16 April 2012

Keretakan Pada Bilah Turbin Pesawat 747 Qantas Punca Kerosakan Enjin

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Sebuah inkuari yang dijalankan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendapati, pesawat 747-438 milik Qantas yang membawa 231 penumpang dan menghadapi masalah enjin pada paras 25,000 kaki pada tahun 2010 adalah berpunca daripada keretaan pada bilah turbin salah satu daripada empat enjin jet berkenaan akibat kelusuhan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh ATSB pada Isnin, salah satu enjin Boeing 747-438 itu gagal berfungsi 15 minit selepas berlepas dari San Francisco pada 20 Ogos 2010.

Kerosakan tersebut telah mengegarkan pesawat berkenaan dan kemudian percikan api meletus di hujung ekzos enjin itu.

Pesawat itu yang dalam perjalanan ke Sydney kemudiannya berpatah balik ke San Francisco.

ATSB menjelaskan bahawa setelah siasatan selesai mereka bersetuju dengan pengeluar enjin berkenaan iaitu Rolls-Royce bahawa punca letupan pada enjin itu adalah disebabkan oleh keretakan pada bilah turbin akibat kelusuhan.

Rolls-Royce berkata, kejadian seumpama itu belum pernah berlaku dalam tempoh 23 tahun yang lalu atau 40 juta jam perkhidmatan.

Menurut data ATSB, kali terakhir enjin itu menjalani proses baik pulih ialah pada Mei 2009 dan ia telah mengikuti manual sebagaimana yang ditetapkan.

MSTAR/-

Tiada ulasan: