16 April 2012

Laluan sukar skuad Thomas

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SKUAD badminton negara dijangka berdepan laluan sukar dalam kejohanan akhir Piala Thomas pada Mei depan apabila diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.

Dalam undian yang dilakukan di Pusat Sukan Wuhan, China semalam, skuad negara selaku pilihan keenam kejohanan bakal diterajui pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam kejohanan yang berlangsung pada 20 hingga 27 Mei depan.

Pemain negara berjaya layak ke pusingan akhir kejohanan­ selepas mara ke peringkat separuh akhir pusingan­ kelayakan Zon Asia di Macau pada 13 hingga 19 Februari lalu.

Manakala, China yang dibarisi pemain ranking utama dunia dan juga juara lapan kali kejohanan diundi dalam Kumpulan A yang dianggap ‘kumpulan maut’ bersama dengan juara 13 kali, Indonesia dan England.

Naib juara 2008, Korea Selatan menerima laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Amerika Syarikat dan Jerman.

Jepun pula diletakkan dalam Kumpulan B bersama Rusia dan New Zealand.

Agency

Tiada ulasan: