua pasang kanta lekap sebagai persediaan jika berlaku kes yang tidak diduga seperti kanta lekap terjatuh atau terkoyak. Pastikan ia dibawa dalam beg tangan anda, bukan diletakkan dalam beg pakaian. Ini penting kerana manalah tahu beg anda ‘tersesat’ ke destinasi lain kerana kesilapan teknikal seperti ini boleh berlaku.

Udara dalam kapal terbang biasanya sangat kering yang akan menyebabkan mata anda berasa sangat tidak selesa. Bawa cecair titisan mata dalam beg tangan anda supaya ia boleh dititiskan pada bila-bila masa.

Lebih mudah jika sepanjang tempoh ini anda memilih kanta lekap pakai buang harian.

Untuk berasa lebih selesa, pakailah kanta lekap baru apabila sampai ke destinasi.

Dr Tara mengingatkan satu lagi perkara penting iaitu jangan membeli kanta lekap melalui Internet atau di pasar malam kerana dikhuatiri ia tercemar atau dihasilkan tanpa mengikut standard kebersihan yang ditetapkan walaupun ia hanyalah untuk tujuan kecantikan. Usah memperjudikan mata anda semata-mata mahu cantik atau murah.

“Ramai risau kanta lekap mereka termasuk ke belakang mata apabila kanta lekap terkoyak ketika menanggalkannya. Jangan risau, ia tidak akan pergi jauh, selalunya serpihan kanta lekap itu akan terselit di bawah kelopak mata.

“Titiskan larutan pencuci kanta lekap pada mata sehingga mata berair. Kelipkan mata beberapa kali. Serpihan kanta lekap akan keluar. Jika masih tidak keluar selepas kaedah ini diulang beberapa kali, pergilah berjumpa doktor.

“Bagi mereka yang baru mencuba memakai kanta lekap, jadikan amalan memulakan pemakaian pada mata yang sama setiap kali. Contohnya, pakai kanta lekap pada mata kiri dulu. Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan dan tertukar kanta lekap dari mata kiri ke kanan kerana ia boleh menjejaskan ketajaman penglihatan terutama bagi individu yang ada masalah kekaburan berbeza antara kedua-dua belah mata,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya kanta lekap terjatuh ke dalam sinki ketika hendak memakainya?

Menurut Dr Tara, kanta lekap itu perlu dibersihkan terlebih dulu menggunakan cecair pembersih sebelum dipakai. Langkah ini penting bagi mengelakkan berlakunya pemindahan bakteria yang mungkin ada di sinki ke dalam mata.

Selain itu beliau turut memberikan soalan penting kepada individu yang mahu mencuba kanta lekap bagi mengetahui kesediaan anda untuk muncul dengan penampilan baru.

Soalan untuk ditanya pada diri sendiri:

1. Mengapa saya perlu memakai kanta lekap? Berapa kerap saya mahu memakainya?

2. Apakah jenis kanta lekap yang saya mahu - sama ada pakai buang (harian) atau jenis yang boleh dipakai lebih lama?

3. Adakah saya mempunyai masalah mata di mana pemakaian kanta lekap boleh menyebabkan komplikasi?

4. Adakah saya bekerja dalam persekitaran yang kotor dan berdebu?

5. Adakah saya cukup berdisiplin dan ada masa untuk penjagaan harian kanta lekap?

6. Adakah saya ada akses kepada doktor mata jika berlaku masalah pada mata saya?

7. Adakah saya ada cukup wang untuk membeli kanta lekap?

metro/-

Dua warga asing maut, tiga cedera dipanah petir

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Dua lelaki rakyat Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegara mereka cedera dipanah petir ketika hujan lebat di kawasan ladang getah di Pos Blau dekat Gua Musang, semalam.

Amir Amza, 29, dan Mohammad Akterwas, 35, mati di tempat kejadian manakala tiga yang cedera iaitu Mohammad Robiul Islam, 32, Bashamin, 29, dan Lieon, 28, kini dirawat di Hospital Gua Musang.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, kelima-lima lelaki itu sedang berjalan untuk pulang ke rumah kongsi pekerja ladang yang terletak dua kilometer dari ladang itu.

Mohammad Robiul ketika ditemui di hospital berkata beliau bersama empat rakannya pulang ke rumah kongsi lebih awal kerana petir kuat dan hujan lebat mengganggu kerja menanam anak getah.

"Kebiasaan kami semua pulang jam 5 petang dan diambil oleh seorang mandur
menggunakan kenderaan pacuan empat roda tetapi kali ini terpaksa pulang lebih
awal disebabkan hujan dan petir.

"Ketika berjalan pulang, terdengar bunyi letupan kuat dan saya lihat dua rakan rebah di situ dengan badannya hagus, manakala dua lagi rakan saya meraung kesakitan, tetapi saya bernasib baik hanya cedera ringan," katanya.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Gua Musang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

- Bernama

1,600 tahanan Palestin di Israel akan mogok lapar esok

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

RAMALLAH 16 April – Kira-kira 1,600 tahanan Palestin di penjara Israel dijadualkan memulakan mogok lapar besar-besaran esok bagi membantah keadaan di pusat tahanan itu.

“Tahanan itu akan melancarkan mogok bagi menuntut persekitaran yang lebih baik dan kami juga akan melancarkan demonstrasi bagi menyokong tuntutan mereka itu,” kata Menteri Pengurusan Tahanan Palestin, Issa Qaraqaa.

Mogok itu juga diadakan bersempena dengan Hari Banduan, demonstrasi tahunan yang diadakan bagi memberi sokongan kepada kira-kira 4,700 penduduk Palestin yang ditahan oleh Israel. – AFP

Isu "Persenda Raja Melayu" Helah Untuk Tutup Isu Beri IC Warga Asing

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pakatan minta bukti jika Umno mahu suruhanjaya

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menegaskan, perlu ada asas yang kukuh sebelum menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja dalam isu dakwaan kononnya pemimpin pembangkang telah mempersendakan Raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.

Penubuhan Suruhanjaya Diraja itu dicadangkan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

Menurut Salahuddin lagi, perkara tersebut perlu mempunyai laporan lengkap sebelum sebarang cadangan dipersetujui oleh semua pihak.

“Kita mesti mendapatkan bukti yang jelas sekiranya hal tersebut benar-benar berlaku. Sebab itulah saya mempertikaikan perkara tersebut.

“Bagi saya, tiada dalam dasar Pakatan Rakyat (PR) untuk melakukan kebiadaban, mempersenda dan tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sekiranya hal tersebut jelas dan benar, PR menyokong syor dan cadangan yang diusulkan bagi mengheret pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.

Rabu lalu, beberapa ahli parlimen pembangkang didakwa mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan sebagai satu pengajaran kepada generasi muda supaya menghormati institusi Raja-raja Melayu.

Ia juga sebagai pedoman kepada semua pihak supaya lebih tertib apabila berada dalam majlis rasmi kerajaan dengan mengetepikan emosi walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya ini bagi memastikan dakwaan ini benar ataupun sebaliknya.

“Kalau kita siasat sendiri, mereka kata tidak adil. Tidak ada sebab mengapa suruhanjaya tidak boleh diadakan kalau itu dapat meyakinkan orang ramai bahawa institusi raja perlu dihormati,” katanya. -SH

Demo PTPTN: SMM mahu pohon permit guna Dataran Merdeka

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang berkata, sehingga semalam, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengarahkan mereka memindahkan khemah atau mengosongkan kawasan.

Menurutnya, sekiranya perlu, pihaknya akan mendapatkan permit daripada pihak berkenaan untuk terus berada di situ sehingga perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

“Kita tidak menerima maklum balas daripada mana-mana pihak berkenaan tuntutan memansuhkan PTPTN dan akan terus berada di sini, sehingga ia selesai.

“Kita akan terus berada di sini walaupun pihak DBKL merampas barang atau menghalau kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, pihak polis sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan tindakan mahasiswa yang mendirikan khemah di tepi padang di Dataran Merdeka sejak kelmarin.

Ketua polis daerah Dang Wangi, Zulkarnain Abdul Rahman berkata, tiada laporan yang diterima berhubung demonstrasi itu.

Menurutnya, tindakan akan diambil sekiranya peserta melakukan perkara yang tidak diingini dan mengganggu kententeraman awam.

“Setakat ini tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka dan kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Lokasi tempat mangsa Titanic tertanam ditemui

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IMEJ menunjukkan sehelai kot dan kasut dekat bangkai kapal Titanic yang karam di dasar Lautan Atlantik.

NEW YORK - Rangka tulang mangsa kapal penumpang Titanic yang karam di Lautan Atlantik mungkin tertanam dalam lumpur di dasar laut itu, kata seorang pegawai persekutuan kelmarin.

Satu gambar yang dirakamkan pada tahun 2004 tetapi didedahkan buat kali pertama pada minggu lalu menunjukkan sehelai kot dan kasut but di dalam kawasan berlumpur di lokasi kapal tersebut karam.

Pegawai itu, James Delgado yang merupakan Pengarah Warisan Maritim di Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) memberitahu agensi berita AP, kasut yang terdapat pada dasar laut tersebut bukan terkeluar dari sebuah beg milik penumpang lain.

Gambar itu dirakamkan semasa satu ekspedisi NOAA dan pengasas pencari bangkai kapal Titanic, Robert Ballard dilancarkan pada tahun 2004.

Akhbar New York Times melaporkan mengenai gambar itu pada Sabtu lalu.

Pengarah filem Titanic, James Cameron yang pernah mengunjungi sebanyak 33 kali lokasi serpihan tempat kapal itu karam didasar lautan memberitahu akhbar berkenaan, dia tidak menemui sebarang rangka manusia.

"Kami menemui kasut. Kami menemui beberapa pasang kasut yang mungkin mengukuhkan dakwaan bahawa terdapat tinggalan manusia pada satu tempat. Namun, kami tidak menemui sebarang tinggalan rangka manusia," katanya.

Kapal itu karam pada 14 April 1912 selepas ia melanggar bongkah ais di perairan antarabangsa di Lautan Atantik.

Seramai 1,500 orang terbunuh apabila kapal itu karam dan terputus dua selepas ia melanggar bongkah ais. - Agensi

6 rumah rosak dihempap pokok

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hujan lebat selama satu jam dan ribut kuat menyebabkan enam rumah rosak selepas dihempap pokok dalam kejadian di Taman Tasik Semenyih, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku ketika penduduk sedang berehat di rumah bersama keluarga masing-masing sebelum dikejutkan dengan pokok tumbang.

Mangsa yang juga Ahli Jawatankuasa Taman Tasik Semenyih, Abdul Bashir Kunhi Mohamed berkata, ketika kejadian, isteri dan dua anaknya sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan pokok tumbang.

Katanya, isterinya, Zanariah Johari, 50, bersama dua anak berusia 11 dan 19 tahun berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Bumbung di ruang tamu musnah dihempap pokok besar dan kami kini berlindung di surau akibat bimbang kejadian sama berulang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru saja keluar dari rumah dan melihat rumah jiran yang turut dihempap pokok sebelum dihubungi isterinya memaklumkan kejadian.

Katanya, hujan lebat selama sejam dan ribut kuat menyebabkan kira-kira 25 pokok besar tumbang menimpa rumah penduduk dan ada yang menutup jalan utama.

Bekas Naib Pengerusi taman berkenaan, Dr N Thanasegaran berkata, rumahnya turut dihempap pokok menyebabkan bumbung dapur pecah.

Katanya, kejadian berlaku sekelip mata ketika dia sekeluarga berehat memandangkan hujan lebat dan angin kuat.

“Sebaik mendengar bunyi kuat, kami berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang cedera, namun bersyukur kerana terselamat,” katanya.

metro/-

Azimat gila kuasa

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KHURAFAT...Sharhan menunjukkan cebisan kiswah yang didakwa boleh ‘melariskan’ diri si pemakai.

SUBANG JAYA: Ghairah mendapatkan kedudukan, pengaruh dan kuasa melalui jalan pintas mengakibatkan segelintir ahli politik menggadai akidah melakukan perkara khurafat dengan mempercayai azimat, wafak, cincin serta amalan pembacaan mantera tertentu.

Demi cita-cita politik, mereka yang sebahagian besarnya golongan veteran sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pelbagai benda pelik kononnya mampu memberi manfaat kepada pemakainya bagi memastikan hajat tercapai.

Antara alat kononnya ajaib yang menjadi buruan ahli politik, terutama ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin dekat ialah cebisan kelambu Kaabah atau kiswah yang didakwa mampu melariskan diri si pemakai, cincin permata ganjil yang dipakai sebelum berceramah bagi membuatkan pendengar terpengaruh dan kulit rusa putih.

Cemara babi juga dicari kononnya membuatkan si pemakai kebal iaitu pihak lawan sukar menjatuhkannya dalam arena politik.

Mendedahkan perkara itu, Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie berkata, kebiasaannya benda pelik itu diperoleh daripada bomoh yang menjalankan khidmat mereka tanpa bersandarkan al-Quran.

metro/-

EPL: MU menang 4-0, semakin selesa

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

REMBATAN kencang Wayney Rooney pada minit ke-73 dan jaringan Luis Carlos Almeida pada minit-minit terakhir perlawanan telah membolehkan Manchester United (MU) mencipta kemenangan besra, sekali gus terus memperkukuhkan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

MU menewaskan Aston Villa 4-0 di Old Trafford.

Kemenangan tersebut menjadikan MU semakin menjarakkan kutipan mata daripada pesaing terdekatnya, Manchester City yang turut memperolehi kemenangan besar ke atas Norwich 6-1 di Stadium Carrow Road kelmarin.

Rooeny membuka tirai jaringan MU dengan menewaskan penjaga gol, Shay Given melalui sepakan penalti untuk mendahului 1-0 pada minit ketujuh perlawanan.

MU yang banyak mengasak pihak lawan terus mencipta jaringan apabila rembatan Danny Welbeck berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-43, sebelum disusuli gol kedua Rooney dan Almeida untuk memberikan kemenangan selesa 4-0 kepada MU.

Kemenangan ke atas Aston semalam, sedikit melegakan Sir Alex Ferguson setelah tewas mengejut di tangan Wigan 1-0, Khamis lalu.

Dengan melengkapkan 34 perlawanan setakat ini, MU terus kekal di tangga teras EPL dengan mengumpulkan 82 mata. Manchester City memiliki 77 mata.

Sinar Harian